Social Icons

Pages

Sunday, September 30, 2012

EKSKLUSIF !!! ANTARA DI TAJA,DI PINJAM DAN DI SEWA !!! ADAKAH INI SEMUA KENA DENGAN ANWAR IBRAHIM ???


Ada lima perkataan yang membuahkan banyak konotasi pada bacaan sepanjang minggu ini.Perkataan-perkataan itu ialah : ditaja,dipinjam,disewa,suka sama suka dan paksa rela.Ditaja bermaksud seseorang atau satu pihak memberikan peruntukan untuk sesuatu perkara.Contohnya menaja seseorang menunaikan haji dengan peruntukan pelbagai kemudahan.Antaranya memberi tiket penerbangan,kemudahan hotel sebagai tempat tinggal dan keperluan makan pakai sepanjang tempoh tajaan.Sementara dipinjam pula bermaksud untuk dipulangkan semula.Meminjam lebih kepada sementara sahaja,ada tempoh waktu dan ada syarat perjanjian pinjaman.Apabila meminjam kereta seseorang,kereta itu mesti dipulangkan semula dalam keadaan seperti mana kita meminjam. Meminjam turut membabitkan duit ringgit dan mungkin juga percuma,mengikut persetujuan bersama. Menyewa pula bermakna ada nilaian dikenakan. Menyewa pada kadar tertentu, mesti dibayar.Menyewa tidak ada menyewa percuma. Menyewa rumah, kereta, pejabat dan jet sekali pun mesti ada kadar bayaran seperti dipersetujui bersama.Suka sama suka pula ??? Ini jawabnya,tepuk dada tanya selera… mungkin ada perkara tertentu yang wajar dihebahkan mengenai perkara itu dan mungkin juga perlu dirahsiakan. 

Maka umum tidak perlu ketahui hanya yang punya badan sahaja tahu duduk perkara.Paksa rela ??? Mungkin anda boleh memberi jawapan sendiri.Perkara ini saya timbulkan kerana ada keterangan yang tidak sekata beberapa pihak terhadap situasi berlaku minggu lalu mengenai penggunaan jet oleh Ketua Pembangkang,Datuk Seri Anwar Ibrahim dan rombongan dalam kempen di Sabah dan Sarawak tengah bulan ini. Dalam laporan mengenai isu ini, timbul tiga perkara iaitu disewa,ditaja dan dipinjam.YB Nurul Izzah mengatakan pesawat itu dipinjam.Manakala YB Tian Chua kata disewa.Anwar sendiri kata ia ditaja seorang kenalan.Dalam hal ini saya tidak mahu bercakap mengenai siapa empunya jet,siasat akaun peribadi ataupun siapa yang taja, sewa atau pinjam.Apa ingin saya katakan ialah penggunaan bahasa yang amat mudah bagi kita, namun menjadi payah apabila ada yang tidak betul.Salah guna bahasa amat besar kesannya. Memang mudah kita berbahasa menyampaikan apa ingin diperkatakan, tetapi ketidaktelitian dalam berbahasa akan memberi impak lain kepada penggunanya. Contohnya bahasa dalam sistem pesanan ringkas, dalam emel, twitter, watsup yang bisu suara selalu menjadi bahan pertikaian. Oleh kerana tiada nada suara dalam khidmat pesanan itu, maksud baik yang ingin diberikan oleh pengirim, telah menjadi tidak baik kepada penerimanya. Nada suara, nahu apabila berkata-kata, mimik muka ketika kita menuturkan kata-kata langsung tidak ada dalam kiriman pesanan. Itu sahaja sudah menghilangkan lebih 50 peratus daripada maksud sebenar.

Untuk mengelak kesan negatif,maka kita biasanya mengirimkan sahaja tanda-tanda seperti gelak, ragu-ragu, tergaru-garu dan kepala pening dalam bentuk simbol untuk mengimbangi pesanan yang kita hantar. Simbol-simbol ini terpaksa kita hantar untuk memberi kesan lain kepada penerima pesanan itu. Bahasa Melayu itu indah.Lengkap dengan laras dan istilah maknanya. Kitalah sebenarnya yang bersalah kerana menyalah guna akan erti dan makna bahasa berkenaan.Keupayaan bahasa menjangkau makna yang besar dan luas hingga penggunaannya ke peringkat dunia. Dalam menggunakan bahasa, perkara-perkara seperti sebutan, ejaan, kosa kata, tanda baca dan sebagainya dipanggil tatabahasa dan ia merujuk kepada struktur dan binaan ayat. Manakala peraturan-peraturan bagi memilih bentuk sapaan, ganti nama, bentuk hormat, dan perbuatan menyentuh orang, mengiktiraf taraf sosial, taraf pendidikan, usia orang dan lain-lain pula boleh dipanggil sebagai budi bahasa. Aduh… saya bukan pakar bahasa.Namun saya suka bercerita hal ini kerana gaya bahasa kita semakin hari menjadi semakin kompleks. Bahasa cun, aweks, giler, kannnn, siot, astaga, lai’lah dan lain-lain lagi semakin berleluasa. Kita jadi tidak selesa.Menjadi masalahnya ialah apabila ramai antara kita yang cuba bergurau tetapi menggunakan bahasa yang kurang enak didengar dan kadangkala mengaibkan orang lain. Untuk berbeza pendapat tidak semestinya meninggi suara atau melukakan, tetapi harus dibalas dengan ilmu, fakta dan berbudi bahasa.Sekarang ini senang sahaja kita hendak membezakan antara teguran baik dan buruk, kita ada akal. Gunakan akal.

Oleh Sri Diah

RENUNG-RENUNGKAN 

HOT NEWS !!! TUNKU AZIZ MEMBUKA SEMUA RAHSIA DAP !!!


KEMESRAAN jelas terpancar pada air muka TUNKU ABDUL AZIZ IBRAHIM semasa menyambut ketibaan kami pada petang Khamis lalu di kediamannya.Kehadiran kami pada petang itu juga menamatkan penantian sekian lama iaitu sebelum beliau bertindak keluar DAP lagi, dalam usaha mendapatkan mewawancara eksklusif bersamanya.Namun sosok tubuh yang dilahirkan pada tahun 1934 di Alor Setar ini nyata bersikap terbuka dalam banyak perkara tetapi apabila melibatkan beberapa pemimpin dalam DAP sikapnya bertukar sinikal.Pengalaman hidupnya penuh integriti dan karisma.Pernah menjadi penasihat di Bank Negara,Pengarah di Sekretariat Komanwel di London, ahli lembaga di Institut Etika Awam Antarabangsa serta Penal Penasihat Program Pembangunan di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).Malah beliau pernah berkhidmat sebagai Penasihat Khas kepada Setiausaha Agung PBB,Kofi Anan dalam membantu menubuh Pejabat Etika (Office Ethics) di sana. Namun beliau mengakui akhirnya adalah satu kesilapan besar dalam hidupnya kerana menyertai politik apatah lagi DAP. “Ia adalah satu kesilapan besar saya untuk menyertai politik sebenarnya. Saya bukan seorang ahli politik. Jiwa saya bukan jiwa orang politik.Saya menyertai DAP kerana mereka mendakwa mereka sebuah parti pelbagai kaum namun sebenarnya jauh tersasar," katanya kepada wartawan Mingguan Malaysia HAFIZAHRIL HAMID dan KASTHURI JEEVENDRAN.Selain itu beliau turut mencurah segala isi hatinya tentang DAP sejak awal kemasukannya hinggalah peranannya yang dilihat tidak lebih seperti simbol untuk menunjukkan bahawa orang Melayu yang juga berketurunan raja juga boleh menyertai DAP. Saya dan Karpal sebenarnya tidak mempunyai sebarang peranan dalam DAP walaupun kami memegang jawatan sebagai Naib Pengerusi dan Pengerusi DAP," kata beliau sambil merenung jauh memikirkan sesuatu. 

MINGGUAN: Bagaimana Tunku boleh terlibat dengan politik terutama dalam DAP sedangkan latar belakang Tunku sangat menarik? 

TUNKU AZIZ: Ia adalah satu kesilapan besar saya untuk menyertai politik sebenarnya. Saya bukan seorang ahli politik. Jiwa saya bukan jiwa orang politik. Saya menyertai DAP kerana mereka mendakwa mereka sebuah parti pelbagai kaum namun sebenarnya jauh tersasar. Pada pendapat saya, sebagai rakyat di negara ini, kita tidak boleh hidup sebagai satu kaum sahaja. Kita harus hidup dalam berbilang kaum dan belajar menerima setiap kaum yang berbeza dengan seadanya. Integrasi nasional adalah sangat penting. Kita tidak akan sesekali dapat hidup di bawah satu bumbung tanpa bertolak ansur dengan setiap kaum di negara ini. Ketika itu, saya merasakan DAP lebih sesuai dengan jiwa saya. Apatah lagi mereka telah berjanji untuk memberikan saya platform untuk memerangi rasuah. Itulah kerjaya saya seumur hidup iaitu memerangi rasuah. Tawaran tersebut membuatkan saya menyertai mereka. Tetapi biasalah, mereka cakap lain tapi lain yang mereka buat. Apabila hampir dua bulan saya masuk, saya sudah sedar ini bukan tempat saya iaitu politik mahupun DAP. Saya mengambil keputusan untuk keluar parti pada tahun 2009 selepas dua bulan bersama mereka. Tetapi tindakan ini tidak disenangi oleh Penasihat DAP, Lim Kit Siang. Beliau telah memujuk saya supaya jangan keluar. Demi seorang sahabat, Kit Siang pada saya merupakan seorang pejuang yang telah berjuang bermati-matian selama berpuluh tahun. Saya kenal Kit Siang sudah berpuluh tahun juga. Saya tidak kembali kepada DAP kerana saya telah dijanjikan sebarang habuan oleh mereka. Saya masuk kembali kerana pujukan seorang kawan lama yang saya hormati. 

Jadi tidak timbul isu bahawa Tunku dijanjikan habuan dan sebagainya?

TUNKU AZIZ : Saya tidak pernah minta apa-apa dan mereka juga tidak berjanji apa-apa untuk saya. Saya sendiri sudah berumur, saya tidak mempunyai niat untuk memegang apa-apa jawatan atau kerusi untuk bertanding. Kecuali jika mereka mahu saya bertanding untuk parti, mungkin saya akan lakukan. Tetapi saya tidak pernah masuk DAP untuk jawatan atau habuan lain. Saya bukan mahu berbangga diri tetapi saya telah berjaya dalam hidup saya sehingga dikenali di seluruh dunia. Itu bukan kerana DAP tetapi kerana penglibatan saya dalam kerjaya saya sepanjang hidup saya terutamanya dalam bidang rasuah dan integriti. Apa yang DAP boleh beri kepada saya? Walaupun saya minta, apa yang mereka ada. Mereka itu pembangkang. Apa yang mereka boleh beri sebenarnya? Saya hanya masuk ke dalam parti itu kerana rasa ‘tertipu’ dengan agenda mereka sebagai parti pelbagai kaum. Kononnya mereka itu parti untuk semua. Kononnya perjuangan mereka itu untuk seluruh rakyat Malaysia. Perjuangan untuk kaum Melayu, untuk kaum Cina dan kaum India. Tetapi itu cuma retorik sahaja. Sehingga ini pun, apa yang telah mereka perjuangkan untuk orang Melayu dan orang India, selain beri RM100 sekali seumur hidup kepada mereka. DAP pun sekiranya mereka bijak, sudah tentu mereka jadikan saya duta dalam hal berkaitan etika. Agaknya mungkin mereka sendiri tahu jika lantik saya duta dalam hal ehwal etika dan integriti, mereka adalah sasaran kritikan saya yang utama. 

Mengapa Tunku tidak memilih PKR atau Anwar Ibrahim sebagai platform politik dan sebagai kawan? 

TUNKU AZIZ : Sebenarnya, saya tidak pernah berasa selesa dengan Anwar sejak mula lagi. Saya tidak pernah berniat dari mula untuk berkenalan dengan beliau. Sama seperti kita memilih kawan, kita akan berhati-hati ketika memilih kawan. Saya lebih berasa selamat dan selesa dengan Kit Siang dan Karpal Singh. Anwar sungguh berlainan. Saya tidak mempunyai sebarang perasaan terhadap beliau. 

Mengapa Tunku meninggalkan DAP? 

TUNKU AZIZ : Mereka telah memberi gambaran jelas kepada saya bahawa mereka bukan demokratik. Pada awalnya, saya fikir mereka adalah sebuah parti demokratik tetapi itu bukanlah satu kebenaran. Kononnya mereka mengamalkan budaya kebebasan bersuara. Macam-macamlah mereka kata seolah-olah mereka juara dalam semua perkara. Semua yang dikatakan hanyalah retorik semata-mata. Apabila berhadapan dengan realiti, mereka tidak lakukan apa yang mereka cakap sebelum ini. Itulah parti DAP. Lihat sahaja contoh Datuk Mansor, kononnya kebebasan bersuara adalah dibenarkan dalam DAP. Betulkah? Sehingga paksa untuk menafikan apa yang diperkatakan. Mungkin Mansor juga mula sedar realiti tersebut. Saya tinggalkan DAP kerana kenyataan saya telah menyusahkan dan mengundang rasa tidak gembira di kalangan pemimpin Pakatan Rakyat. Tetapi seingat saya, saya bukan pemimpin atau ahli PKR atau Pas. Apa yang telah menggores hati mereka? Kit Siang datang ke rumah saya selepas kejadian tersebut, beliau mengadu kepada saya bahawa kenyataan itu telah membuatkan saya dalam bahaya. Tetapi saya telah ingatkan beliau, apa yang telah saya katakan kepadanya beberapa tahun dahulu tentang parti tersebut yang kononnya demokratik dan mengamalkan kebebasan bersuara. Tetapi apabila saya meluahkan apa yang rasa betul, Kit Siang tidak sesekali membela saya. Katanya mereka memperjuangkan kebenaran dan kebebasan. Apa wujud kebebasan bersuara di situ? Saya tidak nampak. Beliau telah mengecewakan saya sebenarnya. Melalui kejadian ini juga saya membuat keputusan, pemimpin-pemimpin dalam parti ini tidak boleh dipercayai. Itu adalah sebab mengapa saya membuat keputusan muktamad untuk keluar. 

Sekarang ini mereka kata pula Tunku pengkhianat dan sudah dibeli kerana dilihat menyokong transformasi yang dibawa oleh Perdana Menteri? 

TUNKU AZIZ: Kini terdapat segelintir manusia yang tidak tahu hujung pangkal bertindak mengkritik saya selepas keluar DAP. Kata mereka, saya keluar kerana tidak mendapat habuan seperti yang dijanjikan oleh mereka sehingga menjadi orang UMNO. Apa sebenarnya yang saya minta dari DAP hingga tidak dapat? Jika benar saya berminat dengan sebarang habuan, ketika masih muda lagi saya akan menyertai UMNO. Mereka yang memerintah. Kenapa pula selepas saya sudah berumur dan mencapai pelbagai kejayaan barulah saya berminat dengan UMNO. Kononnya Tunku Aziz sudah dibeli mereka. Jawatan Senator ini pun, bukan saya minta dan ia diberi kepada saya. Selepas penggal pertama, Kit Siang dan anaknya, Guan Eng yang memperbaharui penggal baru jawatan tersebut. Saya tidak pernah mengemis jawatan kepada mereka. Saya tidak pernah mengemis atau dalam erti kata lain, tidak ada sesiapa yang boleh ‘membeli’ saya. Sebenarnya, saya hanya mempunyai masalah dengan cara parti tersebut dipimpin oleh beberapa orang. Prinsip parti itu telus tetapi kepimpinan itu yang salah. 

Apakah pandangan Tunku terhadap Lim Guan Eng? Bagaimana hubungan Tunku dengan beliau? 

TUNKU AZIZ: Guan Eng memang pandai pusing memusing. Saya kata dengan beliau, saya tidak dapat menerima jika sesuatu perkara itu melanggar undang-undang. Tapi beliau kata lain kepada umum, tukar cerita kata Tunku Aziz sebenarnya menentang Bersih. Perkara sebenar beliau senyapkan. Orang ingat saya anti hak asasi manusia. Itu tidak benar. Guan Eng telah putar belit cerita demi kepentingan beliau berhubung perhimpunan Bersih. Saya tidak nampak mana salah saya yang menyatakan tidak mahu sesuatu perhimpunan yang melanggar undang-undang. Tidak cukup dengan itu, apabila akhirnya saya membuat keputusan muktamad keluar DAP, Guan Eng mempergunakan orang lain untuk berhubung dengan saya. Beliau mahu saya menarik kata-kata saya berhubung isu Bersih, manusia apa dia ni? Saya tidak akan sesekali menjatuhkan maruah diri sendiri untuk manusia seperti itu. 

Pada pandangan Tunku apakah perkara sama yang berlaku kepada Timbalan Ketua Menteri 1, Datuk Mansor Othman? 

TUNKU AZIZ: Perkara sama terjadi kepada Datuk Mansor. Walaupun TV3 ada bukti rakaman audio yang jelas malah kita semua tahu suara itu milik Mansor, namun dia masih enggan mengaku. Jika anda seorang pemimpin, anda haruslah mengaku jika anda fikir tidak betul. Ini tidak, kita juga telah saksikan ketika sidang akhbar berhubung perkara tersebut, Guan Eng menulis sesuatu dalam kertas dan memberikan kepada Mansor supaya membacanya di hadapan media. Apakah Mansor tidak menggunakan otaknya sendiri? Itulah sikap sebenar seorang pemimpin yang lemah. Saya telah berhadapan dengan Guan Eng dengan berani. Apa yang hendak ditakutkan dengan beliau? Tidakkah ini menunjukkan Guan Eng begitu berkuasa? 

Apakah Tunku bersetuju bahawa Guan Eng adalah seorang pemimpin yang bongkak dan hanya mementingkan parti sendiri dalam Pakatan Rakyat? 

TUNKU AZIZ: Guan Eng adalah seorang manusia yang bukan sahaja bongkak dan sombong malah merupakan seorang yang suka mengambil pujian atas hasil usaha orang lain tanpa sedikit pun perasaan bersalah. Lihat sahaja apa yang sedang berlaku di Pulau Pinang. Beliau mengaku dan menerima pujian untuk kemajuan yang berlaku di sana. Dengan perbuatan sebegitu, apakah beliau menidakkan apa yang telah dilakukan oleh kerajaan terdahulu yang sudah tentu melibatkan warga Pulau Pinang sendiri? Apakah Pulau Pinang hanya maju di bawah DAP dan Guan Eng? Pulau Pinang memang sudah lama maju sebelum zaman Guan Eng lagi. Apa yang ironinya, Guan Eng sendiri bukan dari Pulau Pinang tapi bercakap seolah-olah dia lahir dan membesar di sana. Kemudian dia menggambarkan apabila menjadi Ketua Menteri, barulah Pulau Pinang itu wujud dan mula maju. Tapi adalah menjadi amalan beliau untuk mengambil semua pujian manakala kesilapan pula melibatkan orang lain. Itu bukan sesuatu yang bijaksana tetapi hanya mementingkan diri sendiri. Beliau juga jenis yang tidak boleh menerima kritikan dan suka menyalahkan orang lain. Sehingga hari ini, sekiranya ada perkara yang tidak disenangi oleh masyarakat Pulau Pinang, dengan segera beliau menyalahkan Ketua Menteri terdahulu, Tan Sri Koh Tsu Koon. Jika tidak menyalahkan seseorang, maka beliau bukan Guan Eng. Adalah sudah menjadi kebiasaan, untuk menyaman dan mengkritik orang lain. Lihat sajalah bagaimana beliau mahu menukar nama Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang kepada Lapangan Terbang P. Ramlee? Ada kena mengenakah? Bukankah kita sudah ada nama Jalan P. Ramlee? Kita juga ada muzium untuk beliau. Mengapa mahu tarik seniman agung seperti beliau dalam arena politik? Sekiranya dia benar-benar ikhlas, saya cadangkan kepada beliau untuk membantu keluarga P.Ramlee yang dihambat kemiskinan. Bantu mereka. Berilah wang pencen kepada anak-anak mereka yang miskin itu. Bantulah keluarga mereka yang masih hidup. Beliau mempunyai peluang untuk menukar nama tersebut empat tahun dahulu tetapi beliau sebenarnya sengaja mahu memalukan kerajaan Malaysia. Itulah agenda beliau. Jika benar beliau ikhlas tolonglah bantu keluarga P. Ramlee baru masyarakat akan menghormati Guan Eng kerana berjiwa rakyat bukan dengan mempolitikkan semua perkara. 

Apakah orang Melayu boleh berharap kepada DAP untuk membela nasib mereka? 

TUNKU AZIZ: Sekiranya orang Melayu yang menyertai DAP merasakan parti tersebut akan membela nasib mereka, anda memang salah. Sehingga kini, tidak ada bukti yang mereka telah dan akan memperjuangkan nasib orang Melayu.

Mengapakah agaknya DAP berminat untuk mengambil Tunku bersama mereka? 

