sila baca artikel di bawah.ini ada lah penulis untuk dajal,baca dengan teliti dan anda renung-renung kan lah...
SEMASA menuntut di kampung dahulu penulis percaya dajal adalah makhluk gergasi yang mempunyai satu mata.
Penulis mula meragui kepercayaan itu selepas memasuki alam remaja. Bagaimanapun, kepercayaan mengenai dajal dan lain-lain perkara ganjil yang terdapat dalam kitab-kitab lama itu terjawab selepas dapat melanjutkan pengajian agama di peringkat universiti di Maghribi.
Kini penulis percaya dajal itu hanya manusia yang suka menipu orang. Dalam bahasa Arab dajal itu pembohong, pendusta dan penipu.
Beberapa hadis yang membincang tentang dajal walaupun ada menyebut cerita-cerita ganjil, tetapi yang terkuatnya memaksudkan manusia.
Orang yang dianggap menjadi dajal itu adalah umum dan mencakupi semua orang yang suka berbohong dan menipu. Boleh jadi yang dianggap dajal itu merupakan wartawan, guru, ulama, ahli politik dan lain-lain orang yang suka berbohong dan menipu.
Rasulullah s.a.w berpesan supaya kita berjaga-jaga dengan orang yang mempunyai sifat dajal ini. Baginda bersabda:
"Nanti pada akhir zaman akan datang manusia-manusia dajal yang penuh kebohongan. Mereka bicara dengan kalian tentang sesuatu yang belum pernah kalian dengar sebelum-nya. Demikian juga nenek moyangmu. Hati-hatilah kamu dan jauhilah mereka, jangan sampai mereka menyesatkan iman dan memfitnahmu." (Riwayat Muslim)
Jika kita perhatikan orang di sekeliling kita, kita akan dapati bahawa ramai daripada mereka yang mempunyai sifat-sifat dajal. Mungkin mereka merupakan kawan, ahli keluarga, ulama dan ahli politik kita. Yang jelas kerja dajal ialah menghasilkan pembohongan dan melakukan amalan pendajalan yang tidak habis-habis.
Jika dajal itu seorang ahli politik yang jahat, dia akan melakukan segala pembohongan termasuk berlagak sebagai orang warak untuk mempengaruhi orang ramai.
Jika si dajal itu pula merupakan seorang penceramah, dia akan menggunakan kepetahan bercakapnya untuk menipu orang.
Jika dajal itu merupakan seorang pendakwah yang pandai kelakar dan pandai membuat orang tertawa, dia akan memperdayakan hadiran dengan pelbagai kata lucu tetapi penuh racun-racun yang sangat berbahaya.
Sebenarnya orang Islam yang benar-benar Mukmin tidak mungkin menjadi dajal. Ketika ditanyakan Rasulullah s.a.w, apakah ada di antara kaum Mukmin yang pengecut, Baginda menjawab, ada.
Lalu beliau ditanya lagi apakah ada orang Mukmin yang bakhil? Baginda menjawab, ada.
Kemudian ditanya lagi apakah ada orang Mukmin yang pembohong (dajal)? Baginda menjawab, tidak ada.
Dalam sebuah hadis lain Nabi bersabda:
"Orang Mukmin diberi semua watak dan sifat-sifat kecuali khianat dan bohong (dajal)".
Bagaimanapun, pendajalan yang paling berbahaya ialah pendajalan politik. Krisis politik dan bahangnya masih dapat dirasai sehingga ke hari ini adalah berpunca daripada pendajalan politik ini.
Sebagai seorang ahli politik, mungkin melakukan sesuatu yang tidak diharuskan untuk mendapat atau menjaga kredibiliti diri dan kumpulan. Pendajalan sebegini dapat dilihat dengan jelas bila ada ulama politik mengharuskan memaki dan mencarut demi menjaga nama baik ahli politik partinya.
Pendajalan juga digunakan sebagai alat untuk memerangi kerajaan seperti pembohongan yang dilakukan oleh ulama-ulama dalam mengeluarkan hukum kafir-mengkafir, menganggap kerajaan sekular yang kafir dalam lain-lain.
