Beliau menegaskan, rakyat seharusnya menilai bahawa Zaid yang pada awalnya menyertai PKR dengan niat mahu mengembangkan budaya politik berprinsip untuk membangunkan demokrasi dan tadbir urus yang baik turut kecewa dengan penyelewengan dalam pemilihan parti itu.
Tindakan Zaid, kata beliau, jelas membuktikan dia sedar ada pihak melakukan pelbagai cara untuk menidakkan haknya daripada terus bertanding.
''Saya fikir ini sebagai satu gambaran bahawa PKR sebenarnya tidak mengamalkan sistem demokrasi yang mereka canangkan atas nama Parti Keadilan Rakyat, ahli-ahli lama yang berjuang dalam parti sudah lama meninggalkan mereka dan sekarang Zaid sudah mula sedar.
''Hari ini beliau (Zaid) nyatakan kekecewaan PKR tidak seperti yang disangkakan, bagi saya ini sebagai satu manifestasi kenyataan yang harus memberikan kesedaran kepada kita bahawa apa yang selama ini kononnya diperjuangkan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak lain daripada hanya untuk kepentingan kumpulan-kumpulan mereka," katanya di sini hari ini.
Muhyiddin mengulas keputusan Zaid melepaskan jawatan dalam PKR dan menarik diri daripada bertanding selepas mendakwa kecewa dengan penyelewengan dan penipuan dalam pemilihan parti yang sedang berlangsung.
Zaid yang merupakan pencabar terkuat kepada Azmin Ali bagi jawatan Timbalan Presiden turut melepaskan semua jawatannya dalam PKR walaupun baru satu pertiga cabang parti itu mengadakan pemilihan.
Beliau yang juga bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri bagaimanapun tidak akan meninggalkan pembangkang dan akan terus bercakap serta memperjuangkan isu rakyat bagi memastikan masyarakat mendapat kerajaan yang lebih baik.
Muhyiddin seterusnya berkata, rakyat seharusnya sedar kerana kepincangan dalam PKR sudah menjadi lebih terbuka dan adalah amat berbahaya jika mereka tidak mengetahui apa sebenarnya berlaku di sebalik laungan pemimpin parti itu kononnya mereka memperjuangkan konsep keadilan dan ketelusan.
''Itu semua satu retorik politik sahaja, bukan sesuatu yang benar dan nyata, dalam pakatan pembangkang PKR mahu menjadi peneraju untuk menumbangkan Barisan Nasional.
''Tetapi yang jadi kepala pun hala tujunya caca marba, bagi saya ini satu iktibar yang serius kerana bagaimana rakyat hendak percaya kepada parti yang kucar-kacir," katanya.
Beliau turut mempersoalkan kepimpinan PKR yang diterajui oleh isteri Anwar iaitu Datin Seri Dr. Wan Azizah Ismail kerana beliau sendiri tidak pernah tampil ke depan berbanding pemimpin UMNO yang mengepalai parti sentiasa ke depan untuk berjuang demi rakyat.
''Dalam hal ini saya tak tahu, Azmin ke Wan Azizah atau Anwar kepalanya, sebenarnya tak ada kepala, kalau sesebuah parti politik tidak ada peneraju atau pemacu, itu petanda-petanda memang tak baiklah," katanya.
SUMBER UTUSAN
POST BY WAYNE...
No comments:
Post a Comment