TUNKU AZIZ: Mereka hanya berminat dengan kemelayuan saya. Saya hanyalah dianggap sebagai simbol bagi masyarakat Melayu manakala Karpal Singh simbol untuk kaum India. Saya dan Karpal sebenarnya tidak mempunyai sebarang peranan dalam DAP walaupun kami memegang jawatan sebagai Naib Pengerusi dan Pengerusi DAP. Mereka berminat mempergunakan saya untuk memancing undi orang Melayu. Secara hakikatnya, saya sendiri tidak pasti apakah peranan saya selain menjadi alat untuk agenda tersembunyi mereka. Sama keadaannya apabila saya berminat untuk membantu DAP membawa masuk orang Melayu pada awal kehadiran saya dalam DAP, mereka kemudian seolah-olah sengaja melengah-lengahkannya. Mereka sebenarnya tidak berminat untuk membantu saya memperjuangkan orang Melayu. Cukuplah saya seorang sebagai simbol untuk terus mendapatkan sokongan tanpa saya melakukan apa-apa. Kerana itulah, saya telah dua kali membuat cubaan keluar daripada parti tersebut. Kali ketiga, keputusan saya sudah muktamad. 

Siapa pada pendapat Tunku lebih berkuasa, adakah Kit Siang atau Guan Eng? Bagaimana pula dengan peranan Karpal Singh? 

TUNKU AZIZ: Sudah tentu jawapannya adalah Kit Siang. Kit Siang yang lebih berkuasa dan dominan dalam membuat percaturan politik dalam parti manakala anaknya, Guan Eng akan mengikut rentak bapanya kerana Kit Siang memang bijak. Kuasa sepenuhnya masih milik Kit Siang. Kebanyakan keputusan berkaitan akan diambil oleh Kit Siang dan bukannya Guan Eng. Selalunya dalam mesyuarat, Kit Siang akan lebih berminat untuk menjadi pemerhati daripada membuka mulut. Beliau akan bersikap rendah diri. Dinasti Lim sangat berkuasa dan berpengaruh dalam DAP. Karpal juga tidak memainkan apa-apa selain menentang hudud bagi pihak dinasti Lim. Tetapi Karpal adalah seorang pemimpin yang berkaliber. Apa yang beliau katakan satu ketika dulu akan sentiasa diulang, tidak ada sebarang manipulasi. Tetapi adalah menyedihkan kerana beliau tidak mempunyai kuasa dalam parti tersebut. Ada ramai lagi pemimpin yang sungguh berkaliber dan berpotensi dalam parti tersebut yang saya tidak dapat nafikan. Cuma saya tidak akan sesekali berkompromi dengan melanggar undang-undang. Saya sesekali tidak akan bersetuju dengan perkara tersebut - Utusan

HOT NEWS !!! PAS KELANTAN HANYA SELAMAT DI 17 KERUSI DUN PADA PRU 13 ???


Semasa PRU 11 tahun 2004,PAS pernah hampir tersungkur di Kelantan apabila hanya menang di 24 kerusi DUN manakala baki 21 kerusi DUN lagi dikuasai oleh BN.Ramai pemimpin PAS mengurut dada, tak terjangka sedemikian rupa kebangkitan rakyat Kelantan tika itu.Dengan jurang majoriti hanya berbeza 3 kerusi sahaja, kerajaan PAS Kelantan senantiasa berada dalam keadaan dihujung tanduk.Tambahan pula sebahagian DUN yang dimenangi PAS tika itu pula majoriti kemenangannya di bawah 1,000 undi sahaja.Kini,senario yang hampir sama juga tidak mustahil berulang kembali. Gelombang kebangkitan rakyat Kelantan sudah semakin marak hampir ke kebanyakan kawasan DUN dan Parlimen negeri. Semenjak PAS hanya menang nyawa-nyawa ikan di Manek Urai dan tewas teruk di DUN Galas tidak berapa lama dulu,kedua-dua peristiwa bermakna itu, merupakan antara faktor tambahan yang membantu merancakkan kebangkitan khalayak untuk menolak PAS.Penglibatan serius beberapa bekas pemimpin PAS turun berkempen di Kelantan dalam membantu UMNO juga memberikan impaknya yang tersendiri. 

Kesannya,menyebabkan mitos kononnya Kelantan masih kebal di bawah jajahan PAS jelas semakin pudar dari fikiran rakyat.Tambahan pula beberapa kajian dan culaan trend sokongan terkini baik dari pihak UMNO mahupun PAS sendiri,juga telah mengesahkan kedudukan PAS di negeri Cik Siti Wan Kembang ini sudah tidak selesa seperti dulu.Realiti tersebut hingga saat ini masih sukar untuk dicerna dek akal fikiran sesetengah pimpinan PAS negeri.Dalam satu kenyataan terbaru seorang exco kanan kerajaan negeri, Nik Amar Nik Abdullah menyatakan pengaruh PAS di Kelantan tidak tergugat, hakikatnya senario semasa menunjukkan sebaliknya. Sedangkan beberapa sumber dalaman PAS juga mengakui salah satu laporan kajian yang dilakukan oleh PAS mendapati parti itu hanya selamat betul-betul selamat di 17 kerusi DUN sahaja. Sebahagian besar kerusi selamat itu dikatakan berpusat dalam Parlimen Kota Bharu, Kubang Kerian dan Pengkalan Chepa. 

Ditambah lagi dengan kajian terkini dari UMCEDEL,walaupun tidak berapa tepat dengan senario semasa namun sekurang-kurangnya mengesahkan kebangkitan rakyat sedang berlaku dan populariti PAS di negeri Serambi Mekah itu juga semakin goyah.Pun begitu,tetap perlu digandakan gerak kerja tambahan supaya kekuatan UMNO dan BN di 25 kerusi yang sudah putih dan kini menjadi kubu kuat UMNO itu bukan sahaja kekal teguh malah baki 3 kerusi lain yang masih kelabu juga perlu diusahakan supaya dapat dikuasai sama. Paling penting usah sesekali UMNO tersilap langkah atau cuai dalam meraikan kebangkitan rakyat tika ini. Sekarang pun sudah wujud beberapa gerakan aggresif oleh PAS untuk menarik seramai mungkin pemimpin UMNO yang berpengaruh di peringkat cawangan dan bahagian supaya menyertai PAS, jelas satu usaha terdesak untuk memperlahankan impak kebangkitan rakyat. Habuan tanah dan konsesi balak misalnya adalah antara sandaran utama dalam percubaan mereka untuk menarik minat pemimpin UMNO yang menjadi sasaran. Sekalipun jika umpan oleh PAS itu mungkin mengena dan kesannya pula diyakini tidak begitu membimbangkan berikutan di pihak UMNO sendiri turut menyedarinya dan telahpun mengambil langkah perlu untuk menghadapinya, namun langkah berwaspada tetap perlu dipertingkatkan. Walaupun apapun, senario kini yang sedang memihak pada BN ini jangan dipersia-siakan atau dipandang selesa oleh pimpinan UMNO negeri. Sekarang bukan masanya untuk bergoyang kaki sebaliknya usaha perlu digandakan supaya PAS benar-benar bungkus dalam PRU 13 kelak.

RENUNG-RENUNGKAN 

KISAH BENAR !!! RAKYAT MALAYSIA SUDAH PENAT DENGAN PERMAINAN BODOH SUARAM !!!


Segalanya tidak kelihatan begitu baik untuk SUARAM,NGO yang kononnya ditubuhkan untuk mempertahankan hak asasi manusia kini menghadapi tekanan kuat daripada rakyat akibat daripada motif licik,dana dan juga kewujudan NGO tersebut.Selain itu,SUARAM juga tidak mempunyai pilihan lain bagi membuktikan segala tuduhan yang mereka kenakan keatas Datuk Seri Najib dan kerajaan Malaysia.Menyedari akan keadaan ini,Cynthia Gabriel,sekretariat Suaram,baru-baru ini telah memberikan penjelasan kepada rakyat bahawa segalanya sedang berjalan lancar di Mahkamah Perancis dan kerajaan akan dikenakan tindakan tidak lama lagi.Semuanya sedar bahawa 'tidak lama lagi' sebenarnya 'tidak langsung' kerana Perancis telah mengesahkan berkali-kali bahawa tiada sebarang perbicaraan yang dijalankan terhadap tuduhan 'skandal Scoepene' yang dikaitkan dengan Dato Seri Najib dan tiada sepina yang dikeluarkan terhadap mana-mana individu.SUARAM telah memainkan isu yang sama dalam masa yang amat panjang hinggakan semua cerita mereka telah tidak boleh dikawal lagi.Dari Akuan Bersumpah oleh pihak ketiga,penarikan akuan bersumpah yang entah bagaimana pihak tersebut dapat hidup mewah di London hinggakan kepada kenyataan media 'U-turn' berkenaan bahagian pertama tentang skandal tersebut menunjukkan bahawa cerita mereka tidak konsisten dari awal lagi. 

Bahagian kedua bagi cerita mereka juga tidak memberikan sebarang manfaat (nilai rasuah yang diterima),sentiasa berubah-ubah.Kemudiannya bahagian ketiga dan terakhir dimana mereka mengaitkan beberapa buah syarikat yang akhirnya dikaitkan dengan samada Razak Baginda, Datin Seri Rosmah,Datuk Seri Najib atau kerajaan Malaysia.saya ingin tegaskan disini bahawa pihak polis Perancis,mahkamah dan juga Jabatan Hal Ehwal Luar Perancis telah mengesahkan bahawa Altantuya tidak pernah memasuki negara tersebut pada tahun yang Suaram nyatakan, dan tiada perbicaraan, kes mahupun sepina yang dikenakan keatas mana-mana rakyat Malaysia. SUARAM kini telah terlalu banyak menipu. Namun, sebagai 'anjing suruhan' kepada 'kuasa-kuasa besar dunia', mereka tidak akan mengaku bahawa mereka telah menipu. Mereka percaya bahawa mereka mampu 'menyelesaikan' masalah ini. Ini hanyalah permainan yang dibuat oleh Suaram bersama Pakatan Rakyat (PR) yang disaksikan oleh rakyat dan juga dunia permainan yang dibiayai oleh kuasa besar dunia. Jika Suaram dan PR masih mahu bermain dalam permainan ini, bagaimana mereka boleh menang jika mereka tidak ada sebarang pihak lawan ??? Bodoh.Rakyat kini sudah penat dengan perkara yang dimainkan oleh SUARAM dan juga PR.Bagaimanapun,nampaknya SUARAM masih lagi mahu bermain dan memperbodohkan diri mereka sendiri.Kenapa ??? Kerana mereka tidak ada pilihan lain.Mereka terlalu angkuh untuk mengaku kalah. Mereka lebih rela kelihatan bodoh daripada kalah.

RENUNG-RENUNGKAN

BONGKAR !!! HUDUD PUNCA PR BERPECAH !!!



Suatu ketika dulu,isu perlaksanaan hukum hudud pernah memberi manfaat besar kepada PAS terutama sekali dalam usahanya menyaingi kekuatan dan pengaruh UMNO dikalangan orang Melayu Islam.Sepanjang dekad 90-an itu, PAS berjaya meraih laba politik dari isu tersebut di masa yang sama telah mendoktrinasikan pemikiran sesetengah orang Melayu Islam untuk percaya kononnya UMNO telah menolak hukum Allah S.W.T. Hasil doktrinasi itu jugalah kesannya menyebabkan pemahaman ramai penyokong dan ahli PAS semakin kukuh dan berkeyakinan penuh dengan perjuangan politik bersama PAS ganjarannya adalah syurga,manakala menentang UMNO seumpama satu jihad fisabillilah.Kefahaman sedemikian adalah lanjutan dari pelbagai isu terdahulu seperti isu mengkafirkan sesama Islam,fatwa haram bekerjasama dengan orang bukan Islam dan Amanat Hadi yang pernah PAS pelopori lama sebelum isu hudud menjadi agenda utama PAS.

Hari ini,dalam dekad millenium kini di mana PAS sudah semakin akrab dan berikrar sehidup semati bersama gabungan pembangkang Pakatan Rakyat (PR), isu perlaksanaan hudud sudah dilihat bagaikan senjata makan tuan dan boleh memudaratkan kedudukan PAS dalam gabungan tersebut. Senario itu dapat dirasakan apabila Mursyidul Am PAS,Nik Aziz Nik Mat mula memperlahankan suaranya setelah digertak oleh pemimpin DAP gara-gara membuat kenyataan bahawa PAS tetap teguh mahu melaksanakan hukum hudud. Malah Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu juga pernah menafikan kenyataannya pada 27 Ogos 2012 yang disiarkan oleh akhbar Sin Chew Daily dalam edisi petang Isnin yang menyebut "PAS akan mencadangkan perlembagaan negera dipinda untuk memberi laluan kepada pelaksanaan hudud sekiranya PR memerintah negara selepas PRU 13".Penafian Mat Sabu itu menjadi satu asas penting, bukti betapa agenda hudud bukanlah satu keperluan dalam dasar PR sekaligus menunjukkan wujudnya penolakan gabungan tersebut terhadap hukum hudud sebagai perundangan negara.Dari satu sudut,tindakan Mat Sabu dan PAS itu kena pada masanya. 

Berdasarkan kajian oleh UMCEDEL beberapa hari lalu, sebahagian besar respondan agak yakin isu hudud adalah ancaman terbesar terhadap kesepakatan PR. 42% respondan keturunan Cina percaya isu itu akan memudaratkan PR manakala 52% lagi menolak perlaksanaannya dengan alasan kemajmukan masyarakat negara ini. Tunggak utama kekuatan PR sekarang ialah sokongan sebahagian besar pengundi keturunan Cina, oleh itu tidak sukar untuk kita memahami kenapa PAS begitu bersungguh-sungguh mahu membuktikan kepada umum bahawa hukum hudud tidak akan dilaksanakan sama sekali walaupun jika PR dapat memerintah negara.Dulu PAS pernah menuduh UMNO telah menolak hukum Allah,hari ini realiti semasa membuktikan PAS pula yang bersungguh-sungguh menolak perlaksanaan hukum itu demi semata-mata kepentingan politik PR.Kini, Hudud sudah dipandang oleh PAS dan PR sebagai punca akan menyebabkan mereka berpecah belah, seolah-olah api dalam sekam yang membahayakan kesepakatan mereka dalam PR.

RENUNG-RENUNGKAN 

HOT NEWS !!! 1300 PENGGUNA AIR SELANGOR MENYAMAN KHALID GAGAP,KERAJAAN SELANGOR DAN SYABAS !!!


Firma Guaman Kamaruddin & Partners,telah dilantik seramai 1300 pengguna air di negeri Selangor untuk menfailkan tuntutan di Mahkamah Tinggi Shah Alam terhadap kerajaan negeri Selangor,Menteri Besar Selangor dan Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) bagi mendapatkan tunggakan subsidi air di bawah Skim Air Percuma yang dijanjikan dalam manifesto pakatan PKR dan PAS Selangor pada pilihanraya umum ke-12 yang lalu.Peguam,Kamarudin Ahmad berkata,tuntutan oleh kumpulan pengguna air hari ini merupakan kumpulan ketiga dari kawasan penduduk Kinrara Puchong,Bukit Mahkota Cheras dan penduduk Seksyen 18,Shah Alam. 

“Pihak plaintif yang menghuni flat kos rendah sangat kecewa dengan dasar diskriminasi yang diamalkan oleh kerajaan negeri Selangor ke atas plaintif dalam pemberian air percuma kepada pengguna air dalam negeri Selangor.Kerajaan negeri Selangor telah mengutamakan penduduk rumah teres dan bangle dari golongan kelas menengah dan atasan dalam pemberikan skim air percuma ini. Plaintif-plaintif adalah pengguna meter pukal dan manifesto pakatan PAS dan PKR tersebut menjanjikan bekalan air kegunaan domestic secara percuma sebanyak 20 meter padu pertama setiap bulan tanpa menyatakan syarat bahawa pengguna air mesti menggunakan meter individu,” ujarnya kepada pemberita selepas menfailkan saman di Mahkamah Tinggi Shah Alam,kelmarin.

Tambahnya,SYABAS seharusnya telah menukar meter plaintif-plaintif daripada meter pukal kepada meter individu memandangkan kerajaan telah mengarahkan Program Penukaran Meter Individu kepada SYABAS sejak tahun 2007 dan sekiranya Syabas gagal berbuat demikian, ianya bukanlah kesalahan plaintif untuk dinafikan hak penikmatan skim air percuma tersebut.Saya hendak jelaskan latar belakang tuntutan plaintif iaitu pada tahun 2008,pengguna air di negeri Selangor terbahagi kepada dua golongan iaitu golongan pertama adalah mereka yang menggunakan meter individu manakala golongan kedua ialah mereka yang menggunakan meter pukal.Oleh yang demikian,skim air percuma yang dijanjikan dalam manifesto PAS dan PKR Selangor secara automatisnya merangkumi kedua-dua golongan pengguna air.Sehubungan dengan itu,saman tuntutan plaintif di Mahkamah Tinggi Shah Alam adalah usaha terakhir pihak plaintif bagi mendapatkan keadilan dan pembelaan dari sistem kehakiman negara memandangkan kerajaan negeri Selangor telah pun membuat keputusan untuk tidak melayan tuntutan hak skim air percuma daripada pengguna meter pukal domestic dalam negeri Selangor.

Dalam masa yang sama,Timbalan Pengerusi Gerakan Prihatin Rakyat Selangor (GPRS),Ameer Firdaus Bin Mohd Shreef berkata,Penggunaan meter pukal tidak sepatutnya dijadikan alasan memandangkan perkara itu telah dijanjikan kepada semua pemilik kediaman di seluruh Selangor sekiranya pakatan pembangkang berjaya memerintah negeri ini.Lebih mengecewakan kerajaan negeri lebih mengutamakan penduduk rumah teres dan rumah banglo daripada golongan kelas menengah dan atasan dalam skim air percuma tersebut, manakala golongan yang lebih memerlukan telah dinafikan hak. Wakil penduduk Apartmen Lavender Vista, John Dawson berkata, terbukti kerajaan Selangor dan Khalid Ibrahim menipu dan memperdayakan rakyat, khususnya rakyat Selangor dengan mengumpan memberikan air percuma. “Pada pilihan raya umum yang lalu, pakatan pembangkang yang diwakili PKR, Pas dan DAP melalui slogan Selangor Bersih, Maju Dan Berkebajikan telah berjanji untuk memberikan air percuma kepada seluruh rakyat di negeri Selangor sekiranya berjaya memegang tampuk pemerintahan negeri. Malangnya, selepas diberikan mandat oleh rakyat untuk mentadbir negeri ini, mereka lupa pada janji mereka. Pelaksanaan pemberian air percuma sebanyak 20 meter padu atau subsidi RM11.40 oleh kerajaan Selangor hanya sekadar melepaskan batuk di tangga.

KANTOI !!! RAHSIA ANWAR IBRAHIM TERSEBAR !!! RUPANYA ANWAR IBRAHIM TAK SUKA PAS !!!


Bekas Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang,Mohammad Fairuz Khairuddin mendakwa Ketua Pembangkang,Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak pernah suka dengan pendirian Pas yang memperjuangkan dasar Islam.Menurut Fairuz, kenyataan mengenai Anwar ini pernah didedahkan ketika beliau masih berkhidmat sebagai Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang. Fairuz meletakkan jawatan itu pada Mac 2009 dan kemudian keluar dari PKR. 

“Hari ini saya mahu dedahkan yang selama ini, Anwar tidak pernah suka dan setuju dengan dasar Pas. Beliau anggap Pas ini tidak boleh diharap,” kata beliau pada Majlis Himpunan Ke Arah Penyatuan Ummah bertajuk “Dakwah Menjana Kesatuan Ummah” di sini, hari ini.Beliau berkata demikian ketika menjadi panel sesi Ideologi Politik : Adakah Menjadi Penghalang Kepada Penyatuan. “Saya sendiri sedih kerana Menteri Besar Kelantan,Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat tidak pernah menyanggah dan berkata tidak jika Anwar campur tangan dalam Pas,” katanya. 

Tambah beliau,cara pemikiran Anwar tidak seiring dengan Pas kerana sering berbeza pendapat dengan Pas berhubung dengan Islam. “Ilmu agama Islam hanya ‘celup-celup”.Tidak sepatutnya Anwar bercakap mengenai Islam dengan ilmu yang cetek.Bila nak cakap tentang Islam,Anwar perlu teliti sama ada ia benar atau bertentangan dengan Islam,” tegasnya.Menurut Fairuz, pengalamannya bekerjasama dengan Anwar semasa berkhidmat satu ketika dulu membuatkan beliau “celik mata” dan membuatkannya sedar siapa Anwar sebenarnya.“Pengalaman saya dulu sebagai Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang satu ketika dulu, benar-benar memberi pengalaman yang cukup bermakna buat saya,” katanya - SH

Saturday, September 29, 2012

ADAKAH BENAR BAJET ALTERNATIF 2013 PAKATAN HARAM ADALAH BAJET LIBERALISME ??? WAJIB BACA !!!


Kerana terlalu ingin menjadi Perdana Menteri sebelum mati,Anwar Ibrahim sentiasa memainkan peranan sebagai Perdana Menteri apabila saja berpeluang.Jika Datuk Seri Najib mengadakan program mesra rakyat dan meninjau keadaan rakyat,maka beliau pun ingin berbuat yang sama dengan mendekati rakyat sambil meninjau pengangkutan awam seperti LRT.Jika Datuk Seri Najib ke sana ke mari dengan pengawal peribadi dan menaiki jet peribadi maka beliau juga ingin menjalani kehidupan yang sama Dan yang paling hebat ialah walaupun belum menjadi Perdana Menteri,Anwar ingin sekali membentangkan bajet seperti seorang Perdana Menteri.Kerana itu,walaupun Anwar tidak punya akses kepada maklumat terperinci kewangan negara bagi melayakkannya membentangkan bajet secara tepat,itu tidak menghalang beliau untuk terus melakonkan watak Perdana Menteri dan turut membentangkan bajet.Kerana tidak berdasarkan maklumat yang perlu,maka kita tidak perlu pun mendengar pembentangan Anwar kerana sudah pasti Bajet yang dibuat ‘di atas angin’ adalah Bajet Tong Kosong.Untuk sesiapa mempercayai dan menaruh harapan kepada bajet sebegini,amatlah menyedihkan.Namun,yang menjadikan kita agak berminat untuk mendengar Bajet Alternatif ini ialah kerana sifat parti PR itu sendiri yang tidak sepakat.saya ingin melihat apakah ‘rupa’ bajet yang berdasarkan prinsip Islam,Malaysian-Malaysia dan juga liberal.seperti yang dijangka,tiada apa-apa yang lebih ‘Islam’ dari BN dalam bajet PR.Sebaliknya,ia lebih mengutamakan golongan kaya dan berada walaupun kelihatan seolah-olah membantu yang miskin dan sederhana.Pendek kata,ia lebih menepati konsep Malaysian-Malaysia dan liberal. 