Begitu juga ulama yang membaca sebahagian ayat al-Quran dan menyembunyi sebahagian ayat al-Quran yang lain untuk menghukum kerjasama dengan bukan Islam sebagai haram.
Pendajalan yang dilakukan oleh ulama politik ini boleh dianggap pendajalan agama atau pendajalan politik yang bersifat agama. Yang sedihnya pendajalan ini sudah menjadi semacam adat dan sentiasa diamal oleh ahli politik.
Gejala ini dilakukan secara terancang dan teratur, sama ada dalam akhbar mereka mahupun dalam ceramah. Habis satu pembohongan, muncul pembohongan-pembohongan yang lain.
Malangnya angkara ini berlaku secara ketara di Malaysia dan ia sudah menjadi satu fenomena. Politik mereka nampaknya menjadi hambar dan tidak menarik tanpa pendajalan itu.
Perhatilah ceramah mereka yang diadakan begitu banyak itu. Berapa peratuskah maklumat benar dan ilmu yang berguna yang kita mungkin peroleh daripada ceramah mereka?
Dalam sebuah hadis disebutkan bahawa ada tiga golongan yang tidak dapat masuk syurga, iaitu:
(1) orang tua yang berzina,
(2) pemimpin yang bohong, dan
(3) ketua keluarga yang sombong. (Riwayat Al-Bazzar)
Dalam sebuah hadis lain ada menyebut bahawa ada dua golongan manusia jika baik mereka, maka baiklah dunia dan jika jahat mereka, maka jahatlah dunia, iaitu pemerintah dan ulama.
Dengan itu kita mestilah berhati-hati tentang dajal-dajal di kalangan manusia ini. Ini kerana dajal-dajal ini akan mencipta bermacam-macam pembohongan yang menyesatkan.
Bagaimanapun, kita mesti berjaga-jaga secara berlebih-lebihan terhadap dajal-dajal yang bertopeng agama.
Kerana dajal-dajal ini boleh menukarkan yang benar menjadi tidak benar dan tidak benar menjadi benar. Orang awam mudah percaya kepada dajal-dajal bertopeng agama ini. Sedangkan dajal-dajal kategori lain walaupun perlu juga berhati-hati terhadap mereka, tetapi mereka kurang berupaya mempengaruhi orang awam.
Secara umumnya Allah mengingatkan kita bahawa bencana akan menimpa kita jika kita melakukan kerosakan di dunia termasuk mengamal perkara-perkara yang dicipta reka oleh dajal-dajal seperti tidak patuh kepada peraturan alam yang dipanggil sunnatullah itu.
Mengenai perkara ini Allah berfirman: "Telah nampak kerosakan di darat dan di laut disebabkan kerana perbuatan tangan manusia, supaya Allah merasakan kepada mereka sebahagian (akibat) perbuatan mereka, agar mereka kembali (ke jalan yang benar)". (al-Rum: 41)
Bagi mengelak diri kita menjadi dajal pula, kita mesti mengelak daripada melakukan pendajalan dan jauhi orang-orang yang menjadi dajal. Malah buat perkara-perkara baik dan dampingilah orang-orang Islam yang baik dan mereka yang disebut dalam ayat 135 daripada surah al-Nisa' ini.
"Wahai orang-orang Mukmin! Jadilah kamu orang-orang yang benar-benar menegakkan keadilan, menjadi saksi kerana Allah biarpun terhadap dirimu sendiri atau ibu bapa, dan kaum kerabatmu. Jika ia kaya atau miskin, maka Allah lebih tahu kepentingannya. Maka janganlah kamu mengikuti hawa nafsu kerana ingin menyimpang dari kebenaran. Dan jika kamu memutarbalikkan (fakta) atau enggan menjadi saksi, maka sesungguhnya Allah adalah Maha Mengetahui segala yang kamu kerjakan".
POST BY WAYNE...
No comments:
Post a Comment