Social Icons

Pages

Tuesday, July 19, 2011

APABILA DAP BERSUARA,PAS KENA TUNDUK ???




SUATU waktu terutama di pentas ceramah,Pas sentiasa mahu menampilkan imejnya sebagai sebuah parti yang berbeza.Pemimpin mereka pun selalu mahu dilihat lebih Islamik berbanding orang lain.Perbezaan itu sehingga membenarkan perlakuan ekstrem dalam kalangan ahli-ahlinya,memang jelas pada imej Pas.Lawan mereka walaupun beragama Islam dilabel kafir. Orang Islam yang mengundi calon wakil rakyat bukan Islam dicemuh.Hadis,malah ayat al-Quran dipetik dan diulas sesuka hati bagi memberi makna terhadap hujah mereka. Lidah mereka tidak pernah berhenti menyebut penubuhan negara Islam dan undang-undang hudud.

Tapi itu dulu,sekarang sudah terbalik.Sejak berkawan rapat dengan DAP dan parti itu sendiri dikuasai oleh golongan Anwarinas,dasar dan pendekatan sederhana yang diguna pakai oleh UMNO dan BN ‘diculik’ oleh Pas.Pendekatan sederhana dan musyawarah setiap kali timbul masalah terutama berkaitan kepentingan kaum dan agama lain ala UMNO dan BN,telah diciplak oleh Pas.Pendekatan musyawarah dan sederhana BN yang mereka kecam dulu, kini menjadi dambaan.Sekarang tiada lagi negara Islam tetapi diganti dasar negara kebajikan. Tidak berani lagi menyebut hudud akan dilaksanakan atas alasan belum waktunya.

Apa yang dilakukan suatu waktu dulu begitu berbeza dengan amalan sekarang. Maka itu, sukar untuk menolak jika ada yang menyatakan Pas kini sedang mempromosikan imej sebagai sebuah parti yang sentiasa mengalah demi politik kekuasaan. Mereka gunakan pendekatan musyawarah dan kesederhanaan BN tetapi sayang tidak mampu untuk mengawalnya.Kerana undi,mereka tunduk kepada tuntutan dan ancaman sekutunya sendiri. Akibat ‘langkah mayat saya dulu’, dasar negara Islam diubah. Kerana mengutamakan kepentingan puak ini,rampasan minuman keras pernah dipulangkan Dan kerana gertakan DAP,ngauman Kerajaan Pas Kedah untuk menguatkuasakan larangan operasi hiburan pada bulan Ramadan ini berubah nada. Sedangkan mereka yang bersungguh-sungguh mahu menguatkuasakan Enakmen Hiburan dan Tempat-tempat Hiburan 1997 itu.


Benar,enakmen itu diluluskan pada zaman kerajaan BN tetapi tentu sekali penguatkuasaannya perlu dilaksanakan secara bijaksana.Yang lucunya strategi sama terus digunakan iaitu menyalahkan UMNO apabila enakmen itu gagal dilaksanakan.

Begitulah karakter mereka yang mahu kelihatan suci dan tidak pernah bersedia mengakui kesilapan. Sedangkan semua keputusan di bawah ‘kebijaksanaan’ mereka. Akuilah Pas silap. Akuilah DAP itu benar.Memang banyak pihak membantah larangan itu termasuk MCA dan peniaga pusat hiburan tetapi tidaklah sekeras DAP yang turut mengancam untuk mengheret larangan itu ke mahkamah.

Agak lucu cara Pas yang mahu memulihkan imej akibat kontroversi isu ini. Tetapi hakikatnya sukar untuk bermuka-muka bak kata pepatah, ‘terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya.’Betapa tidak, hanya selang beberapa jam pemimpin Pas Kedah menyatakan pendirian tegas tidak akan berundur tetapi keputusan sebaliknya pula yang diumumkan. Di mana hendak diletakkan muka.


“Ustaz (Menteri Besar) Azizan tidak akan berundur !!! Itulah pendirian beliau dalam isu ini dalam nada yang sangat tegas,” begitulah kenyataan Setiausaha Politik kepada Azizan, Muhammad Sanusi Md. Nor.

Malah dalam kenyataannya itu, beliau yang memetik pepatah kalau takut dilambung ombak, jangan berumah di tepi pantai berasa yakin seluruh umat Islam akan berdiri teguh di belakang beliau dalam menangani isu itu.Tetapi selepas berhadapan dengan Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, nada Muhammad Sanusi yang mewakili Menteri Besar berubah. Katanya, keputusan melonggarkan syarat itu juga demi menjaga hak orang bukan Islam yang mahu berhibur serta kebajikan pengusaha pusat hiburan.

Kalau benar bagai dikata bahawa keputusan mengubah larangan itu yang diuar-uarkan sebagai langkah bijaksana, jadi tidaklah bijak keputusan awal yang bukan orang lain buat tapi mereka sendiri.Berdasarkan beberapa rentetan peristiwa, sukar untuk meyakinkan orang ramai bahawa Pas tidak tunduk kepada tekanan DAP walaupun dinafikan oleh pemimpin kanan parti itu. Saban waktu kita dapat lihat, apabila DAP bersuara terutama yang menyentuh kepentingan menjaga kekuasaan dan undi, pemimpin Pas seperti merunduk layu.

Mungkin ada benarnya bahawa Pas sebuah parti yang berbeza. Sedang parti politik lain sentiasa mempertahankan prinsip perjuangannya, Pas kebelakangan ini cuma menunjukkan ia tidak konsisten.

Oleh Zulkefli Hamzah

2 comments:

Anonymous said...

Sudah tak tahu apa lagi yang nak di tulis tentang PAS ini. Nampak nya semakin hari semakin...teruk.

PAS = hamPAS.

Anonymous said...

DAP sudah menjadi "sultan"kepada PAS dan wajib pas tunduk hormat bila "dititahkan" tp Sultan dan Raja Melayu bertitah ,pas tak peduli pun,Agong bertitah tak nak dengar tp DAP cuit skit terus tunduk

 
 
Blogger Templates