Tiada peruntukan yang digariskan untuk mengekang pertumbuhan pusat-pusat maksiat.Tiada juga peruntukan khas bagi mengatasi masalah murtad yang berpunca dari kemiskinan walaupun masalah ini adalah meruncing di Selangor, iaitu negeri yang diperintah PR.Malah,kelihatan seolah-olah tiada langsung ‘input’ dari pihak PAS dalam bajet ini. Selain itu,perancangan PR untuk menghapuskan cukai korporat hanya akan membebankan rakyat biasa kerana akan terpaksa membayar harga yang lebih tinggi untuk satu-satu perkhidmatan dan barangan.Seperti juga perancangan untuk menurunkan harga dan duti eksais kereta di mana ia akan menjejaskan kos pengeluaran dan pemasangan dan lain-lain di mana menyebabkan negara mungkin terpaksa mengimport barangan dari negara lain.Akhirnya,yang akan terjejas adalah vendor-vendor Melayu yang dilahirkan oleh syarikat automobil nasional, selain syarikat automobil nasional itu sendiri. Jika ini berlaku, ia bukan sahaja melibatkan beribu-ribu pekerja tetapi juga, industri automobil nasional dan maruah negara sekali gus. Jelas, bahawa bajet yang dibentangkan PR adalah tidak menyeluruh, tidak patriotik dan tidak membawa kebaikan untuk jangkamasa panjang terutama untuk membantu bumiputera. 

PR berkali-kali menekankan bahawa Bajet tersebut adalah bersifat adil untuk semua kaum dan ungkapan ini dengan sendirinya membawa makna kesamarataan total iaitu yang menjadi tunjang Malaysian-Malaysia idaman DAP.Sedangkan,kita tahu bahawa kesamarataan total tidak akan membawa keadilan kepada semua kerana hakikat pegangan ekonomi di Malaysia adalah berat sebelah kepada satu kaum iaitu Cina. Dengan tiadanya mekanisme khusus untuk mengukur tahap sifat perkauman seseorang,adalah sukar untuk kita memastikan bahawa kaum Melayu, India dan lain-lain tidak didiskriminasi oleh kaum yang lebih berkuasa dalam persaingan kek ekonomi ini.Kita faham bahawa PR ingin menekankan kelemahan dasar kerajaan yang memberi bantuan kepada bumiputera yang dianggap mereka sebagai diskriminasi yang bertulis.Tetapi,PR telah mengabaikan dan menafikan hakikat yang lebih serius yang membelenggu masyarakat Malaysia hari ini iaitu diskriminasi yang tidak bertulis dalam persaingan di sektor swasta dan perniagaan yang dikuasai kaum Cina. Kesimpulannya, Bajet PR adalah Bajet Liberal yang terbuka dan tidak mengambil kira keadaan sebenar majoriti rakyat.Tetapi,apa yang nak dihairankan kerana pembentangan Bajet PR bukanlah untuk rakyat, tetapi sekadar untuk ‘mencabar’ BN.Itu saja.Walau apapun,yang pasti,PAS tidak punya suara langsung dalam penyediaan Bajet berkenaan.Tanpa keprihatinan dan ‘input’ dari PAS,bagaimana kita boleh memastikan kaum Melayu akan terbela di bawah PR ???

RENUNG-RENUNGKAN 

BONGKAR !!! GENTING BELI SAHAM FGVH ??? SATU LAGI PEMBOHONGAN DARI PAS !!!


Mudah sungguh bagi Subky Latif membuat tuduhan di Haramkahdaily bahawa Genting membeli saham FGVH.Mudah kerana ia tidak memerlukan fakta, angka dan bukti apa-apa untuk menguatkan tuduhan.Siapa saja boleh menuduh apa saja malah kita juga boleh menuduh Subky Latif atau Hadi Awang ada membeli saham Genting dan kemudian melalut-lalut mengaitkan keturunan,kenalan dan sahabat handai mereka sambil memburuk-burukkan semuanya sebagaimana yang Subky lakukan terhadap FGVH dan Datuk Seri Najib dalam tulisan tersebut.Sehinggakan sekali baca,tampak seolah-olah Subky Latif ini bukannya ingin mempersoalkan Genting atau saham FGVH,tetapi dengki kerana tidak tergolong dalam keturunan orang-orang berada dan bernama seperti Datuk Seri Najib.Sebenarnya,sikap orang-orang PAS ini sama saja,tak kira penulis,penyokong atau pemimpin Iaitu mereka gemar mempersoalkan tahap ‘keIslaman’ orang lain di samping menonjolkan diri sebagai yang ‘lebih Islam’ atau ‘paling Islam’. Dalam hal ini, mereka sengaja membangkitkan persepsi seolah-olah pengurusan Felda tidak tahu halal-haram atau tidak cukup Islam.

Mungkin kerana telah kalah dalam isu FGVH iaitu gagal menghalang penyenaraian,terbongkar segala penipuan dan niat jahat atau kerana menyesal tergadai peluang untuk sama-sama memperoleh keuntungan,maka PAS cuba mengalih pandangan dengan membangkitkan soal ‘keIslaman’ FGVH pula. Untuk PAS dan Subky Latif,tidak perlulah meragui keIslaman FGVH kerana sesungguhnya pihak yang mengurus FGVH juga cukup peka dengan halal-haram sesuatu urusan perniagaan.Jika ada yang terlepas pandang atau kurang jelas,sama-samalah diperbetulkan bukan difitnah atau dijatuhkan kerana yang akan rugi nanti adalah orang-orang kita juga,orang Islam,orang Melayu yang menjadi majoriti peneroka Felda.Tetapi,apa yang jelas haram atau dosanya di sini ialah tindakan menuduh dengan niat memfitnah terhadap orang lain seperti apa yang dilakukan oleh Subky Latif,Haramkahdaily dan PAS.Saham FGVH adalah bertepatan dengan syariah berdasarkan prospektus dan setakat ini,tiada pemegang saham atas nama ‘Genting’ yang direkodkan. 

 Bagaimanapun,jika Genting yang membeli saham sepatutnya bukanlah satu isu tetapi yang sepatutnya menjadi isu ialah jika FGV yang membeli saham judi Genting.Tetapi ini tidak pernah dan tidak mungkin berlaku selagi ia dipantau oleh kerajaan yang didominasi oleh orang Islam.Lainlah jika PR yang menjadi kerajaan serta Anwar Ibrahim yang membawa fahaman pluralisme menjadi Perdana Menteri dengan DAP menjadi tulang belakangnya,maka mungkin sesuatu seperti itu boleh berlaku.Dengan itu,Subky harus ingat bahawa bukan dia sahaja yang Islam di Malaysia ini.Orang-orang UMNO,majoriti peneroka Felda dan pengurusan FGVH juga Islam.Bezanya,satu pihak gemar mempertikai iman dan ilmu agama orang lain dan satu pihak lagi tidak,Itu saja.Tetapi,pihak atau individu mana yang lebih beriman,lebih tinggi darjat dan akan mendapat berkat di sisi Allah SWT tiada siapa yang tahu,walau berapa kali pun Nik Aziz cuba membayangkan kepada kita yang dia tahu.Justeru,tak usahlah Subky melalut menulis panjang-panjang sekadar untuk melepas geram memburukkan Perdana Menteri,keluarga dan tokoh-tokoh UMNO.Ini kerana tidak berbaloi menambah dosa sedangkan Perdana Menteri dan orang-orang yang dikutuk Subky langsung tidak terjejas dan tidak terasa apa-apa.Perdana Menteri kekal tenang bekerja untuk rakyat,peneroka Felda terus gembira mendapat nikmat,Felda terus maju dan meningkat.Cuma Subky dan PAS saja yang penuh dengan dendam kesumat.

RENUNG-RENUNGKAN 

BAJET ALTERNATIF 2013 ADALAH BAJET KOSONG PAKATAN HARAM !!!


BELANJAWAN pakatan pembangkang yang digelar Bajet Alternatif sudah diumumkan lebih awal daripada Bajet 2013 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri,Datuk Seri Najib Tun Razak.Skrip serupa digunakan tahun lalu dan dijangka disambung dengan dialog menuduh bajet kerajaan meniru bajet pembangkang yang lebih banyak menjanjikan 'gula-gula' daripada mengumpul 'gula' itu sendiri.Mengimbas kembali,apa yang dijanjikan untuk 2013 seperti bantuan RM1,000 setahun kepada warga emas,bantuan kebajikan RM550 sebulan, gaji minimum RM1,100, elaun pendidik sebanyak RM500 dan banyak lagi sebenarnya salinan fotostat daripada bajet bayangan 2012 juga.Mungkin dapat dilupakan seketika apa yang dibentangkan itu dengan poket kosong, umpama orang yang cuma window shopping, mereka tetap menabur janji-janji baru melalui bajet bayangan 2013 tanpa segan silu,sedangkan janji dan manifesto sebelum pilihan raya umum (PRU) 2008 masih banyak belum ditunaikan.Lebih menarik,individu yang mengumumkan bajet bayangan untuk lebih 28 juta rakyat itu juga adalah Penasihat Ekonomi Selangor tetapi bajet yang setanding tidak pula dibentang dan dilaksanakan terlebih dahulu untuk lima juta rakyat negeri tersebut selepas lebih empat tahun memerintah. 

Dengan bajet poket kosong 2013,mereka janji dan terus berjanji untuk membina jalan raya di Sabah sedangkan di negeri sendiri masih menunggu, mahu turunkan cukai kenderaan 20 peratus tetapi cukai pintu masih tergantung, serta pendidikan percuma dan hapuskan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN),sesuatu yang masih dinanti-nantikan pelajar negeri yang diperintah pakatan pembangkang. Bagaimana pula janji-janji mereka di Kelantan,Kedah dan Pulau Pinang mahupun Perak ketika mereka memegang kuasa dahulu ??? Mungkin kerana itu tema Hari Merdeka tahun ini begitu sensitif kepada sesetengah pihak. Bantuan bagi pendidikan prasekolah,anak yang dihantar ke nurseri, menurunkan cukai pintu dan cukai premis perniagaan serta elaun ibu tunggal juga masih dinanti-nantikan.Tidak cukup dengan itu, janji-janji 'berat' juga semakin bertambah seperti penurunan harga kereta,pemansuhan tol dan pemansuhan pinjaman PTPTN sedia ada,kononnya semua itu mampu ditampung kerajaan pembangkang,cukup dengan menghapuskan rasuah dan mengawal ketirisan sahaja. 

Ini belum mengambil kira rancangan 'kurang cerdik' seperti mengurangkan bilangan kakitangan awam, terowong dasar laut Pulau Pinang,menurunkan harga minyak dalam 24 jam selepas menang PRU, meroboh tembok penjara jika pemimpin mereka dipenjarakan mahupun ada yang mengangkat komunis sebagai hero, menukar Jalur Gemilang dan sebagainya.Yang nyata,setiap bajet bayangan yang menjanjikan bulan,bintang dan roket itu gagal mendedahkan sumber kewangan yang jelas mahupun kaedah menjana pendapatan serta menarik pelaburan bagi menjamin semua yang dikatakan mampu dipenuhi. Bagi rakyat biasa tentu sekali apa yang digula-gulakan itu sangat menarik, untuk lima saat,tetapi akal yang waras dan rasional tentu melihat banyak lompang dalam perancangan yang tidak berdiri atas realiti dan kemampuan sebenar pembangkang menunaikan janji mahupun kemampuan negara ini menampung bajet boros mereka itu kelak. Bagi Pensyarah Kanan Fakulti Ekonomi dan Muamalat,Universiti Sains Islam Malaysia (USIM),Mohamad Noorizzuddin Nooh, apa yang cuba dilakukan pembangkang sukar difahami kerana ia umpama bajet bunuh diri. 

"Tidak masuk akal, itu yang mampu saya katakan.Selama ini saya bayangkan pembangkang di negara kita lebih bijak. "Mereka seperti tidak berfikir, tiada rancangan sokongan dan tidak gantikan hasil yang hilang. Asas akaun pun tidak lulus kalau tidak boleh imbang antara tolak dan tambah," tegasnya.Menurut beliau, bajet pembangkang itu juga tidak menceritakan bagaimana untuk menggantikan hasil hilang yang digunakan untuk menampung semua rancangan mereka menghapuskan kos perbelanjaan tertentu.Walaupun bajet bayangan pembangkang itu dikatakan ada pelan mencari hasil, beliau tetap merasakan ia tidak mampu menampung apa yang cuba dilakukan mengikut moto Negara Berkebajikan mereka. 

"Mereka nampaknya mengambil contoh elemen tertentu dari beberapa negara maju lain yang mempunyai sistem kebajikan sosial tetapi negara terbabit juga hanya mengamalkan sesetengah aspek yang disebutkan bajet pembangkang itu.Tiada satu kerajaan pun mampu melaksanakan kesemua elemen yang pembangkang sebut dalam bajet itu secara serentak seperti menghapuskan tol, pendidikan percuma dan sebagainya, jika tidak negara itu boleh lumpuh," jelasnya.Katanya lagi,bajet bayangan sepatutnya sesuatu yang realistik dan boleh dilaksanakan secara serentak dalam tempoh satu ke dua tahun dan bukannya yang tidak masuk akal mahupun diganti dengan alasan tunaikan satu demi satu dahulu selepas mendapati janji itu sukar ditunaikan. 

Profesor Ekonomi, Fakulti Ekonomi, Kewangan dan Perbankan,Universiti Utara Malaysia (UUM), Profesor Datuk Amir Baharuddin pula berpendapat, bajet yang dibentang pembangkang itu umpama ditambah secara main-main sedangkan bajet bayangan terdahulu sudah banyak kepincangannya."Bajet eutopia ini macam main-main ditambah.Asas pun tak ada, hendak dapatkan pertumbuhan yang tinggi pula. Janji yang bukan-bukan, budak tingkatan enam pun boleh hasilkan bajet sebegini.Kalau nak lebih mudah, ambil bajet tahun lepas dan tukar nombor-nombor sahaja.Ini bukan caranya.Untuk hasilkan bajet perlu sekurang-kurangnya sembilan bulan kerja, berbincang dengan ramai pihak sebelum kumpul semuanya dalam satu belanjawan," tegasnya.Beliau turut menempelak janji kononnya dengan menghapus atau mengurangkan cukai mereka masih boleh menguruskan sebuah kerajaan kerana ia jelas menipu rakyat dan itu belum melibatkan pembayaran hutang negara.Tambahnya, untuk susutkan hutang negara juga mengambil masa bertahun-tahun dan bukannya dalam satu belanjawan sahaja, jika tidak bajet kerajaan untuk tahun itu hanya untuk membayar pinjaman semata-mata.Beliau memaklumkan pertumbuhan 4.5 peratus juga kini sukar dicapai melihatkan situasi global tetapi sasaran bajet pembangkang umpama satu usaha simplistik untuk mengelirukan rakyat. 

"Dia (pembangkang) boleh janji apa saja tapi pelaksanaannya tentu 'sakit'.Perubahan kekal di bawah kuasa Perlembagaan dan Parlimen, mereka tidak boleh buat apa pun yang dibentangkan selagi tidak memegang kuasa. "Mereka perlu ubah Perlembagaan untuk buat semua yang dijanjikan itu dan ini akan memerlukan sokongan majoriti dua pertiga.Jika tidak,mereka terpaksa akur juga kepada sistem sedia ada," jelasnya.Beliau juga kesal dengan taktik pembangkang sekali lagi membentang satu bajet dengan poket kosong seperti tahun lepas,lebih-lebih lagi diumumkan lebih awal daripada bajet kerajaan. Tambahnya, tindakan itu umpama satu bentuk hasutan yang mengganggu perjalanan proses kerajaan dipilih majoriti rakyat dan menyusahkan kerja Perdana Menteri. Amir menegaskan,pembangkang sepatutnya menyokong apa yang ada kini dan ubah apa yang mereka mahu jika sudah berkuasa,agar apa yang mereka lakukan itu tidak dibalas setimpal kelak. 

"Kalau dia perintah dan orang buat begitu, dia suka? Ini cara kebudak-budakan berjanji itu dan ini. Rakyat bukan sahaja kena fikirkan kenapa mereka bentang bajet bayangan malahan kenapa melangkaui pembentangan Perdana Menteri. Kalau agendanya baik dan betul, mereka tak bentang sekarang, patut tak bentang langsung sebaliknya akan bantu stabilkan negara," ujarnya. 

Menurut beliau,secara individu memang pembangkang banyak duit tapi untuk perbelanjaan negara tentu mereka akan menggunakan hasil daripada cukai dan memerah keringat rakyat. Tambahnya, jika pembangkang pamkan duit sendiri ke dalam tabung negara mahupun meminjam dengan orang kaya seperti George Soros sekalipun belum tentu ia akan mencukupi."Orang kaya seperti Soros pun tiada cita-cita nak biayai negara lain. Mungkin derma main-main beberapa juta sana sini tetapi payah untuk orang sepertinya beri pinjaman berbilion ringgit kepada negara seperti Malaysia.Oleh itu, rakyat perlulah berwaspada dengan perkembangan ini kerana orang yang cetak wang palsu pun sudah ramai, yang janji palsu lagi banyak," tegasnya. - Utusan

HOT NEWS !!! ANWAR IBRAHIM KENA BELASAH DENGAN ULAMA KAW-KAW !!!


Ketua Pembangkang,Datuk Seri Anwar Ibrahim digesa bertaubat sekiranya benar dakwaan yang menyatakan beliau bersetuju bahawa 'umat Islam menghadapi masalah jiwa' apabila membuat bantahan keras terhadap penerbitan dan penyiaran filem Innocence of Muslim.Pengerusi Jawatankuasa kerja Himpunan Ulama Muda Malaysia (ILMU),Fathul Bari Mat Jahya berkata, selain bertaubat Penasihat Parti Keadilan Rakyat(PKR) itu perlu kembali kepada agama dan menghormati sensitiviti umat Islam. 

"Sekiranya kenyataan itu benar,maka saya merasakan Anwar tidak memahami Islam dan sensitiviti umat Islam.Beliau (Anwar) perlu bertaubat dan kembali kepada agama,selain menghormati sensitiviti uamt Islam jika benar," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.kelmarin,Persiden Pertubuhan Jalur Tiga (Jati),Datuk Dr Hassan Ali berkata,Anwar telah memperkecilkan usaha bantahan Umat Islam seperti dilaporkan dalam akhbar Britain,The scotsman baru-baru ini dan ekoran daripada itu,jelas memperlihatkan sikap sebenar Ketua Pembangkang itu walaupun filem anti-Islam itu terbukti menghina Islam dan Rasulullah SAW.Tambah Fathul Bari,Ahli Parlimen Permatang Pauh itu sepatutnya lebih sensitif terhadap isu-isu mengenai Islam kerana tindakan membuat bantahan itu adalah satu fitrah yang menunjukkan kecintaan kepada Rasulullah SAW.Katanya Anwar dianggap menyentuh sensitiviti umat Islam tanpa meletakkan garis panduan atau nasihat yang perlu dilakukan dengan jelas. 

"Sebagai contoh, Anwar patut meletakkan garis panduandan nasihat kepada umat Islam supaya tidak terlalu mengikut emosi dan mengikut ajaran Islam dalam menyuarakan bantahan.Kita dapat lihat sekarang,apabiala orang hina nabi, beliau tidak sensitif, maka tidak hairanlah jika Anwar tidak sensitif terhadap isu lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT), pluralisme dan Yahudi-Israel," katanya. 

Mengulas isu sama,Penasihat Majlis Agama Islam Johor, Datuk Nooh Gadut berkata,umat Islam keseluruhannya wajib menunjukkan satu sikap membantah terhadap sebarang penghinaan ke atas agama dan Rasulullah SAW. "Sekiranya kita tunduk dan reda tanpa menyuarakan bantahan ke atas penghinaan tersebut, bimbang ia disifatkan sebagai bersetuju dengan apa yang dilakukan itu," katanya. Jelas beliau,selain menyuarakan bantahan, umat Islam perlu memberikan pandangan sebenar siapa Rasulullah SAW bagi menepis pembohongan dan penghinaan tersebut. "Dalam Islam, kita wajib mempertahankan lima perkara iaitu agama, nyawa, fikiran, zuriat (keturunan) dan ekonomi serta memperkasakannya. "Dalam konteks ini, sekiranya benar kenyataan seperti laporan akhbar tersebut (kenyataan Anwar), maka ia bukan ciri-ciri etika dan akhlak seorang Islam," katanya.

Friday, September 28, 2012

EKSKLUSIF !!! BAJET 2013 !!! TEKS UCAPAN PENUH PM @NAJIBRAZAK !!!



Teks Ucapan Bajet 2013 YAB DATUK SERI NAJIB RAZAK PERDANA MENTERI DAN MENTERI KEWANGAN “MEMAKMUR NEGARA,MENSEJAHTERA RAKYAT: SEBUAH JANJI DITEPATI”  

Tuan Yang di-Pertua,Saya mohon mencadangkan supaya Rang Undang-undang bertajuk “Suatu Akta bagi menggunakan sejumlah wang daripada Kumpulan Wang Disatukan untuk perkhidmatan bagi tahun 2013 dan bagi memperuntukkan wang itu untuk perkhidmatan bagi tahun itu” dibaca bagi kali kedua.

MUQADDIMAH 

Saya mulakan lafaz ucapan Bajet 2013 dengan kalimah mulia Bismillahirrahmanirrahim dan memetik sepotong ayat dari Surah Al-Baqarah yang diturunkan di Madinah,bahawa : “Berlumba-lumbalah kamu mengerjakan kebaikan,kerana di mana sahaja kamu berada pasti Allah akan menghimpunkan kamu semua pada hari kiamat untuk menerima balasan.Sesungguhnya Allah Maha Berkuasa atas tiap-tiap sesuatu.” 

Tuan Yang di-Pertua, 

1. Saya berdiri di dewan yang mulia pada petang Jumaat yang berbahagia, penghulu segala hari, untuk membentangkan bajet kelima bagi pihak Kerajaan semenjak mula memegang amanah selaku Menteri Kewangan Malaysia pada tahun 2008. Syukur ke hadrat Allah SWT kerana di atas limpah rahmatNya jua, kita telah menyaksikan sepanjang tempoh tersebut, melalui usaha kolektif rakan-rakan anggota pentadbiran dengan sokongan ahli-ahli parlimen, penjawat awam dan seluruh rakyat Malaysia, negara tercinta ini telah berjaya dilindungi daripada kesan terburuk akibat kegawatan kewangan global. Bahkan, ekonomi negara telah diletakkan di landasan pertumbuhan mapan ke arah transformasi sebagai sebuah negara maju berpendapatan tinggi. Manakala kesejahteraan rakyat pula telah dipertingkatkan secara berterusan. 

2. Sesungguhnya, Bajet 2013 ini sebagai penerus tradisi terbaik Kerajaan Barisan Nasional memakmurkan negara dan membawa kesejahteraan kepada semua rakyat. Ia manifestasi sebuah janji yang ditepati. Sejak 55 tahun lalu, pada setiap peringkat pembangunan negara, rakyat Malaysia telah meletakkan kepercayaan mereka kepada Kerajaan yang sama. Terima kasih kita ucapkan atas kepercayaan tersebut. Sekali-kali sepanjang masa dan musim berguling ia tidak pernah dikhianati, sebaliknya pada setiap ketika ia telah dibalas dengan laba pada julat berganda. 

3. Kerajaan ini hakikatnya tidak pernah menjanjikan bulan, bintang mahupun cakerawala. Kita tidak pernah melakar lukisan yang pada hari ini tampak muluk-muluk dan indah tetapi sebenarnya berupa racun yang berbisa. Sebagai Kerajaan yang bertanggungjawab, kita tetap menceritakan kebenaran biarpun kelat. Kita tidak pernah mendodoi rakyat dengan dogengan lipurlara sebaliknya sentiasa menawarkan penyelesaian serta kepimpinan bitara terhadap segala permasalahan rakyat.

4. Telah terbukti tanpa tersanggah lagi bahawa ekonomi Malaysia merupakan ekonomi berteraskan rakyat. Ia hasil wawasan dan aspirasi rakyat. Ia merupakan manifestasi kerja keras dan jerih payah rakyat. Ia sumbangan masyarakat desa dan bandar, golongan profesional serta pekerja kolar biru, petani, buruh, peladang, pekebun kecil, nelayan, guru, pensyarah dan karyawan. Didukung pula para penjawat awam dan usahawan. Di atas segalanya, ia diuruskan secara teliti dan berhemah oleh Kerajaan yang meletakkan kebajikan rakyat di atas jemalanya. Inilah formula kejayaan Malaysia. 

5. Sayugia,mengurus sebuah negara majmuk yang kompleks seperti Malaysia bukan perkara mudah. Ia memerlukan keikhlasan dan kebijaksanaan kerana rakyat Malaysia amat cerdik menilai yang mana intan dan yang mana kaca. Hakikat rakyat telah memberi mandat kepada Kerajaan ini sebanyak 12 kali tanpa putus semenjak 1959 bermakna sesuatu yang betul telah dilakukan oleh Kerajaan sedia ada. 

6. Sesungguhnya waad yang wujud itu, di antara rakyat dan Kerajaan selama ini mana mungkin mampu dipunahkan waima sekuat mana pun fitnah dan mehnah melanda. Sehubungan itu, naskah bajet yang akan saya persembahkan ini merupakan sebuah penghargaan kepada seluruh rakyat Malaysia lantaran terus meletakkan kepercayaan kepada kami di sepanjang ketika. PRESTASI EKONOMI 2012 DAN PROSPEK 2013 Tuan Yang di-Pertua, 

7. Kerajaan komited dalam memastikan pertumbuhan ekonomi negara terus berkembang meskipun dalam persekitaran global yang tidak menentu dan mencabar. Asas ekonomi yang kukuh serta disokong oleh sistem monetari akomodatif telah membolehkan ekonomi negara berada di landasan teguh. Dalam tempoh separuh pertama 2012, ekonomi negara tumbuh pada kadar 5.1 peratus didorong, terutamanya oleh kekukuhan aktiviti pelaburan dan penggunaan swasta. Negara terus menerima kemasukan pelaburan langsung asing bersih berjumlah 13.6 bilion ringgit selaras dengan peningkatan keyakinan pelabur terhadap Malaysia sebagai destinasi pelaburan pilihan utama. 

8. Bagi keseluruhan tahun 2012, walaupun pertumbuhan ekonomi dan perdagangan dunia sederhana, pertumbuhan ekonomi negara dijangka berkembang kukuh pada kadar 4.5 hingga 5 peratus. Pertumbuhan ini dipacu oleh pelaburan swasta sebanyak 11.7 peratus atau mencapai 127.9 bilion ringgit. Prestasi ini jauh lebih besar berbanding jumlah pelaburan sebanyak 81 bilion ringgit pada tahun 2009. Trend ini menunjukkan aktiviti pelaburan domestik semakin rancak, terutama dengan pelaksanaan projek-projek di bawah Program Transformasi Ekonomi. Ini mendorong sektor pembinaan terus melonjak tinggi sebanyak 15.5 peratus berbanding 4.6 peratus pada tahun 2011. 

9. Persekitaran ekonomi domestik yang mantap juga mendorong bursa saham mencatat prestasi yang menggalakkan. Ini terbukti dengan Indeks Komposit Bursa Malaysia telah mencecah rekod tertinggi 1,654.11 mata pada 4 September 2012. Nilai modal pasaran telah meningkat sebanyak 44 peratus daripada 999 bilion ringgit pada akhir tahun 2009 kepada 1.43 trilion ringgit pada akhir Julai 2012.Pendapatan per kapita pula meningkat kepada hampir 31 ribu ringgit pada tahun 2012 berbanding 25 ribu ringgit pada tahun 2009. Rizab antarabangsa pada 14 September 2012 pula kekal kukuh mencatat 432.2 bilion ringgit, mampu membiayai 9.5 bulan import tertangguh dan 3.9 kali hutang luar jangka pendek. 

10. Pada tahun 2013, berdasarkan persekitaran ekonomi global yang dijangka lebih baik, pertumbuhan ekonomi negara diunjur berkembang lebih kukuh pada kadar 4.5 hingga 5.5 peratus. Julung kalinya, Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) nominal dijangka melepasi paras 1 trilion ringgit. Pertumbuhan lebih baik ini didorong oleh pelaburan dan penggunaan swasta sebanyak 13.3 peratus dan 5.7 peratus. Sektor pembinaan dijangka terus meningkat kukuh 

11.2 peratus diikuti oleh sektor perkhidmatan pada kadar 5.6 peratus. PERUNTUKAN BAJET 2013 Tuan Yang di-Pertua, 11. Bajet 2013 akan menyediakan peruntukan sejumlah 251.6 bilion ringgit bagi melaksanakan semua langkah, program dan projek pembangunan, menumpukan kepada kesejahteraan rakyat dan pembangunan negara. Daripada jumlah tersebut, 201.9 bilion ringgit adalah bagi perbelanjaan mengurus dan 49.7 bilion ringgit bagi peruntukan pembangunan. 

12. Di bawah peruntukan mengurus, sejumlah 58.6 bilion ringgit adalah bagi Emolumen dan 33.7 bilion ringgit disediakan bagi Perkhidmatan dan Bekalan. Manakala, 107.3 bilion ringgit diperuntukkan kepada Pemberian dan Kenaan Bayaran Tetap. Sejumlah 1.1 bilion ringgit disediakan untuk Pembelian Aset dan baki 1.2 bilion ringgit untuk perbelanjaan lain. 

13. Bagi peruntukan pembangunan pula, sejumlah 30 bilion ringgit disediakan bagi sektor ekonomi untuk menampung keperluan infrastruktur, perindustrian serta pertanian dan pembangunan luar bandar. Sejumlah 11.1 bilion ringgit diperuntukkan bagi sektor sosial, termasuk pendidikan dan latihan, kesihatan, kebajikan, perumahan serta pembangunan masyarakat. Seterusnya, 4.6 bilion ringgit diperuntukkan bagi pembangunan sektor keselamatan, 2 bilion ringgit bagi pentadbiran am dan 2 bilion ringgit untuk simpanan luar jangka. 

14. Dari segi kutipan hasil Kerajaan Persekutuan bagi tahun 2013, jumlahnya dianggarkan 208.6 bilion ringgit, berbanding 207.2 bilion ringgit pada tahun 2012. Dengan mengambil kira anggaran hasil dan perbelanjaan, defisit Kerajaan Persekutuan akan terus berkurangan kepada 4.0 peratus daripada KDNK bagi tahun 2013, berbanding 4.5 peratus pada tahun 2012. Ini menunjukkan Kerajaan komited untuk terus mengurangkan defisit fiskal ke paras lebih rendah. FOKUS BAJET 2013 Tuan Yang di-Pertua, 

15. Bajet 2013 digubal dengan fokus untuk meningkatkan taraf hidup rakyat di seluruh negara, memastikan pertumbuhan ekonomi mapan, perbelanjaan berhemah dan mengurangkan defisit fiskal negara dengan matlamat keseluruhan mengutamakan kesejahteraan rakyat. Kerajaan akan memastikan rakyat mendapat perkhidmatan terbaik serta manfaat maksimum hasil daripada pelaksanaan program dan projek pembangunan. Oleh itu, Bajet 2013 dirangka bertemakan “MEMAKMUR NEGARA, MENSEJAHTERA RAKYAT: SEBUAH JANJI DITEPATI” dengan memberi penekanan kepada lima fokus utama. FOKUS PERTAMA: MERANGSANG AKTIVITI PELABURAN Tuan Yang di-Pertua, 
16. Pertumbuhan ekonomi negara akan terus dipacu oleh pelaburan langsung asing dan domestik. Dalam tempoh separuh pertama 2012, pelaburan swasta meningkat kepada 75.3 bilion ringgit berbanding 59.8 bilion ringgit bagi tempoh yang sama tahun 2011. Trend ini dijangka berterusan dalam tahun 2013 dengan pelaburan swasta dijangka meningkat kepada 148.4 bilion ringgit. 

17. Kerajaan akan terus memperhebatkan pelaksanaan 12 Bidang Utama Ekonomi Negara. Sejumlah 3 bilion ringgit diperuntukkan bagi pelaksanaan projek permulaan bagi tahun 2013. Ini termasuk 1.5 bilion ringgit bagi projek pertanian seperti kelapa sawit, getah, herba bernilai tinggi dan padi. Sebanyak 500 juta ringgit diperuntukkan untuk projek River of Life bagi mengindahkan Sungai Klang. Manakala, 300 juta ringgit lagi untuk projek pemulihan rangkaian paip dan pembentungan bagi perkhidmatan dan kemudahan air. Menggalak Pelaburan Domestik Tuan Yang di-Pertua, 

18. Seterusnya, bagi merangsang pelaburan domestik dan mempercepatkan penyertaan syarikat Malaysia dalam rantaian bekalan global, Kerajaan telah menyediakan Dana Strategik Pelaburan Domestik bernilai 1 bilion ringgit di bawah Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia. Dana ini bertujuan memanfaatkan aktiviti penyumberan luar dan pemerolehan teknologi oleh syarikat tempatan. Selain itu, Kerajaan juga memperkenalkan semula insentif pengambilalihan syarikat asing dan kadar cukai khas bagi menggalakkan penyedia perkhidmatan tempatan bergabung menjadi entiti lebih besar. Mempergiat Perusahaan Kecil dan Sederhana 

19. Seperti kita maklum, Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) memainkan peranan penting dalam transformasi ekonomi negara. Bagi mempercepatkan pertumbuhan industri PKS dan perluasan skop kawasan industri di seluruh negara, dana sebanyak 1 bilion ringgit akan disediakan di bawah Skim Pembangunan PKS bawah kendalian SME Bank. Langkah ini memudahkan akses PKS untuk mendapat pembiayaan dan seterusnya memajukan perniagaan mereka. 

20. Ini selari dengan Pelan Induk PKS (2012 - 2020) yang telah dilancarkan yang bertindak sebagai ‘game changer’ untuk mempercepatkan pertumbuhan PKS melalui inovasi dan produktiviti. Pelan induk ini melibatkan pelaksanaan 32 inisiatif termasuk 6 Program Berimpak Tinggi dengan peruntukan 30 juta ringgit. 

21. Dalam mempergiatkan Industri Halal, terutamanya membangunkan produk-produk halal berimpak tinggi untuk tujuan eksport, SME Bank dengan kerjasama Bank Pembangunan Islam akan menyediakan Dana Industri Halal sebanyak 200 juta ringgit bagi membiayai modal kerja PKS terlibat. 

22. Pada masa ini, terdapat 1.5 juta penjaja dan peniaga kecil menjalankan perniagaan secara tradisional dengan struktur perniagaan kecil dan pendapatan harian tidak menentu. Sehubungan itu, sebagai tanda keprihatinan dengan kekangan yang dihadapi oleh mereka sekiranya berlaku kemudaratan diri, hilang upaya serta kematian, Kerajaan mencadangkan skim perlindungan insurans berkelompok kepada penjaja dan peniaga kecil yang berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia. Skim ini akan memberi had perlindungan maksimum sehingga 5,000 ringgit. Buat pertama kalinya, Kerajaan akan membiayai skim ini dengan peruntukan sebanyak 16 juta ringgit setahun. 

23. Di samping itu, Perbadanan Nasional Berhad (PNS) akan memperkenalkan program Business In Transformation bagi menyokong usaha bersepadu memodenkan perniagaan golongan penjaja dan peniaga kecil kepada standard yang lebih tinggi dan berdaya saing dengan menggunakan model licensing atau franchising. Program ini akan memberi bimbingan dan khidmat nasihat ke atas konsep perniagaan baru seperti kedai bergerak, kiosk dan perniagaan atas talian. Untuk ini, PNS akan menyediakan kemudahan kepada penjaja dan peniaga kecil dengan pinjaman sehingga 25 ribu ringgit bagi licensee dan 500 ribu ringgit kepada licensor. Malaysia Sebagai Hab Minyak dan Gas Tuan Yang di-Pertua, 

24. Kita bersyukur kerana dikurniakan punca galian berharga iaitu minyak dan gas asli di pesisir pantai. Kerajaan bermatlamat menjadikan Malaysia daripada sekadar pengeluar, kepada salah satu hab dagangan minyak dan gas bersepadu utama dunia. 

25. Jadi, Kerajaan telah mengambil beberapa langkah strategik meningkatkan keupayaan negara terutamanya dalam menyediakan ekosistem yang berupaya menyokong pembangunan rantaian penapisan, penyimpanan dan dagangan. Bagi mendokong penglibatan pengusaha swasta dalam pembangunan industri minyak dan gas, pelbagai insentif cukai dan insentif bukan cukai istimewa telah dirangka. Ini termasuk bantuan kos pengambilalihan tanah dan bantuan kewangan sebagai tipping point projek perkongsian awam swasta, pengecualian cukai pendapatan 100 peratus untuk tempoh 10 tahun, pengecualian cukai pegangan dan pengecualian duti setem. 

26. Bagi pelaburan dalam aktiviti penapisan produk petroleum, Elaun Cukai Pelaburan sebanyak 100 peratus untuk tempoh 10 tahun diberi kepada yang layak. Hasil insentif, pelbagai projek pelaburan minyak dan gas bernilai 20 bilion dolar US telah dimulakan termasuk projek Petronas Refinery and Petrochemical Integrated Development atau Rapid, Terminal Simpanan Minyak dan Gas di Johor, Loji Regasifikasi di Melaka dan terminal minyak serta gas di Sipitang, Sabah. 

27. Pada tahun lepas, Kerajaan juga telah melancarkan Program Global Incentive for Trading atau GIFT dengan galakan cukai pada kadar 3 peratus. Sehubungan dengan permintaan global LNG yang dijangka mencecah 400 juta tan setahun pada tahun 2025, program GIFT ditambah baik dengan pengecualian cukai pendapatan 100 peratus ke atas pendapatan berkanun untuk tempoh 3 tahun pertama operasi bagi syarikat dagangan. Dagangan komoditi yang diluluskan akan diperluaskan kepada lain-lain komoditi seperti pertanian, bahan mentah bertapis, logam asas dan kimia. Merancak Sektor Pelancongan 

Tuan Yang di-Pertua,

28. Industri pelancongan merupakan satu sektor pertumbuhan ekonomi penting yang menyumbang hampir 12 peratus KDNK. Jumlah pendapatan daripada sektor pelancongan dianggar akan meningkat kepada 62 bilion ringgit pada tahun 2012. Sempena Tahun Melawat Malaysia 2013/2014, Kerajaan akan memperuntukkan sebanyak 358 juta ringgit di bawah perbelanjaan pembangunan iaitu peningkatan peruntukan sebanyak 42 peratus dengan sasaran pelancong seramai 26.8 juta orang. Kerajaan juga mencadangkan lanjutan pengecualian cukai pendapatan selama 3 tahun bagi pengusaha pelancongan yang mengendalikan sekurang-kurangnya 750 pelancong asing atau 1,500 pelancong tempatan setahun. Meningkat Aktiviti Pertanian 

29. Di sudut lain, Kerajaan akan terus memberi penekanan kepada sektor pertanian dalam usaha untuk meningkatkan pendapatan negara dan memastikan kelestarian jaminan bekalan makanan. Diperuntukkan sebanyak 5.8 bilion ringgit, kepada Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani. 

30. Kerajaan menyediakan sebanyak 30 juta ringgit bagi pembangunan program pertanian merangkumi aplikasi penggunaan teknologi tinggi dalam pengeluaran buah dan sayuran, peningkatan pembekalan benih berkualiti, penstabilan harga melalui jualan terus dari ladang, pewujudan pasar ikan rakyat serta penambahbaikan institusi latihan pertanian. Kerajaan juga mempersiapkan sebanyak 75 juta ringgit bagi meningkatkan pengeluaran produk makanan dan kesihatan. 

31. Bagi sektor perladangan pula, di bawah NKEA, sebanyak 432 juta ringgit disediakan untuk program penanaman semula pokok kelapa sawit. Langkah ini akan meningkatkan tuaian hasil buah sawit setahun pada kadar 26.2 tan sehektar pada tahun 2020 berbanding 21 tan sehektar pada masa ini. Di samping itu, sebanyak 127 juta ringgit disediakan untuk pembangunan bahan terbitan oleo bernilai tinggi yang dapat mengubah komposisi industri hiliran ke arah pengeluaran lebih banyak bahan terbitan. Kelestarian Jaminan Bekalan Makanan Tuan Yang di-Pertua, 

32. Berkaitan kelestarian jaminan bekalan makanan pada masa akan datang, kawasan jelapang padi sedia ada akan ditambahbaik dengan sistem pengurusan tanamannya secara sistematik. Sebagai tambahan, 4 kawasan jelapang padi baru akan dibuka dan diperluas iaitu di Kota Belud, Batang Lupar, Rompin dan Pekan. Pada masa ini, kawasan jelapang padi bertanam adalah seluas 389 ribu hektar yang mampu menghasilkan sebanyak 1.8 juta tan metrik. Pertambahan 4 lagi kawasan jelapang padi baru seluas 19 ribu hektar dengan penyertaan seramai 12,237 pesawah dijangka menghasilkan 104 ribu tan metrik dengan perbelanjaan sebanyak 140 juta ringgit. Membela Nasib Petani dan Nelayan 33. Kerajaan amat menghargai sumbangan para nelayan dan sentiasa memastikan kedudukan sosioekonomi golongan ini bertambah baik dan pendapatan mereka meningkat. Pada masa ini, Kerajaan memberi elaun bantuan sara hidup 200 ringgit sebulan yang dapat memanfaatkan 55 ribu nelayan berdaftar. Kerajaan juga menyediakan insentif pada kadar 10 sen hingga 20 sen sekilo bagi menggalakkan nelayan mendaratkan hasil tangkapan di jeti-jeti berdaftar seluruh negara. 34. Kerajaan juga telah memperkenalkan skim perlindungan insurans nelayan dengan perlindungan maksimum 100 ribu ringgit. Meneruskan hasrat ini, bagi tahun 2013, Kerajaan akan memperuntukkan 230 juta ringgit sebagai insentif tangkapan ikan dan bayaran elaun bantuan sara hidup nelayan. Di samping itu, berdasarkan peruntukan 300 juta ringgit pada Bajet 2012, program pembangunan dan pembaikan rumah nelayan sedang giat dijalankan. 35. Bagi membantu para petani mengurangkan kos pengeluaran pula, Kerajaan akan meneruskan pemberian subsidi dan insentif pertanian sedia ada berjumlah 2.4 bilion ringgit. Bantuan ini termasuk subsidi dan insentif untuk sektor padi yang merangkumi Pemberian Subsidi Harga Padi - 480 juta ringgit, Pemberian Subsidi Baja Padi - 465 juta ringgit, Insentif Peningkatan Hasil Padi - 80 juta ringgit, Insentif Pengeluaran Padi - 563 juta ringgit, Subsidi Harga Beras - 528 juta ringgit dan Subsidi Benih Padi Sah - 85 juta ringgit. 36. Selaras dengan komitmen untuk menjaga kebajikan rakyat, terutama pengusaha sawah, buat julung kalinya, Kerajaan akan memperkenalkan Skim Perlindungan Takaful Padi. Skim ini memberi kemudahan perlindungan kepada pengusaha sawah di bawah 10 hektar dan dijangka dapat memanfaatkan 172 ribu pesawah. Jumlah pampasan yang dapat diterima dianggarkan bernilai 13 ribu ringgit setiap pesawah. Buat permulaan, Kerajaan akan memperuntukkan 50 juta ringgit. 37. Selain itu, Kerajaan akan meneruskan Projek Azam Tani yang diperkenalkan pada tahun 2011. Program ini telah berjaya mengeluarkan seramai 1,234 keluarga daripada garis kemiskinan dengan purata pendapatan meningkat di antara 200 hingga 2,000 ringgit sebulan malah beberapa peserta telah berjaya mendapat pendapatan melebihi 10 ribu ringgit sebulan. Untuk memperkasakan lagi usaha ini, sebanyak 41 juta ringgit akan diperuntukkan bagi memberi manfaat kepada 6,730 peserta. Mencergaskan Pasaran Modal dan Kewangan Tuan Yang di-Pertua, 38. Pasaran modal negara berkembang pesat walaupun terdapat ketidaktentuan dalam ekonomi global. Malaysia terus menerajui terbitan sukuk dengan menyumbang 71 peratus atau 171 bilion ringgit daripada jumlah terbitan sukuk global dalam tempoh tujuh bulan pertama 2012. Ini terbukti dengan terbitan sukuk tunggal terbesar di dunia oleh PLUS Berhad bernilai 30.6 bilion ringgit. 39. Di samping itu, industri pengurusan dana dan amanah saham menunjukkan pertumbuhan kukuh dalam tempoh pertama 2012 dengan aset yang diuruskan meningkat kepada 451.9 bilion ringgit dan nilai aset bersih sebanyak 277.8 bilion ringgit. Tuan Yang di-Pertua, 40. Pada tahun 2012, pasaran ekuiti negara telah mencatat peningkatan yang monumental dengan menyaksikan tawaran awam awal atau IPO yang bernilai 17.4 bilion ringgit. Ia merupakan peningkatan 162 peratus berbanding 2011. Sejarah tercipta apabila dua daripada tiga IPO terbesar di dunia iaitu Felda Global Ventures Holdings (FGVH) dengan nilai 9.9 bilion ringgit dan IHH Healthcare Berhad dengan nilai 6.3 bilion ringgit telah diterbitkan. Terkini, Astro akan disenaraikan pada bulan Oktober 2012 dengan jangkaan nilai terbitan yang besar. 41. Untuk terus mencergaskan pasaran modal dan ekuiti negara, Suruhanjaya Sekuriti akan menyediakan rangka kerja bagi terbitan AgroSukuk untuk syarikat yang terlibat dalam sektor pertanian, terutamanya dengan kejayaan penyenaraian FGVH. Dengan terdapatnya instrumen seperti AgroSukuk, ia dapat mengumpulkan modal bagi membiayai syarikat-syarikat pertanian dan industri asas tani. Justeru, untuk menggalakkan terbitan AgroSukuk, Kerajaan mencadangkan perbelanjaan bagi menerbitkan sukuk tersebut diberi potongan cukai dua kali bagi tempoh 4 tahun mulai tahun taksiran 2012 hingga 2015. 42. Selain daripada pelabur institusi, buat pertama kalinya, Kerajaan menggalakkan pelabur runcit menyertai pasaran modal. Bagi tujuan ini, SC telah menyediakan satu rangka kerja terbitan bon dan sukuk runcit untuk membolehkan pelabur-pelabur runcit memiliki pegangan dalam pasaran bon dan sukuk. Sebagai permulaan, DanaInfra Nasional Berhad akan menerbitkan bon runcit bernilai 300 juta pada akhir tahun 2012 untuk membiayai pembangunan projek MRT. 43. Bagi mendorong syarikat menerbitkan bon dan sukuk runcit, Kerajaan mencadangkan perbelanjaan tambahan menerbitkan bon dan sukuk runcit tersebut diberi potongan cukai dua kali mulai tahun taksiran 2012 hingga 2015. Pada masa yang sama, pelabur individu pula, diberi pengecualian duti setem ke atas surat cara yang terlibat dalam urus niaga bon dan sukuk runcit. 44. Suruhanjaya Sekuriti akan menubuhkan Pusat Promosi Pasaran Modal bagi memastikan keberkesanan dan promosi secara holistik pasaran modal Malaysia di peringkat antarabangsa. Pusat ini akan memastikan pendekatan bersepadu dengan menyediakan inisiatif yang konsisten untuk menempatkan Malaysia sebagai destinasi pelaburan dan pendanaan. 45. Bagi meningkatkan penawaran golongan profesional untuk menyokong pertumbuhan pasaran modal, SC akan memperkenalkan inisiatif Graduate Representative Program. Program ini akan dilaksanakan dengan kerjasama sektor swasta bagi melatih 1,000 graduan supaya dapat memenuhi keperluan industri sekuriti dan derivatif. Menggalakkan Amanah Perniagaan (Business Trust) Tuan Yang di-Pertua, 46. Pengendalian perniagaan melalui suatu entiti amanah mempunyai kelebihan tertentu, terutamanya dari segi meningkatkan keupayaan untuk memperoleh sumber kewangan berdasarkan aset yang dimiliki. Dengan itu, Kerajaan telah meminda Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 untuk menyediakan pilihan pengendalian perniagaan melalui struktur baru iaitu amanah perniagaan (business trust). 47. Selaras dengan ini, Kerajaan mencadangkan amanah perniagaan diberi layanan cukai sama seperti sesebuah syarikat. Seterusnya, bagi menggalakkan pembangunan amanah perniagaan, adalah dicadangkan pindah milik perniagaan, aset dan hartanah milik syarikat kepada amanah perniagaan diberi pengecualian duti setem dan pengecualian cukai keuntungan harta tanah di peringkat awal penubuhan amanah perniagaan. 48. Kerajaan telah menubuhkan Danajamin Nasional Berhad agar syarikat yang berdaya maju mendapat dana melalui pasaran bon pada kos yang munasabah. Danajamin telah meluluskan jaminan berjumlah 9.3 bilion ringgit nilai terbitan bon kepada 30 syarikat dengan 4.2 bilion ringgit bon dan sukuk telah diterbitkan. Langkah ini telah membolehkan syarikat menjana aktiviti ekonomi dalam pelbagai sektor termasuk hartanah, infrastruktur, perladangan, minyak dan gas, pembinaan, perkilangan serta penerbangan. 49. Bagi merancakkan lagi akses syarikat ke pasaran modal, Kerajaan akan menambah peruntukan modal Danajamin sebanyak 400 juta ringgit dalam tempoh 2 tahun. Suntikan ini dapat melipatgandakan nilai terbitan antara 4 hingga 6 bilion ringgit. 50. Kerajaan turut mengumumkan penubuhan Yayasan Pasaran Modal sebagai usaha bersepadu meningkatkan kompetensi dan keupayaan untuk bersaing dalam landskap pasaran modal yang lebih dinamik. Yayasan ini akan memberi fokus kepada 3 aspek utama iaitu pembangunan PKS; menggalak dan menyokong produk inovasi dan pembangunan modal insan. Sehubungan dengan itu, sejumlah 100 juta ringgit akan disediakan kepada Yayasan ini melalui Tabung Pembangunan Pasaran Modal di bawah kawal selia SC. 51. Sebagai salah satu inisiatif untuk menjadikan Malaysia sebagai hab kewangan antarabangsa serta menarik FDI, Kerajaan telah melancarkan Tun Razak Exchange atau TRX pada 30 Julai 2012 dengan nilai pembangunan kasar sebanyak 26 bilion ringgit. TRX akan memberi peluang pelaburan baru dengan menghubungkan komuniti perniagaan dan pasaran global. TRX dijangkakan menarik 250 syarikat perkhidmatan kewangan antarabangsa dan menawarkan 40 ribu peluang pekerjaan mahir dan berpengetahuan. 52. Untuk mengalakkan institusi kewangan antarabangsa utama menjadikan Kuala Lumpur sebagai pilihan pelaburan, pengecualian cukai pendapatan bagi tempoh 10 tahun kepada syarikat berstatus TRX, pengecualian duti setem, elaun bangunan industri, elaun modal dipercepatkan kepada syarikat berstatus TRX Marquee dan pengecualian cukai bagi pemaju hartanah telah diberikan. Kerja pembinaan awal TRX berjalan lancar mengikut jadual. Manakala, pengalihan kemudahan utiliti sedia ada di tapak TRX pula sedang giat dijalankan dan dijangka selesai pada Oktober 2012. Wakaf Korporat Tuan Yang di-Pertua, 53. Kerajaan mengambil maklum bahawa Majlis Agama Islam Negeri merupakan pemegang amanah tunggal bagi semua wakaf dan dana wakaf dalam sesebuah negeri. Institusi wakaf di Malaysia tidak hanya tertumpu pada pembangunan tanah semata-mata tetapi juga merangkumi wakaf dalam bentuk tunai, saham dan instrumen kewangan lain yang dikategorikan sebagai wakaf korporat. Selaras dengan itu, Yayasan Wakaf Malaysia di bawah Jabatan Wakaf Zakat dan Haji (JAWHAR) akan diberi tanggungjawab untuk merangka pelan induk Wakaf Korporat mengambil kira struktur perundangan Agama Islam Negeri. Pelan induk ini bakal menjadi platform pembangunan wakaf korporat di Malaysia. Pembangunan Usahawan Bumiputera Tuan Yang di-Pertua, 54. Kerajaan sentiasa komited dalam memastikan syarikat Bumiputera dapat bersaing secara seimbang dalam pemilikan syarikat besar, pekerjaan berpendapatan tinggi serta pelaburan dalam sektor utama ekonomi. Pada tahun 2010, ekuiti Bumiputera telah meningkat kepada 23 peratus berbanding 22 peratus pada tahun 2008. Salah satu usaha ialah meningkatkan penglibatan syarikat Bumiputera dalam pelaksanaan jajaran pertama projek MRT. Sesungguhnya, penglibatan syarikat Bumiputera dalam projek berimpak tinggi seperti MRT akan meningkatkan keupayaan dan kemahiran syarikat Bumiputera tempatan. Justeru, sebanyak 9 bilion ringgit atau 43 peratus daripada nilai kos infrastruktur projek MRT diperuntukkan kepada syarikat Bumiputera. 55. Usaha juga akan diambil bagi membantu syarikat PKS Bumiputera untuk berkembang dan mempertingkatkan pegangan ekuiti dalam sektor ekonomi. Sehubungan ini, Dana Pembiayaan Bumiputera berjumlah 1 bilion ringgit akan disediakan oleh SME Bank. Dana ini dijangka dapat membantu PKS tempatan bagi tujuan membiayai pengambilalihan anak syarikat milik GLC yang menjalankan aktiviti bukan teras dan telah dikenal pasti untuk dijual. Setakat ini, 2 GLC telah mengenal pasti anak-anak syarikat yang berpotensi untuk dijual kepada pelabur-pelabur Bumiputera. 56. Kerajaan telah memperkenalkan Skim Jaminan Modal Kerja dengan dana sebanyak 10 bilion ringgit bagi membantu syarikat PKS mendapatkan akses pembiayaan modal kerja. Skim ini memberi jaminan maksimum sehingga 2.5 juta ringgit bagi setiap syarikat yang layak. Pada masa ini, dana Skim ini yang dikhaskan kepada syarikat Bumiputera masih berbaki 900 juta ringgit. Bagi menarik lebih banyak syarikat bumiputera menikmati kemudahan Skim ini, Kerajaan akan melanjutkan tempoh tamat program skim ini sehingga 31 Disember 2013, memperluas skim ini kepada syarikat Bumiputera Berprestasi Tinggi dan meningkatkan kelayakan dana pemegang saham syarikat daripada 10 juta ringgit kepada tidak melebihi 20 juta ringgit. 57. Kemudahan pinjaman secara mudah dan cepat sering kali menjadi kekangan kepada usahawan kecil terutama Bumiputera. Dengan tertubuhnya Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN), usahawan kecil kini mampu memulakan dan memajukan lagi perniagaan mereka. Sehingga kini, TEKUN telah menyalurkan pinjaman sebanyak 2.24 bilion ringgit kepada 224,175 usahawan kecil di seluruh negara termasuk sejumlah 34.5 juta ringgit kepada 4,212 usahawan masyarakat India di bawah Skim Pembangunan Usahawan Masyarakat India. Bagi tahun 2013, Kerajaan menyediakan peruntukan sebanyak 350 juta ringgit, termasuk daripadanya 50 juta ringgit kepada masyarakat India. FOKUS KEDUA: MEMPERKASA PENDIDIKAN DAN LATIHAN Tuan Yang di-Pertua, Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 58. Sememangnya sejak merdeka, Kerajaan telah menjadikan bidang pendidikan sebagai agenda utama negara. Kerajaan juga menyedari pelaburan dalam bidang ini adalah prasyarat kepada sebuah negara yang makmur dan pembangunan rakyat yang sejahtera. Lalu, setiap tahun menyaksikan peruntukan besar dan kali ini 21 peratus daripada keseluruhan bajet. Namun, didapati hasil yang diperolehi tidak setara dengan pelaburan yang telah dibuat. Maka, pada 11 September lepas, Kerajaan melalui Kementerian Pelajaran telah melancarkan Laporan Awal Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 bagi memastikan sistem pendidikan negara akan mampu mengoptimumkan potensi setiap anak Malaysia. 59. Bagi Bajet 2013, sebanyak 38.7 bilion ringgit telah diperuntukkan kepada Kementerian Pelajaran meliputi peruntukan mengurus dan pembangunan. 60. Berbicara tentang itu, langkah meningkat upaya kompetensi dan kualiti guru merupakan prasyarat kritikal yang menunjang kejayaan sistem pendidikan negara. Oleh itu, bagi menjana mula prakarsa ini, di samping 38.7 bilion ringgit peruntukan kepada Kementerian Pelajaran bagi perbelanjaan mengurus dan pembangunan, Kerajaan akan menyediakan peruntukan tambahan sebanyak 500 juta ringgit bagi meningkatkan kemahiran guru dalam pengajaran subjek-subjek teras, yakni Bahasa Kebangsaan, bahasa Inggeris, sains dan matematik melalui pendekatan Higher Order Thinking Skills. Peruntukan ini juga merangkumi penubuhan Unit Pelaksanaan Pendidikan atau Education Delivery Unit bagi memantau dan menilai keberkesanan pelaksanaan transformasi pelan tersebut. Tuan Yang di-Pertua, 61. Pada pembentangan Bajet 2012, Kerajaan telah menyediakan sebanyak 1 bilion ringgit di bawah Tabung Khas Pembinaan, Penambahbaikan dan Penyelenggaraan Sekolah khusus bagi keperluan mendesak untuk membaik-pulih bangunan sekolah, penyelenggaraan, pembelian peralatan dan pembinaan blok tambahan. Untuk meneruskan komitmen Kerajaan, sukacita saya mengumumkan tambahan 1 bilion ringgit lagi kepada Tabung khas ini. Daripada jumlah ini, 400 juta ringgit akan disalurkan kepada Sekolah Kebangsaan, 100 juta ringgit kepada Sekolah Jenis Kebangsaan Cina, 100 juta ringgit Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil, 100 juta ringgit Sekolah Mubaligh, 100 juta ringgit Sekolah Agama Bantuan Kerajaan, 100 juta ringgit Sekolah Berasrama Penuh dan 100 juta ringgit kepada Maktab Rendah Sains MARA. Memperkukuh Pendidikan Awal Kanak-Kanak Tuan Yang di-Pertua, 62. Melangkah ke ruang pendidikan awal kanak-kanak, kualiti pendidikan prasekolah amat penting sebagai platform melengkapkan kanak-kanak dengan pendidikan asas. Untuk ini, sebanyak 1.2 bilion ringgit disediakan bagi tujuan pendidikan prasekolah termasuk kepada Jabatan Kemajuan Masyarakat, Kementerian Pelajaran, PERMATA dan Jabatan Perpaduan dan Integrasi Nasional. Sebagai tambahan, sebanyak 380 juta ringgit disediakan di bawah Kementerian Pelajaran untuk penempatan guru prasekolah. 63. Berhubung perkhidmatan taska dan pusat jagaan kanak-kanak yang berkualiti pula, demi memastikan kanak-kanak mendapat penjagaan sempurna di samping membangunkan perkembangan minda yang positif, Kerajaan mencadangkan insentif-insentif berikut: Pertama: Geran pelancaran 10 ribu ringgit kepada penyedia Pusat Pendidikan Awal Kanak-kanak (ECCE) swasta untuk membantu mereka membuka taska baru yang berkualiti. Dianggarkan 1,000 ECCE swasta baru akan mendapat manfaat; Kedua: Potongan cukai 2 kali ke atas elaun atau subsidi yang diberi kepada pekerja dan perbelanjaan penyelenggaraan kemudahan taska dan pusat jagaan kanak-kanak akan diberi kepada majikan; Ketiga: Pengecualian cukai pendapatan bagi tempoh 5 tahun dan elaun bangunan industri pada kadar 10 peratus setahun diberi kepada pengusaha taska dan pusat jagaan kanak-kanak swasta; dan Keempat : Pengecualian cukai pendapatan untuk tempoh 5 tahun dan elaun bangunan industri pada kadar 10 peratus setahun kepada pengusaha pra-sekolah swasta. 64. Pada masa ini, kita dapati ramai kanak-kanak kurang upaya dari keluarga berpendapatan rendah yang tidak mendapat pendidikan awal kerana kekurangan taska OKU. Untuk ini Kerajaan akan melaksanakan projek perintis taska OKU bagi 6 kategori kanak-kanak OKU yang merangkumi down syndrome, autisme, penglihatan, pekak dan bisu, fizikal dan OKU masalah pembelajaran. Latihan dan Kemahiran 65. Berganjak kepada soal modal insan, yang berpengetahuan, kreatif dan inovatif, program latihan akan dibentuk untuk mengasah kemahiran baru selaras dengan keperluan industri masa depan ke arah ekonomi berpendapatan tinggi dan maju. Bagi tujuan ini, pada tahun 2013, sejumlah 3.7 bilion ringgit akan disediakan untuk melatih pelajar dalam bidang teknikal dan vokasional. 66. Setiap tahun hampir 180 ribu graduan berkelulusan diploma dan sarjana muda menamatkan pengajian daripada institusi pengajian tinggi. Untuk membantu mereka yang masih menganggur, maka Kerajaan akan melancarkan Graduate Employability Blueprint pada penghujung tahun 2012. Rangka kerja ini akan memberi tumpuan untuk memperkukuh kebolehpasaran graduan. Dalam hal ini, Kerajaan akan menubuhkan Graduate Employability Taskforce dengan peruntukan 200 juta ringgit. 67. Kerajaan telah melaksanakan Program Skim Latihan 1Malaysia atau dikenali sebagai SL1M yang bertujuan untuk meningkatkan tahap kebolehpasaran graduan melalui latihan soft-skills dan on-job-training di syarikat swasta melalui galakan potongan cukai dua kali ke atas perbelanjaan oleh pihak syarikat. Galakan ini telah diberi mulai 1 Jun 2012 sehingga tahun 2016. 68. Kerajaan juga memperuntukkan 440 juta ringgit kepada Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran bagi memberi pinjaman kepada pelatih untuk menjalani latihan kemahiran. Langkah ini akan dapat memanfaatkan hampir 40 ribu pelatih di peringkat Sijil Kemahiran Malaysia tahap 1 hingga 5. Kerajaan juga memperuntukkan 366 juta ringgit bagi menaik taraf serta pembelian peralatan Institut Latihan Perindustrian dan Institut Kemahiran Belia Negara. 69. Pelbagai program latihan kemahiran akan dilaksanakan selaras dengan matlamat mentransformasikan industri utama negara berteras kepada teknologi tinggi, berinovatif serta berpendapatan tinggi. Ke arah ini, tumpuan akan diberi bagi melahirkan tenaga kerja profesional dan berbakat di dalam industri terpilih termasuk industri minyak dan gas, perkapalan, ICT, kreatif serta bioteknologi. Bagi tahun 2013, dijangka seramai 5,000 pelatih akan menyertainya. Di samping itu, Petronas akan menggunakan kemudahan Institut Kemahiran Belia Negara di Pengerang, Johor untuk melatih seramai 300 orang belia menjelang akhir tahun ini dalam bidang minyak dan gas bagi memenuhi keperluan projek RAPID. 70. Kerajaan sedar tentang pelajar miskin masyarakat India, terutamanya dari estet-estet yang tidak memperolehi keputusan yang baik dalam peperiksaan dan tidak berpeluang untuk mendapat pekerjaan. Selaras dengan itu, Kerajaan akan menyediakan peruntukan sebanyak 50 juta ringgit untuk melatih 3,200 pelajar masyarakat India bagi memperlengkapkan mereka dengan kemahiran, selaras permintaan pasaran. Latihan ini akan dikendalikan oleh Institut Latihan Perindustrian dan kolej-kolej di bawah Skim Latihan Dual Nasional. 71. Bagi memastikan golongan pekerja swasta adalah sentiasa sihat dan produktif dalam menyumbang kepada pembangunan syarikat dan ekonomi negara, aspek kesihatan mesti diberi keutamaan. Untuk ini, PERKESO akan menyediakan peruntukan sebanyak 200 juta ringgit bagi membolehkan ahlinya seramai 1.4 juta orang menjalani pemeriksaan kesihatan secara percuma di hospital Kerajaan atau klinik panel PERKESO. Pemeriksaan kesihatan ini bertujuan untuk mengesan penyakit tidak berjangkit, kepada semua pekerja yang berumur antara 40 hingga 55 tahun. FOKUS KETIGA: MEMBUDAYA INOVASI, MENINGKAT PRODUKTIVITI Tuan Yang di-Pertua, Harta Intelek (IP) Sebagai Cagaran 72. Bagi membolehkan PKS menggunakan harta intelek sebagai nilai komersial dan instrumen untuk mendapatkan pembiayaan memajukan perniagaan, satu model penilaian harta intelek akan diwujudkan bagi membenarkan ia dinilai secara komersial dan seterusnya digunakan sebagai cagaran memperoleh pembiayaan dari institusi kewangan. Bagi maksud ini, langkah-langkah berikut akan dilaksanakan: Pertama: Mewujudkan skim Dana Pembiayaan Harta Intelek berjumlah 200 juta ringgit. Skim ini akan ditawarkan oleh Malaysia Debt Ventures. Kerajaan akan memberi subsidi kadar faedah sebanyak 2 peratus dan jaminan sebanyak 50 peratus melalui Credit Guarantee Corporation; dan Kedua: Menyediakan peruntukan sebanyak 19 juta ringgit bagi program latihan penilai harta intelek tempatan kendalian Perbadanan Harta Intelek serta mewujudkan platform pasaran harta intelek. Penyelidikan dan Pembangunan Tuan Yang di-Pertua, 73. Aktiviti R&D pula akan terus diberi penekanan. Pelbagai penemuan dan hasil R&D institusi penyelidikan awam berpotensi untuk dikomersialkan. Maka, Kerajaan memperuntukkan sebanyak 600 juta ringgit kepada 5 buah universiti penyelidikan bagi menjalankan penyelidikan berimpak tinggi dalam bidang strategik seperti nano teknologi, automatif, bio-teknologi serta aero-angkasa. 74. Untuk merancakkan aktiviti pengkomersialan penemuan R&D institusi penyelidikan awam, Kerajaan mencadangkan galakan cukai sedia ada bagi pengkomersialan penemuan R&D berasaskan aktiviti sumber diperluaskan kepada aktiviti berasaskan bukan sumber yang digalakkan di bawah Akta Penggalakan Pelaburan 1986. Galakan cukai tersebut adalah: Pertama: Syarikat yang melabur dalam syarikat subsidiarinya yang menjalankan aktiviti mengkomersialkan penemuan R&D diberi potongan cukai bersamaan dengan jumlah pelaburan yang dibuat dalam syarikat subsidiari tersebut; dan Kedua: Syarikat subsidiari yang menjalankan aktiviti mengkomersialkan penemuan R&D diberi pengecualian cukai pendapatan sebanyak 100 peratus ke atas pendapatan berkanun untuk tempoh 10 tahun. Mempergiat Pelaburan Modal Teroka oleh Pelabur Individu 75. Merujuk usahawan muda tempatan, sememangnya didapati mereka mempunyai idea dan produk inovatif yang boleh diketengahkan ke peringkat antarabangsa namun berhadapan sumber pembiayaan terhad. Oleh itu, sebagai sumber pembiayaan alternatif, penglibatan secara langsung pelabur pemangkin atau angel investors di peringkat awal perniagaan adalah amat penting bagi merealisasikan pelaburan dan daya saing syarikat teroka. Sehubungan itu, Kerajaan mencadangkan potongan cukai bersamaan jumlah pelaburan oleh pelabur pemangkin dalam syarikat teroka dibenarkan ditolak daripada semua jenis pendapatannya. Menyemarak Inovasi Inklusif Tuan Yang di-Pertua, 76. Bagi memastikan pembangunan inklusif, Kerajaan akan terus merancang dan melaksanakan program serta aktiviti berintensifkan pengetahuan, kreativiti dan inovasi. Menuju ke tahun 2020, menjadi sebuah negara maju berpendapatan tinggi, inovasi akan terus diperkukuh dan diarusperdanakan dalam semua sektor dan segenap lapisan masyarakat. Melalui Bajet 2013, inisiatif ini akan diambil oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi dengan kerjasama agensi Agensi Inovasi Malaysia dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO). Pembangunan Teknologi Hijau 77. Dalam Bajet 2010, Kerajaan telah mewujudkan Skim Pembiayaan Teknologi Hijau (SPTH) dengan dana berjumlah 1.5 bilion ringgit untuk tempoh 3 tahun, yang akan berakhir pada 31 Disember 2012. Dana ini membolehkan syarikat pengeluar dan syarikat pengguna teknologi hijau membuat pinjaman mudah dengan Kerajaan menanggung subsidi 2 peratus daripada jumlah kadar faedah dan jaminan Kerajaan 60 peratus. Sehingga kini, hampir 800 juta ringgit telah diluluskan kepada 50 syarikat tempatan. Bagi merancakkan lagi pengeluaran dan penggunaan produk berasaskan teknologi hijau, dana skim ini akan ditambah sebanyak 2 bilion ringgit dan tempoh permohonan skim SPTH ini dilanjutkan untuk tempoh 3 tahun lagi iaitu sehingga 31 Disember 2015. FOKUS KEEMPAT: KONSOLIDASI FISKAL DAN MEMPERCEKAP PENYAMPAIAN PERKHIDMATAN AWAM Tuan Yang di-Pertua, 78. Sesungguhnya, Kerajaan komited dalam memastikan defisit fiskal terus berkurangan dan negara berada pada landasan yang betul bagi mencapai bajet berimbang. Dalam hal ini, semua kementerian dan agensi perlu memastikan peruntukan mengurus dan pembangunan dibelanjakan bagi perkara yang benar-benar perlu dan penting dalam menyokong pelaksanaan dasar dan program negara. 79. Kerajaan akan memastikan hutang Kerajaan Persekutuan tidak melebihi paras 55 peratus kepada KDNK dan defisit fiskal terus berkurangan kepada 3 peratus menjelang 2015. Antara langkah yang akan dan telah diambil termasuk memastikan kutipan hasil ditingkatkan dengan mengukuhkan sistem percukaian dan memastikan semua perolehan dan pembelian Kerajaan adalah berdasarkan prinsip value for money. 80. Selain daripada peralihan sistem subsidi pukal kepada subsidi bersasar, kajian semula sistem percukaian kebangsaan akan diteruskan bagi memastikan sistem cukai negara akan lebih menggambarkan kedudukan kewangan setiap isi rumah. Peralihan daripada sistem cukai berasaskan pendapatan kepada sistem cukai yang lebih menyeluruh serta saksama akan pada analisa akhirnya memanfaatkan semua rakyat Malaysia. 81. Langkah ini tidak dilaksanakan secara tergesa-gesa mahupun semberono tetapi setelah kajian teliti dan pelaksanaan penuh tertib. Ia tidak akan mengesankan rakyat terbanyak khususnya golongan berpendapatan rendah serta sederhana kerana perkara-perkara asas sama ada makanan, perumahan mahupun pengangkutan awam akan terus dilindungi. 82. Pelaksanaan struktur baru cukai ini sudah menjadi sebagai satu imperatif nasional bagi memastikan kelestarian sistem kewangan negara terus utuh untuk generasi masa depan Malaysia. Kerajaan tidak akan mengelak dari mengambil tindakan yang betul walaupun ianya penuh liku. 83. Walau bagaimanapun, ruang masa yang mencukupi akan tetap disediakan oleh Kerajaan agar semua pihak dapat membuat persiapan yang sewajarnya. Penerimaan rakyat ke atas inisiatif baru ini akan diperoleh dengan program penerangan, pendidikan serta rundingan secara ekstensif. Tuan Yang di-Pertua, 84. Dalam memberi perkhidmatan terbaik, penjawat awam mesti menerapkan budaya produktiviti, kreativiti dan inovasi. Amalan kerja pula mestilah cepat, tepat dan berintegriti. Langkah ini akan mencetuskan paradigma baru dan seterusnya meningkatkan keyakinan rakyat terhadap prestasi perkhidmatan awam lebih efisien dan efektif serta lebih responsif. 85. Kerajaan tidak lupa akan jasa pesara yang pernah mencurahkan khidmat bakti dalam memberi perkhidmatan terbaik kepada negara. Sehubungan itu, Kerajaan akan menyelaras semula pencen pesara Kerajaan yang telah berkhidmat sekurang-kurangnya 25 tahun dengan menaikkan pencen minimum daripada 720 ringgit kepada 820 ringgit. Pelarasan pencen ini akan mengambil kira bayaran pencen bermula 1 Januari 2012. Langkah ini melibatkan seramai 50,371 pesara, termasuk penerima pencen terbitan, dengan peruntukan tambahan sebanyak 60 juta ringgit setahun. 86. Sebagai pengiktirafan kepada golongan warga emas, Kerajaan mencadangkan caj bayaran pemprosesan pasport dikurangkan sebanyak 50 peratus iaitu daripada 300 ringgit kepada 150 ringgit untuk tempoh sah laku 5 tahun. Manakala, bagi caj bayaran pengurusan pasport untuk tempoh dua tahun dikurangkan kepada 80 ringgit. Pengurangan caj bayaran pasport ini juga diperluaskan kepada kanak-kanak yang berumur 12 tahun ke bawah. Kadar bayaran baru ini akan berkuat kuasa pada Januari 2013. Penambahbaikan Skim Perkhidmatan Angkatan Tentera Malaysia Tuan Yang di-Pertua, 87. Bagi memastikan Angkatan Tentera Malaysia mempunyai modal insan berpengetahuan dan berkemahiran tinggi, serta merealisasikan visi dan hala tuju strategik ATM sesuai dengan keperluan semasa, Kerajaan bersetuju untuk menambah baik skim perkhidmatan ATM. Sehubungan itu, syarat lantikan bagi skim perkhidmatan ATM telah ditambah baik dengan kelayakan masuk bagi pegawai ditingkatkan kepada Ijazah Sarjana Muda Kepujian dan bagi askar laskar kelayakan masuk minimum ditingkatkan ke peringkat SPM dan Diploma berdasarkan skop tugas. 88. Mengambil kira keunikan perkhidmatan ATM, Kerajaan bersetuju untuk meningkatkan peluang kenaikan pangkat anggota ATM melalui kaedah kenaikan secara time-based anggota berpangkat prebet ke Lans Koperal dan Lans Koperal ke Koperal dalam tempoh 8 tahun dengan memenuhi syarat-syarat serta prestasi yang memuaskan. Ini adalah bagi meningkatkan peluang kemajuan kerjaya serta motivasi anggota ATM. Usaha ini akan memberi faedah kepada seramai 78,123 anggota dan melibatkan peruntukan sebanyak 107 juta ringgit. 89. Di samping itu, Kerajaan juga bersetuju memberikan bayaran insentif khas dengan kadar 200 ringgit sebulan kepada semua pegawai dan anggota ATM seramai 125,708 orang berkuat kuasa 1 Januari 2013. Langkah ini akan melibatkan implikasi kewangan sebanyak 301 juta ringgit. 90. Kerajaan menghargai peranan pasukan simpanan angkatan tentera sebagai pelengkap dan sokongan kepada angkatan tetap ATM. Bagi menghargai sumbangan mereka, Kerajaan bersetuju untuk menyelaras elaun khidmat bertugas daripada 4 ringgit sejam bagi anggota biasa kepada 6 ringgit sejam dan bagi pegawai, RM5.80 sejam kepada RM7.80 sejam melibatkan 65 ribu anggota simpanan angkatan tentera merangkumi Askar Wataniah serta Pasukan Simpanan Sukarela Tentera Laut dan Udara di seluruh negara. Kadar baru ini telah pun dikuatkuasakan untuk RELA, JPAM dan PVR sebelum ini. 91. Kerajaan juga tidak lupa jasa bakti pahlawan negara. Untuk membantu bekas tentera yang bersara awal kerana berkhidmat kurang daripada 21 tahun serta tidak berpencen, Kerajaan bersetuju untuk memberi sumbangan sebanyak 1 ribu ringgit secara one-off kepada mereka. Peruntukan sebanyak 224 juta ringgit yang melibatkan 224 ribu bekas tentera ini akan dikongsi bersama oleh Kerajaan dan Lembaga Tabung Angkatan Tentera. 92. Kerajaan juga akan memperkenalkan Skim Perlindungan Insurans Berkelompok kepada anggota tentera dan polis yang sedang berkhidmat dengan peruntukan 12 juta ringgit. Skim ini akan memberi had perlindungan maksimum sehingga 15 ribu ringgit kepada hampir 242 ribu anggota tentera dan polis. Tuan Yang di-Pertua, 93. Pada masa ini, Kerajaan meminjam sebanyak 6 bilion ringgit setahun untuk membiayai keperluan pinjaman perumahan penjawat awam yang diuruskan oleh Bahagian Pinjaman Perumahan, Kementerian Kewangan. Sebagai sebahagian daripada usaha konsolidasi fiskal dan mengurangkan beban tanggungan kewangan Kerajaan, BPP akan disusun semula di mana Kerajaan akan melantik panel bank komersial untuk menguruskan pinjaman perumahan Kerajaan yang baru berkuat kuasa Januari 2013. Segala manfaat dan bantuan sedia ada yang dinikmati oleh penjawat awam akan tetap dikekalkan malah ditambah baik. Penjawat awam masih tetap membayar 4 peratus kadar faedah ke atas pinjaman perumahan. 94. Selain itu, pada masa ini, wang proses yang dikenakan bagi setiap permohonan pinjaman perumahan penjawat awam adalah sebanyak 1 ringgit bagi setiap 1,000 ringgit pinjaman yang dipohon bagi pinjaman kali pertama dan 2 ringgit bagi pinjaman kali kedua. Bagi mengurangkan beban kewangan dan memudahkan proses kelulusan pinjaman, Kerajaan bersetuju untuk menetapkan wang proses ini pada kadar 100 ringgit bagi setiap permohonan tanpa mengambil kira jumlah pinjaman yang dipohon. 95. Kerajaan turut memberi perhatian untuk meringankan beban kos sara hidup bagi pelatih-pelatih yang mengikuti kursus pra perkhidmatan di peringkat ijazah, diploma dan sijil. Dengan ini, Kerajaan bersetuju menaikkan kadar elaun pra perkhidmatan yang melibatkan 31,135 pelatih. Skim perkhidmatan yang terlibat adalah Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah, Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran, Penolong Pegawai Perubatan, Penolong Pegawai Farmasi, Juru X-Ray, Jururawat, Jururawat Pergigian, Jurupulih Perubatan, Juruteknologi Makmal Perubatan, Juruteknologi Pergigian, Jururawat Masyarakat, Pembantu Kesihatan Awam dan Pembantu Pembedahan Pergigian. Untuk ini, sebanyak 84.2 juta ringgit akan disediakan. FOKUS KELIMA: MENSEJAHTERAKAN RAKYAT Tuan Yang di-Pertua, 96. Kerajaan juga akan menyediakan 6 bilion ringgit pada tahun 2013 di bawah Insentif Pembiayaan Swasta yakni PFI 2 untuk melaksanakan pelbagai projek dan program untuk memastikan kesejahteraan rakyat dan memacu pertumbuhan ekonomi negara. Antara projek yang telah dikenal pasti termasuk membaik pulih dan menyelenggara sekolah serta klinik kesihatan, projek perumahan, projek tangki air, rancangan tebatan banjir dan penyediaan kemudahan sukan. Mewujud Kejiranan Yang Selamat dan Harmoni Tuan Yang di-Pertua, 97. Kerajaan telah memperkenalkan langkah mengurangkan kadar jenayah sebagai salah satu inisiatif di bawah NKRA. Usaha mengurangkan kadar jenayah akan terus dipertingkatkan. Untuk tujuan ini, peruntukan sejumlah 591 juta ringgit akan disediakan bagi tahun 2013 untuk melaksanakan langkah-langkah berikut: Pertama : Menambah bilangan perjawatan baru Polis DiRaja Malaysia pada 2013 untuk melaksanakan tugas-tugas rondaan dan pencegahan jenayah serta menaik taraf infrastruktur dan menyediakan peralatan moden; Kedua: Menubuhkan Unit Rondaan Bermotosikal memantau kawasan perumahan. Untuk ini, Kerajaan akan menyediakan 1,000 buah motosikal dengan peruntukan sebanyak 20 juta ringgit; Ketiga: Menambah bilangan ahli Pasukan Sukarelawan Polis seramai 10,000 orang dengan peruntukan 70 juta ringgit bagi membantu polis membanteras jenayah; dan Keempat : Menambah pemasangan Sistem Kamera Litar Tertutup atau CCTV sebanyak 496 unit di 25 buah Pihak Berkuasa Tempatan di Semenanjung, Sabah dan Sarawak. Tuan Yang di-Pertua, 98. Kerajaan sedar akan tugas dan tanggungjawab berat pegawai dan anggota Polis DiRaja Malaysia. Kepada warga PDRM saya mendengar rintahan saudari dan saudari sekelian tentang beberapa anomali yang wujud terutamanya dalam perjawatan untuk para pegawai. Kerajaan mendengar dan mengambil maklum kita tidak sekali-kali mengambil mudah tentang soal ini. Kerajaan telahpun mengarahkan pihak Jabatan Perkhidmatan Awam agar kajian komprehensif dilakukan untuk menambahbaik laluan kerjaya warga PDRM. kajian dan segala cadangan yang dibuat hendaklah merundingi semua “stakeholder” dan hendaklah diselesaikan dalam masa secepat mungkin. 99. Kerajaan komited memastikan setiap rakyat yang dituduh di mahkamah mempunyai pembelaan sesuai dengan hak mereka yang dijamin oleh Perlembagaan dan telah memberi geran pelancaran sebanyak 14 juta ringgit kepada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan. Kerajaan dengan ini menambah 20 juta ringgit lagi peruntukan untuk tahun 2013. Tuan Yang di-Pertua, 100. Penglibatan swasta dan komuniti setempat secara menyeluruh bersama Kerajaan adalah penting bagi memastikan Malaysia menjadi sebuah negara yang selamat. Sehubungan itu, Kerajaan akan melaksanakan inisiatif-inisiatif berikut: Pertama : Menyokong peranan persatuan penduduk bagi tujuan menggalakkan aktiviti rondaan di kawasan kejiranan. Untuk ini, Kerajaan bercadang memberi geran berjumlah 10,000 ringgit kepada 4,025 persatuan penduduk yang berdaftar dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia, dengan kos sebanyak 40 juta ringgit; Kedua : Mempertingkatkan peranan rukun tetangga dalam membantu menjaga keselamatan kawasan perumahan. Untuk ini, Kerajaan mensasarkan 6,500 penubuhan kawasan rukun tetangga menjelang tahun 2013. Kerajaan akan memperuntukkan 39 juta ringgit bagi membiayai aktiviti KRT; Ketiga : Menyediakan sepasang pakaian seragam untuk 300,00 anggota RELA yang aktif dengan peruntukan sebanyak 90 juta ringgit; dan Keempat : Tolakan sepenuhnya perbelanjaan pemasangan alat kawalan keselamatan bagi syarikat-syarikat dalam tahun yang sama ia dibelanjakan, berbanding dengan tolakan semasa iaitu 8 tahun, di bawah galakan Elaun Modal Dipercepatkan. Kerajaan juga bersetuju galakan yang menarik ini turut diberi kepada syarikat pemaju perumahan. Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Tuan Yang di-Pertua, 101. Pastinya, Kerajaan terus komited untuk membasmi gejala rasuah. Bagi tahun 2013, sebanyak 276 juta ringgit akan diperuntukkan kepada SPRM bagi membanteras rasuah. Untuk ini, Kerajaan bersetuju menambah sebanyak 150 perjawatan tambahan setiap tahun sehingga mencapai 5,000 anggota. Langkah ini diharap akan dapat menyokong usaha Kerajaan memperbaiki kedudukan negara dalam Indeks Persepsi Rasuah. Memacu Transformasi Komuniti Tuan Yang di-Pertua, 102. Kerajaan telah melancarkan Program Transformasi Luar Bandar atau RTP bagi mengukuhkan pembangunan kawasan luar bandar. Untuk komuniti di bandar pula, sukacita saya mengumumkan Program Transformasi Bandar atau UTP. Sejumlah 200 juta ringgit akan disediakan bagi maksud ini. Bagi memastikan penyelarasan strategik di antara RTP dan UTP, National Strategic Coordination Unit akan diwujudkan di bawah Kementerian Kewangan. 103. Urban Transformation Program adalah inisiatif Kerajaan dalam pembangunan komuniti bandar bagi memastikan kesinambungan perkhidmatan Kerajaan dan swasta yang efisien, cepat dan mudah diakses. UTC dilaksanakan dengan mengubahsuai bangunan Kerajaan sedia ada yang kosong atau mengoptimumkan penggunaan bangunan dengan kos yang minimum. Sebagai contoh, di UTC, rakyat boleh membuat pasport dalam tempoh satu jam sahaja, membayar zakat, bil utiliti, cukai pintu, membeli kain dan buku serta menjalankan aktiviti riadah seperti futsal dan gim. Keunikan UTC ini, ia beroperasi bermula dari 8.30 pagi hingga 10 malam, 7 hari seminggu. 104. Di bawah UTP, Kerajaan telah melancarkan 2 Pusat Transformasi Bandar atau UTC iaitu di Melaka dan Kuala Lumpur. Terkini, UTC KL telah menerima purata seramai 4,000 orang sehari. Pelaksanaan UTC akan diperhebatkan dan dilaksanakan secara berperingkat di 6 bandar utama, iaitu Alor Setar, Kuantan, Ipoh, Johor Bahru, Kota Kinabalu dan Kuching. Program Transformasi Luar Bandar 105. Di luar bandar, Kerajaan telah membuka pula Pusat Transformasi Luar Bandar atau RTC di Gopeng, Perak dan Wakaf Che Yeh, Kelantan bagi menyediakan sebuah pusat integrasi perkhidmatan meliputi pengumpulan, pemprosesan dan pengedaran hasil pengeluaran pertanian, perbankan dan insurans, khidmat nasihat perniagaan, latihan dan kemahiran, klinik serta ruang niaga. Berdasarkan manfaat yang diterima, Kerajaan akan terus memperluaskan RTC ke Melaka, Johor, Pahang, Sabah dan Sarawak. Selain itu, Kerajaan juga akan menaik taraf Medan Info Desa seluruh negara sebagai Mini-RTC. Pembangunan Luar Bandar dan Masyarakat Orang Asli 106. Kawasan luar bandar akan terus dibangunkan bagi mengurangkan jurang pembangunan bandar dan luar bandar. 4.5 bilion ringgit akan disediakan bagi melaksanakan pelbagai projek pembangunan pada tahun 2013 termasuk: Pertama : Sebanyak 1.2 bilion ringgit disediakan untuk melaksanakan 441 kilometer projek jalan luar bandar dan jalan perhubungan desa yang memanfaatkan 220 ribu penduduk; Kedua : Sebanyak 1.6 bilion ringgit diperuntukkan untuk projek infrastruktur utiliti luar bandar bagi projek bekalan air kepada 24 ribu buah rumah dan projek penyambungan bekalan elektrik kepada 19 ribu buah rumah; Ketiga : Sebanyak 137 juta ringgit diperuntukkan bagi membiayai Program Desa Lestari melibatkan 29 buah kampung di seluruh negara dan memanfaatkan 38 ribu penduduk. Program utama termasuk menaik taraf kilang pemprosesan hasil laut dan makanan, pembinaan jeti baru, pembinaan pusat pemasaran serta menambah baik pakej dan aktiviti homestay serta rekreasi; Keempat : Sebanyak 88 juta ringgit diperuntukkan bagi melaksanakan program pembangunan ekonomi dan projek bekalan air bagi masyarakat Orang Asli; dan Kelima : Sebanyak 100 juta ringgit bagi membekal 40 ribu tangki air menggunakan kaedah tadahan air hujan khususnya di kawasan pedalaman di Sabah dan Sarawak. Kesihatan Asas Kesejahteraan Tuan Yang di-Pertua, 107. Kerajaan akan terus memastikan rakyat dapat menikmati perkhidmatan kesihatan yang memuaskan. Bagi tahun 2013, Kerajaan memperuntukkan sebanyak 19.3 bilion ringgit untuk perkhidmatan mengurus dan pembangunan. 108. Pembukaan Klinik 1Malaysia telah mendapat sambutan baik dan memberi manfaat dalam meringankan kos rawatan selain memudahkan akses bagi mendapatkan rawatan. Justeru, Kerajaan akan memperuntukkan 20 juta ringgit bagi membuka tambahan 70 klinik pada tahun 2013. Klinik 1Malaysia juga akan mula menyediakan perkhidmatan ujian kolesterol dan glukosa serta ujian urin kepada mereka yang memerlukan. Selain itu, sebanyak 100 juta ringgit akan diperuntukkan untuk membaik pulih 350 klinik di seluruh negara, di samping menambah 150 buah mesin dialisis di pusat hemodialisis Kerajaan seluruh negara. Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Tuan Yang di-Pertua, 109. Memang benar, wanita bukan sahaja penting dalam pembentukan keluarga bahagia malah turut menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara. Untuk itu, Kerajaan memperuntukkan 50 juta ringgit bagi menyokong dwi peranan wanita ini dengan melaksanakan langkah-langkah berikut: Pertama : Seramai 500 wanita akan dilatih di bawah Program Pengarah Wanita untuk diketengahkan sebagai ahli lembaga pengarah syarikat; Kedua : Program Inkubator Keusahawanan Ibu Tunggal (I-KIT) akan dipertingkatkan untuk memberi khidmat nasihat dan latihan kepada ibu tunggal dalam bidang keusahawanan; dan Ketiga : Program Get Malaysian Business Online (GMBO) bagi membantu 50 ribu usahawan kecil, terutamanya wanita melonjakkan perniagaan dengan meningkatkan jualan secara atas talian dengan geran seribu ringgit melalui peruntukan 50 juta ringgit oleh SKMM. Keempat : Peruntukan sebanyak 25 juta ringgit untuk kemudahan pemeriksaan percuma ujian Mamogram. Langkah ini dijangka dapat memanfaatkan seramai 100 ribu wanita berumur 40 tahun dan ke atas. 110. Sesungguhnya Kerajaan amat menitikberatkan golongan yang kurang bernasib baik dan berpendapatan rendah dalam memastikan mereka ini tidak ketinggalan dalam arus pembangunan negara. Justeru, program Kebajikan Rakyat 1Malaysia atau KAR1SMA di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat akan diperuntukkan sebanyak 1.2 bilion ringgit meliputi program bantuan warga emas, bantuan kanak-kanak, elaun pekerja orang kurang upaya serta bantuan penyakit kronik. 111. Kerajaan telah melancarkan program 1AZAM atau Akhiri Zaman Miskin yang bertujuan menyediakan peluang menjana pendapatan kepada golongan berpendapatan rendah. Antara program di bawah inisiatif ini adalah Azam Kerja, Azam Tani, Azam Niaga dan Azam Khidmat. Untuk ini, Kerajaan memperuntukkan sejumlah 400 juta ringgit yang dijangka dapat memanfaatkan sebanyak 58,330 peserta. 112. Selain itu, Kerajaan telah menyediakan 2 pusat Anjung Singgah bertujuan untuk menempatkan warga emas, kanak-kanak jalanan dan mereka yang memerlukan tempat tinggal sementara sebelum mereka mendapat pekerjaan atau kemudahan tempat tinggal yang tetap. Seterusnya, Kerajaan menambah lagi 6 pusat Anjung Singgah. Kerajaan juga akan mewujudkan 5 Anjung Kasih di Hospital Sibu, Miri, Temerloh, Seremban dan Ipoh bagi menyediakan tempat penginapan sementara dan selesa kepada pesakit miskin atau ahli keluarga yang mengiringi pesakit yang sedang menerima rawatan di hospital Kerajaan. Belia dan Sukan Tuan Yang di-Pertua, 113. Sukan adalah pemangkin perpaduan nasional yang terbaik kerana melibatkan semua golongan masyarakat. Nama-nama seperti Lee Chong Wei, Nicol Anne David, Pandelela Rinong, Azizulhasni Awang dan Muhamad Ziyad adalah antara hero dan heroin sukan yang dikagumi. Kejayaan dan pencapaian mereka di peringkat antarabangsa cukup membanggakan. Kerajaan sentiasa memberi penekanan dalam memastikan pembangunan sukan dilaksanakan secara berterusan. Untuk itu, bagi tahun 2013 sebanyak 738 juta ringgit diperuntukkan bagi pembangunan belia dan sukan. 114. Kerajaan akan memperuntukkan 15 juta ringgit bagi mempersiapkan para atlet ke kejohanan sukan antarabangsa termasuk Sukan SEA 2013, Sukan Para ASEAN 2013, Sukan Komanwel serta Sukan Asia tahun 2014. Sebagai tambahan juga, 50 juta ringgit lagi diperuntukkan untuk tempoh 4 tahun khusus bagi persiapan Sukan Olimpik Rio 2016 di bawah program Road to Rio. 115. Bagi menggalakkan perkembangan sukan lumba basikal dan badminton, Kerajaan akan membina sebuah velodrom tertutup di Seremban dan Akademi Badminton di Bukit Kiara dengan peruntukan sebanyak 80 juta ringgit. Tuan Yang di-Pertua, 116. Dalam usaha melahirkan generasi belia yang berpersonaliti tinggi, berintegriti, kreatif dan berinovasi serta berdaya saing, Kerajaan melancarkan program Y-Creative yang melibatkan persatuan belia di seluruh negara. Kerajaan juga akan menganjurkan Festival Belia Putrajaya yang merupakan perhimpunan belia terbesar negara bersempena dengan perisytiharan tahun 2013 sebagai tahun kesukarelaan nasional. 117. Bagi membantu usahawan muda dalam bidang ICT, sebuah yayasan dengan nama New Enterpreneur Foundation akan ditubuhkan dengan peruntukan permulaan sebanyak 50 juta ringgit. NEF akan menjadi platform bagi program latihan dan bimbingan. 118. Selain itu, Young Entrepreneur Fund juga diwujudkan dengan peruntukan sebanyak 50 juta ringgit akan disediakan oleh SME Bank. Dana pinjaman mudah ini adalah untuk belia berumur 30 tahun ke bawah dengan subsidi kadar faedah pinjaman sebanyak 2 peratus dan had maksimum pinjaman sebanyak 100 ribu ringgit serta tempoh bayaran balik selama 7 tahun. 119. Kerajaan mengiktiraf peranan belia dalam mengaspirasikan pembangunan negara. Untuk itu, Kerajaan akan melancarkan Pertandingan Lautan Biru 1Malaysia For Youth atau 1M4U untuk mereka mempersembahkan idea-idea kreatif dan inovatif menerusi pertandingan di peringkat tempatan, negeri dan kebangsaan. 3 idea terbaik akan diberikan peruntukan daripada Dana Sukarelawan 1Malaysia. Tuan Yang di-Pertua, 120. Sebahagian besar daripada 22 peratus rakyat Malaysia yang menggunakan telefon pintar untuk melayari internet adalah golongan belia. Oleh itu, bagi membuka akses golongan muda kepada lebuhraya maklumat, satu pakej khas akan diperkenalkan oleh kerajaan melalui kerjasama antara Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia serta syarikat telekomunikasi. Melalui Pakej Komunikasi Belia, rebat 200 ringgit akan diberi secara one-off bagi pembelian satu unit telefon mudah alih pintar 3G melalui pengedar-pengedar rasmi. Ia terbuka kepada belia yang berumur 21 hingga 30 tahun berpendapatan bulanan 3,000 ringgit dan ke bawah. Sebanyak 300 juta ringgit telah disediakan dan akan memanfaatkan 1.5 juta belia. Mengiktiraf Karyawan dan Seniman Tuan Yang di-Pertua, 121. Menjengah peranan karyawan, budayawan dan seniman dalam proses pembangunan negara, kita maklum bahawa kemajuan Malaysia tidak diukur semata-mata pada pendapatan perkapita dan pertumbuhan ekonomi. Ia turut diukur menggunakan pelbagai dimensi. Para karyawan memainkan peranan penting dalam meningkatkan peradaban nasional. Sebagai menghargai peranan mereka ini, Kerajaan bersetuju memperuntukkan sejumlah 6 juta ringgit sebagai bantuan pentadbiran dan kegiatan kepada semua persatuan yang berdaftar. Memperluas Jaringan Pengangkutan Awam Bandar Tuan Yang di-Pertua, 122. Bercakap pula ehwal perkhidmatan pengangkutan awam yang baik, ia adalah nadi kepada pembangunan sesebuah komuniti. Lanjutan daripada kejayaan pengenalan RapidKL dan RapidPenang, Kerajaan akan melancarkan RapidKuantan mulai 1 Disember 2012 bagi menyediakan perkhidmatan pengangkutan bas berkualiti di Kuantan yang dapat memanfaatkan rakyat teramai. Syarikat Prasarana juga dalam proses untuk memperluaskan perkhidmatan ini di bandar lain seperti Ipoh, Seremban, Kuching dan Kota Kinabalu. 123. Kerajaan memandang serius kepentingan pengangkutan bagi orang ramai terutamanya mereka yang tinggal dan bekerja di bandar besar. Pada masa ini, golongan OKU, pesara dan pelajar telah menikmati diskaun 50 peratus kadar tambang apabila menggunakan perkhidmatan komuter KTMB. Sebagai lanjutan, suka saya mengumumkan, bahawa Kerajaan bersetuju untuk memperluaskan diskaun 50 peratus kadar tambang ini, kepada semua warganegara Malaysia yang berpendapatan 3,000 ringgit dan ke bawah. Perumahan untuk Rakyat Tuan Yang di-Pertua, 124. Kerajaan sedar, perumahan selesa dan mampu milik adalah keperluan asas paling utama kepada rakyat. Kerajaan komited untuk memastikan setiap rakyat Malaysia berpeluang untuk memiliki rumah mereka sendiri. Ini bukan sahaja satu imperatif yang bersifat ekonomi, malahan ia adalah imperatif moral bagi sebuah Kerajaan yang bertanggungjawab. Oleh itu, Kerajaan akan menjadikan hasrat ini sebagai prioriti berterusan. Bagi tahun 2013 sahaja, suka saya umumkan, Kerajaan akan memperuntukkan 1.9 bilion ringgit bagi membina 123 ribu unit rumah dengan harga berpatutan di kawasan-kawasan strategik. Inisiatif ini akan dilaksanakan oleh PR1MA, Syarikat Perumahan Nasional Berhad dan Jabatan Perumahan Negara. 125. Sebanyak 500 juta ringgit akan dibelanjakan oleh PR1MA untuk membina 50 ribu unit rumah di bandar-bandar utama di seluruh negara dengan harga jualan antara 100 hingga 400 ribu ringgit seunit. Antara bandar-bandar utama tersebut adalah Kuala Lumpur, Shah Alam, Johor Bharu, Seremban dan Kuantan. 126. Di samping itu, PR1MA juga akan menyediakan Dana Pemudah Cara Perumahan berjumlah 500 juta ringgit untuk membina 30 ribu unit rumah secara usaha sama dengan pemaju perumahan swasta. Harga rumah yang ditawarkan di bawah program ini adalah 20 peratus lebih rendah berbanding dengan harga di pasaran dan proses pengagihan rumah akan dilaksanakan secara sistem pengundian terbuka. 127. Manakala sebanyak 320 juta ringgit diperuntukkan melalui SPNB untuk membina sebanyak 22,855 unit kediaman termasuk apartmen kos rendah dan sederhana, rumah mesra rakyat serta rumah mampu milik. Projek perumahan SPNB yang akan dilaksanakan segera termasuk membina sebanyak 1,855 unit apartmen kos sederhana dengan keluasan 850 kaki persegi di Shah Alam dan Sungai Buloh. Unit kediaman ini akan dijual pada harga sekitar 120 ribu hingga 220 ribu ringgit seunit. 128. Bagi program Rumah Mesra Rakyat pula, SPNB akan membina sebanyak 21,000 unit rumah untuk tahun 2013. Di bawah program ini, SPNB akan membina rumah berharga 65 ribu ringgit dengan subsidi sebanyak 20 ribu ringgit serta subsidi kadar faedah ke atas pinjaman sebanyak 2 peratus. 129. Selain itu, peruntukan sejumlah 543 juta ringgit akan disediakan bagi Jabatan Perumahan Negara melaksanakan 45 projek di bawah Program Perumahan Rakyat melibatkan 20,454 unit rumah yang akan dibina menggunakan kaedah Industrialised Building System. Kesemua unit kediaman ini akan dijual antara 30 hingga 40 ribu ringgit seunit berbanding harga pasaran sekitar 120 ribu ringgit seunit. 20 peratus daripada keseluruhan unit rumah PPR kepada penjawat awam dan sebahagian kepada golongan OKU. 130. Bagi membolehkan lebih ramai rakyat Malaysia memiliki rumah yang pertama, Skim Rumah Pertamaku yang telah dilancarkan melalui bajet yang lalu, akan ditambah baik dengan meningkatkan had pendapatan peminjam perseorangan daripada 3,000 ringgit kepada 5,000 ringgit sebulan atau 10,000 ringgit sebulan bagi pinjaman bersama suami isteri. Di samping itu, syarat keperluan simpanan 3 bulan deposit serta tempoh minimum bekerja 6 bulan juga akan dimansuhkan. Tuan Yang di-Pertua, 131. Dalam Bajet 2009, Kerajaan telah pun memberi pengecualian duti setem 50 peratus ke atas surat cara perjanjian pindah milik dan pinjaman sebuah rumah kediaman pertama yang berharga sehingga 350 ribu ringgit. Kerajaan bercadang melanjutkan pengecualian duti setem sedia ada sehingga 31 Disember 2014 dengan had kelayakan harga rumah dinaikkan sehingga 400 ribu ringgit. Kajian Semula Cukai Keuntungan Hartanah 132. Menyangkut hal penawaran hartanah yang terhad terutamanya di kawasan bandar, ia membuka ruang kepada aktiviti spekulasi. Dengan itu, Kerajaan mencadangkan cukai keuntungan harta tanah (CKHT) ke atas keuntungan pelupusan hartanah yang dibuat dalam tempoh tidak melebihi dua tahun dari tarikh perolehan hartanah berkenaan, dikenakan pada kadar 15 peratus dan 10 peratus bagi pelupusan hartanah dalam tempoh 2 hingga 5 tahun. Bagi hartanah yang dilupuskan selepas tempoh 5 tahun daripada tarikh perolehannya, CKHT tidak dikenakan. Sementelahan itu, keuntungan daripada pelupusan sebuah rumah kediaman sekali dalam seumur hidup dan pelupusan hartanah atas dasar kasih sayang antara suami dan isteri, ibu bapa dan anak, datuk atau nenek dan cucu dikecualikan daripada CKHT. Galakan Cukai untuk Memulih Projek Perumahan Terbengkalai 133. Selanjutnya, bagi tahun 2013, Kerajaan memperuntukkan 100 juta ringgit kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan yang dijangka dapat memulihkan 30 projek rumah terbengkalai. Sebagai tambahan untuk menggalakkan penyertaan sektor swasta, Kerajaan akan menyediakan insentif cukai seperti berikut: Pertama: Institusi perbankan diberi pengecualian cukai ke atas pendapatan faedah yang diterima daripada kontraktor penyelamat; Kedua : Kontraktor penyelamat diberi potongan cukai 2 kali ke atas bayaran faedah dan semua kos langsung dalam mendapatkan pinjaman; Ketiga : Kontraktor penyelamat diberi pengecualian duti setem ke atas semua jenis surat cara yang disempurnakan bagi tujuan pindah milik tanah atau rumah dan surat cara pinjaman bagi membiayai kos pemulihan; dan Keempat : Pembeli asal rumah terbengkalai diberi pengecualian duti setem ke atas semua jenis surat cara yang disempurnakan bagi tujuan mendapat pembiayaan tambahan dan pindah milik rumah. Bantuan dan Insentif Rakyat Tuan Yang di-Pertua, Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) 134. Sesungguhnya, Kerajaan ini adalah Kerajaan rakyat, dari rakyat untuk rakyat. Kemakmuran negara dan kesejahteraan rakyat adalah objektif tertinggi. Kerajaan ini tidak akan sekali-kali melakukan sebarang tindakan yang akan membahayakan masa depan orang ramai. Bukan seperti sesetengah pihak, yang sanggup mengatakan apa sahaja, ini percuma, itupun percuma, hutang tak perlu bayar, hatta menjanjikan syurga semata-mata untuk berkuasa. Namun, saya selaku Menteri Kewangan, tidak akan menyembunyikan kebenaran, sekalipun ia pahit. Pendek kata, Kerajaan ini tidak akan mengaburi mata rakyat. 135. Menyedari hakikat inilah, Kerajaan sedang melaksanakan inisiatif rasionalisasi subsidi dan mengalih secara berperingkat kaedah pemberian subsidi daripada subsidi pukal yang membawa kepada banyak ketirisan dan sehingga orang yang berada pun memperoleh, kepada subsidi yang bersasar. Di bawah prinsip ini, subsidi akan diteruskan tetapi akan diberi hanya kepada kelompok yang betul-betul memerlukannya. Hakikatnya, jika Kerajaan terus memberi subsidi secara pukal, ia akan menghancurkan kedudukan kewangan negara sehingga akhirnya rakyat menanggung akibat, seperti mana yang berlaku di sesetengah negara di dunia. Sebagai sebuah Kerajaan yang bertanggungjawab, kita tidak rela perkara tersebut berlaku. 136. Bersesuaian dengan peralihan kepada dasar pelaksanaan subsidi bersasar, Kerajaan komited bagi memastikan setiap segmen rakyat Malaysia dapat mengongsi kemakmuran negara. Ini hanya akan berlaku, sekiranya ekonomi nasional terus tumbuh secara mapan dan kekayaan negara dapat terus dijana. Sukacita saya mengumumkan pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia atau BR1M 2.0. Kriteria penerima tetap sama iaitu ketua isi rumah yang berpendapatan 3,000 ringgit dan ke bawah. Sebagai tambahan, sukacita juga saya mengumumkan pemberian BR1M 2.0 ini diperluaskan kepada individu bujang berumur 21 tahun dan ke atas yang berpendapatan tidak melebihi 2 ribu ringgit sebulan. Pemberian bantuan kepada individu bujang ini adalah sebanyak 250 ringgit. 137. Hakikatnya, bantuan kepada isi rumah dan individu bujang ini bukanlah satu langkah populis malah manifestasi sebuah Kerajaan bertanggungjawab dan mampu mengurus kewangan negara dengan berhemah. Ia memanfaatkan 4.3 juta isi rumah dan 2.7 juta individu bujang melibatkan peruntukan 3 bilion ringgit. Ia akan dibayar mulai awal tahun 2013. Bagi memudahkan pelaksanaan, penerima BR1M sedia ada tidak lagi perlu mendaftar untuk kali kedua manakala pemohon baru boleh mula mendaftar mulai November 2012 secara atas talian atau melalui kaunter di Pejabat Pembangunan Negeri, Pejabat Daerah dan pejabat Lembaga Hasil Dalam Negeri seluruh negara. Tuan Yang di-Pertua, 138. Gula yang diambil secara berpatutan adalah baik, namun sekiranya diambil secara berlebihan ia mampu menjadi racun. Setakat ini, sekitar 2.6 juta rakyat Malaysia mengidap diabetes. Oleh itu, Kerajaan bercadang mengurangkan subsidi gula sebanyak 20 sen sekilogram mulai 29 September 2012. Kerajaan menyeru kepada para peniaga bahawa janganlah membebankan saudara se-Malaysia dengan kenaikan harga. Sebaliknya kurangkanlah kandungan gula. 139. Saya ingin menegaskan bahawa Kerajaan masih lagi menanggung subsidi gula sebanyak 34 sen satu kg yang melibatkan perbelanjaan sebanyak 278 juta ringgit. Malah pengurangan subsidi ini disokong oleh persatuan-persatuan pengguna dan pengamal kesihatan. 140. Selanjutnya, untuk menampung perbezaan harga dan kuota penggunaan minyak masak yang semakin meningkat, Kerajaan akan menyediakan peruntukan sebanyak 1.5 bilion ringgit bagi menstabilkan harga minyak masak di pasaran. Penyeragaman Harga Tuan Yang di-Pertua, 141. Secara umumnya, harga barangan keperluan di Sabah dan Sarawak adalah lebih mahal berbanding di Semenanjung Malaysia disebabkan kos penghantaran dan pengagihan yang lebih tinggi. Bagi memastikan kos dan harga barangan dapat dikurangkan, Kerajaan telah memperkenalkan pelbagai inisiatif termasuk Program Penyeragaman Harga, pemberian subsidi pengangkutan serta pembukaan Kedai Rakyat 1Malaysia. Untuk ini, Kerajaan akan memperuntukkan sebanyak 386 juta ringgit bagi memastikan harga barangan keperluan di Sabah dan Sarawak serta Labuan dijual pada harga yang lebih rendah dan lebih seragam dengan membuka sebanyak 57 buah KR1M dan menanggung kos penghantaran produk dari Semenanjung Malaysia ke Sabah, Sarawak serta Labuan termasuk penghantaran ke kawasan pedalaman. Sebagai contoh di Ba’kalalan, Sarawak, harga gas memasak 14 kg setong dijual pada harga RM70. Dengan program penyeragaman harga, gas memasak tersebut boleh dibeli hanya dengan RM26.60 setong. 142. Sebagai tambahan, bagi meringankan beban rakyat yang berulang alik menggunakan perkhidmatan feri dari Labuan ke Sabah dan Sarawak, Kerajaan akan memberi diskaun tambang kepada semua penumpang sebanyak 50 peratus. Di samping itu, diskaun sebanyak 50 peratus turut diberi ke atas tambang feri untuk kenderaan komersial yang mengangkut barang keperluan asas dan binaan ke Labuan. Mempermudah Ibadah Haji 143. Sekali lagi kita memasuki musim panggilan Haji menuju Baitullah. Dalam Bajet 2012, saya telah mengumumkan pencarum KWSP boleh membuat pendaftaran awal menunaikan rukun ke 5 ini melalui penghadangan Akaun 2 sebanyak 1,300 ringgit. Alhamdulillah, setakat ini, seramai 51,528 pencarum telah menggunakan inisiatif ini. Sebagai langkah tambahan untuk membantu bakal-bakal haji, saya ingin mengumumkan bahawa bakal-bakal haji yang mencarum di KWSP, kini dibenarkan mengeluarkan simpanan dari Akaun 2 mereka bagi menampung kekurangan kos tambang. Inisiatif ini terhad kepada jemaah muassasah dengan maksimum pengeluaran sehingga 3 ribu ringgit. Kajian Semula Cukai Pendapatan Individu dan Koperasi 144. Kerajaan prihatin ke atas peningkatan kos sara hidup rakyat serta tanggungan cukai pendapatan mereka. Kerajaan telah pun menyediakan sebanyak 20 jenis pelepasan cukai individu dan 2 rebat cukai. Berikutan pelepasan dan rebat cukai ini, hanya 1.7 juta orang sahaja yang perlu membayar cukai berbanding keseluruhan guna tenaga iaitu seramai 12 juta orang. 145. Dalam proses peralihan daripada sistem cukai sedia ada yang berasaskan pendapatan kepada sistem cukai yang lebih adil dan saksama, Kerajaan mencadangkan kadar cukai pendapatan individu diturunkan 1 mata peratusan bagi setiap kumpulan pendapatan bercukai tahunan melebihi 2,500 ringgit sehingga 50 ribu ringgit. Langkah ini akan mengeluarkan seramai 170 ribu pembayar cukai daripada membayar cukai serta pembayar cukai pendapatan sedia ada juga menikmati penjimatan bayaran cukai mereka. Sebagai contoh, golongan profesional muda yang belum berkahwin dengan pendapatan bulanan 5 ribu ringgit, akan menikmati penjimatan cukai pendapatan sehingga 425 ringgit seorang. 146. Pada masa yang sama, bagi terus memacu transformasi gerakan koperasi, Kerajaan mencadangkan kadar cukai pendapatan koperasi juga dikurangkan antara 1 hingga 7 mata peratusan di semua kumpulan pendapatan bercukai. Dengan ini, seramai 7 juta ahli koperasi akan menikmati manfaat sebagai galakan untuk meningkatkan keupayaan keusahawanan dalam bidang perniagaan. Meringankan Beban Pengusaha Bas Sekolah Tuan Yang di-Pertua, 147. Kerajaan mengambil berat akan keselamatan anak-anak yang menaiki bas ke sekolah dan pemandu-pemandu bas berikutan kualiti segelintir bas sekolah yang kurang memuaskan. Keadaan ini disebabkan pengusaha bas sekolah tidak dapat menampung beban kos penyelenggaraan yang semakin meningkat sedangkan sebahagian besar bas yang dimiliki telah melebihi jangka hayat ekonomi. Untuk itu, Kerajaan mencadangkan pengusaha bas sekolah diberi pertamanya, pemberian rebat tunai 10 ribu ringgit dan subsidi kadar faedah 2 peratus ke atas pinjaman penuh untuk menggantikan bas sekolah lama berusia melebihi 25 tahun kepada bas baru yang berkapasiti 12 hingga 18 tempat duduk. Skim pinjaman ini diuruskan oleh BSN ditawarkan untuk tempoh permohonan 2 tahun bermula 1 Januari 2013. 148. Keduanya, penyediaan Skim Perlindungan Insurans Kemalangan Diri, hilang upaya kekal dan kematian kepada semua murid sekolah yang menggunakan perkhidmatan bas sekolah berpermit. Usaha ini akan memanfaatkan seramai 2 juta pelajar dengan perlindungan maksimum sebanyak 100 ribu ringgit dan kos premium sebanyak 40 juta ringgit untuk tempoh 2 tahun yang akan diselia oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Darat. Mengurangkan Kos Pembelajaran Pelajar 149. Kerajaan amat prihatin terhadap kebajikan pelajar terutama mereka yang datang daripada keluarga berpendapatan rendah. Kerajaan sentiasa menyediakan peruntukan khusus kepada pelajar sekolah rendah dan menengah yang merangkumi bantuan geran per kapita, bantuan makanan asrama, Rancangan Makanan Tambahan, pembelian buku teks dan bantuan bayaran tambahan persekolahan. Untuk ini, sebanyak 2.6 bilion ringgit diperuntukkan pada tahun 2013. 150. Pada pembentangan Bajet 2012, saya telah mengumumkan bantuan persekolahan 100 ringgit kepada semua pelajar sekolah rendah dan menengah. Bagi meringankan beban persekolahan keluarga berpendapatan rendah dan sederhana, Kerajaan sekali lagi akan meneruskan pemberian bantuan persekolahan 100 ringgit kepada pelajar sekolah rendah dan menengah. Bantuan ini akan dibayar mulai Januari 2013 dan bermanfaat kepada 5.4 juta pelajar melibatkan peruntukan sebanyak 540 juta ringgit. 151. Kerajaan akan meneruskan program Baucar Buku 1Malaysia kepada setiap pelajar IPT dan pra-universiti. Suka saya mengumumkan, bahawa nilai baucar akan ditingkatkan daripada 200 ringgit kepada 250 ringgit. Langkah ini melibatkan peruntukan 325 juta ringgit dan akan memanfaatkan seramai 1.3 juta pelajar di seluruh negara. 152. Kerajaan juga amat prihatin akan bebanan kos pendidikan tinggi anak-anak. Bagi membantu meringankan tanggungan kewangan ibu bapa, Kerajaan mencadangkan pelepasan cukai sedia ada bagi pendidikan tinggi anak-anak sebanyak 4,000 ringgit seorang sekarang ini, dinaikkan kepada 6,000 ringgit mulai tahun taksiran 2013. Langkah ini menunjukkan komitmen dan tumpuan Kerajaan ke atas pelaburan bagi meningkatkan tahap pendidikan generasi muda yang akan memberi manfaat kepada negara pada masa hadapan. 153. Bagi menggalakkan sikap menabung untuk pendidikan, sukacita juga saya mengumumkan di sini bahawa pelepasan cukai yang telah pun diberi sehingga 3,000 ringgit bagi Skim Simpanan Pendidikan Nasional dinaikkan kepada 6,000 ringgit. 154. Menurut hukum, hutang wajib dibayar. Pinjaman PTPTN satu amanah. Ia adalah satu keistimewaan, bukan satu hak. Jika hutang PTPTN tidak dibayar, ia akan menafikan hak-hak pelajar masa depan. Oleh itu, bagi memudahkan proses pembayaran balik, Kerajaan akan memperkenalkan beberapa insentif. Pertama, bagi peminjam yang menyelesaikan hutang sekali gus dalam tempoh setahun selepas pengumuman ini, bermula 1 Oktober 2012 hingga 30 September 2013, diskaun 20 peratus akan diberikan ke atas jumlah pinjaman mereka. 155. Manakala, bagi mereka yang membayar pinjaman secara konsisten mengikut jadual mulai 1 Oktober 2012, diskaun 10 peratus setahun akan diberikan. Kita tahu Tuan Yang di-Pertua, ada pihak yang mencadangkan supaya hutang keseluruhan hutang PTPTN dimansuhkan. Ini adalah satu perbuatan yang amat tidak bertanggungjawab kerana jika dimansuhkan, siapa yang akan menanggung lebih 30 bilion ringgit hutang PTPTN. Bukankah yang akan terbeban adalah rakyat Malaysia? Bertanggungjawabkah jika kita yang berhutang masyarakat yang menanggung. Itulah persoalannya. Program Jalur Lebar untuk Rakyat Termiskin di Bandar Tuan Yang di-Pertua, 156. Kerajaan akan menubuhkan 100 Pusat Internet 1Malaysia bagi Tahun 2013 hingga 2015 di dalam bandar seperti di kawasan perumahan rakyat. Pusat ini dilengkapi dengan kemudahan komputer dan perkhidmatan jalur lebar bagi kegunaan harian dan meningkatkan kegiatan sosioekonomi mereka. Untuk itu, SKMM akan menyediakan peruntukan sebanyak 150 juta ringgit. Menggalakkan Aktiviti Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Tuan Yang di-Pertua, 157. Kerajaan berharap pihak swasta, badan korporat serta syarikat berkaitan Kerajaan dapat memainkan peranan yang lebih besar dalam pembangunan dan kesejahteraan rakyat melalui Tanggungjawab Sosial Korporat atau ‘Corporate Social Responsibility’. Bagi menyokong usaha Kerajaan untuk merancakkan aktiviti CSR, program yang akan dilaksanakan oleh GLC dan agensi termasuklah: Pertama: Felda akan melaksana dan menyiapkan projek perumahan generasi baru sebanyak 20,000 unit untuk tempoh lima tahun di atas 5,000 ekar tanah dalam kawasan Felda. Projek ini akan menelan belanja sebanyak 1.5 billion ringgit dalam tempoh tersebut. Di samping itu, Felda telah memperuntukkan sebanyak 60 juta ringgit bagi membaiki rumah-rumah kampung tradisi di sekitar rancangan. Felda juga akan berbelanja sebanyak 100 juta ringgit setahun untuk program pendidikan dan latihan kemahiran serta biasiswa kepada 5000 anak generasi baru, 30 peratus atau 2,000 orang dari jumlah ini adalah terdiri dari anak-anak dari luar Felda; Kedua: Yayasan 1MDB akan menyediakan 300 juta ringgit bagi pemberian geran pendidikan, bantuan kewangan, pembinaan rumah arau untuk pelajar pra-sekolah di pedalaman Sarawak, Klinik Bergerak 1Malaysia dan program membaiki rumah bagi golongan miskin dan daif; dan Ketiga: Syarikat-syarikat GLIC dan GLC akan memperuntukkan hampir 500 juta ringgit untuk menjalankan CSR dalam bidang pembangunan komuniti, biasiswa, pendidikan, sukan dan alam persekitaran. Tuan Yang di-Pertua, 158. Sebaik manapun dasar yang telah digubal pihak Kerajaan tidak akan bermakna tanpa pelaksanaan yang cekap serta berkesan. Kerajaan mengucapkan terima kasih kepada semua penjawat awam negara yang merupakan jentera pelaksanaan dasar negara sama ada yang berada di peringkat daerah, pihak berkuasa tempatan, negeri mahupun pusat. 159. Kerajaan juga ingin mengambil peluang ini untuk mengiktiraf peranan yang dimainkan Kementerian Kewangan sebagai pelaksana dasar fiskal negara, Bank Negara Malaysia yang bertanggungjawab terhadap dasar monetari negara dan Suruhanjaya Sekuriti yang mengawal keutuhan pasaran modal kebangsaan. 160. Makanya, sebagai Kerajaan yang mengenang budi, suka saya mengumumkan pemberian bonus sebanyak satu setengah bulan gaji. Seperti kita tahu, dari jumlah ini, setengah bulan telahpun diberikan menjelang perayaan Aidilfitri yang lepas, sejumlah setengah bulan gaji lagi akan diberikan pada bulan Disember kelak manakala setengah bulan lagi akan diberikan pada bulan Januari nanti. Diharapkan pemberian bonus ini akan mengurangkan beban para penjawat awam terutamanya yang berkeluarga sempena musim awal persekolahan. PENUTUP Tuan Yang di-Pertua, 161. Bajet yang baru saya bentangkan untuk tahun 2013 ini adalah bajet terakhir sebelum pilihanraya umum ke-13. Ia merupakan antara siri-siri bajet yang akan mendorong negara tercinta ke arah pencapaian wawasan nasional. 162. Dengan izin Allah SWT dan dengan sokongan serta dukungan rakyat Malaysia, InsyaAllah kita akan menyaksikan enam lagi bajet yang akan dibentangkan oleh Kerajaan Barisan Nasional sebelum Malaysia berubah status daripada sebuah negara membangun berpendapatan sederhana tinggi menjadi sebuah negara maju berpendapatan tinggi. 163. Sebagai parti yang telah dimandatkan, kami menyeru agar rakyat menilai secara kritikal dan rasional akan titipan rekod kejayaan yang dimiliki oleh Barisan Nasional. Kerajaan BN dan sebelum itu perikatan telah selama 55 tahun mencipta kehidupan yang lebih baik untuk rakyat Malaysia. Tuan Yang di-Pertua, 164. Kita tahu ada pihak yang menyeru supaya mereka diberi peluang untuk membentuk kerajaan. Secara berlapang dada, dalam sebuah negara yang demokratik, kita faham tidak salah menawarkan diri, kerana mereka juga ada hak namun pada akhirnya, rakyatlah yang akan menentukan siapa akan mendapat mandat melalui peti undi. 165. Kini, masanya hampir tiba apabila rakyat Malaysia akan membuat pilihan bagi menentukan masa depan mereka dan anak-anak mereka. Persoalan yang perlu ditanya semasa membuat keputusan ialah, sama ada kehidupan mereka hari ini lebih baik berbanding semalam dan adakah hari esok menjanjikan harapan yang sarat dengan peluang serta potensi. Jika jawapannya ya, maka tanpa ragu-ragu berilah mandat kepada kerajaan yang ada untuk meneruskan dan menambahbaik apa yang ada. Tuan Yang di-Pertua, 166. Pujangga bermadah, bumi mana tak ditimpa hujan, gading mana yang tidak retak. Kita akur, Kerajaan BN tidak bebas dari kekhilafan tetapi yang membezakan kami dan mereka ialah mereka tidak mempunyai ketawadu’an untuk mengakui kesilapan sebaliknya mencipta alasan demi alasan dengan penuh gempita menyalahkan orang lain. Tuan Yang di-Pertua, 167. Pucuk pangkalnya, pihak yang menawarkan alternatif ini juga perlu dinilai catatan rekod mereka. Kerana mereka bukannya tidak dikenali rakyat Malaysia. Malah, ada di kalangan mereka pernah diamanahkan sebagai kepimpinan tertinggi yang mengurus khazanah negara. Tidak cukup dengan itu, hari ini di beberapa negeri mereka juga mengepalai Kerajaan. 168. Kalau hari ini mereka menjanji itu dan ini, rakyat Malaysia harus bertanya, apabila pemimpin berkenaan, ketika masih berjawatan dulu, kenapa tidak melaksanakan apa yang dikokokkan. Hakikatnya, jika ketika berpeluang, tidak melaksanakan segala yang dijanji, apatah pula jaminan mereka akan melunaskannya jika diberi kuasa sekarang. Tuan Yang di-Pertua, 169. Bukankah apabila berhadapan dengan krisis kewangan Asia, hampir ranap negara ini dibuatnya? Jika kini, di negeri-negeri yang ditadbir mereka, apa yang terkandung dalam manifesto mereka sendiri pun masih tinggal janji, mana mungkin mereka boleh dipercayai dengan amanah dan kuasa. 170. Ini berbeza dengan kerajaan BN. Apabila berjanji, ditepati. Bahkan sebelum berjanji pun lagi, kita bersikap bertanggungjawab, dengan menentukan sama ada janji itu boleh ditunaikan atau tidak. Bukannya mengambil sikap asal menang, segalanya-galanya sanggup dipertaruhkan. Sebaliknya bila menang, janji hilang entah ke mana. Tuan Yang di-Pertua, 171. Kata Plato “The measure of a man is what he does with power”. Justeru, hari ini, kita dapati, untuk berkuasa, ada sesetengah pihak sanggup mengadu domba antara agama dan bangsa, sanggup menggadai segala-galanya hatta prinsip sekalipun demi kerakusan kuasa. Kerajaan BN, dibimbing prinsip “fastabiqul khairat” sepertimana terkandung di dalam ayat al-Quran yang saya baca pada awal ucapan tadi, iaitu berlumba-lumba melakukan kebaikan. Sedangkan pegangan puak sana tampaknya “fastabiqul fasad”, iaitu berlumba-lumba membuat onar kerosakan. 172. Kalau kita lihat lagi, hakikatnya Kerajaan BN adalah perintis kepada perpaduan kaum yang menjadi teras kestabilan nasional tetapi pihak lain yang ingin menjadi Kerajaan merintis kekuatan melalui konflik dan kebencian. Kerajaan difitnah dan dituduh semahunya. 173. Maka, saya menyeru rakyat Malaysia supaya menghakimi Kerajaan BN dengan amal perbuatan bukannya retorik. Marilah bersama-sama saya dan rakan-rakan untuk kita melepas bebaskan segala potensi yang ada bagi membina sebuah negara yang boleh kita banggakan. Sebuah negara yang mana yang susah dibantu, yang lemah dilindungi, yang berada membantu, yang kuat melindungi, yang muda kasihi, yang tua dihargai, yang memerlukan dikhidmati dan yang berbakat digilap. 174. Sesungguhnya, kita mahukan Malaysia yang tersanjung di persada antarabangsa. Malaysia yang makmur dan aman. Malaysia yang menjadi cahaya dan oasis di tengah-tengah ketidaktentuan global. Mudah-mudahan dengan izin-Nya dan sokongan padu rakyat, kita bakal membina sebuah realiti dari impian. Kepada Allah kita berserah. Tuan Yang di-Pertua, Saya mohon mencadangkan.


 
 
Blogger Templates