Social Icons

Pages

Monday, August 27, 2012

SAH !!! PAS UTAMAKAN PUTRAJAYA DARI HUDUD !!!



APABILA Pas membuat keputusan menjalinkan kerjasama dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP dalam pakatan pembangkang ramai tertanya-tanya,apakah Pas membuat tindakan yang betul.Ia memandangkan Pas yang ditubuhkan oleh sekumpulan ulama mempunyai misi bagi melaksanakan pemerintahan Islam dan memperjuangkan hukum hudud.Tetapi sejak pilihan raya umum lalu, apabila Pas berjaya menawan Kedah dan mempertahankan kekuasaan di Kelantan serta membantu PKR dan DAP memerintah Pulau Pinang dan Selangor,kita jarang mendengar Pas bercakap soal hukum hudud.Keadaan itu berlaku kerana atas hasrat menjaga hubungan dengan kedua-dua parti berkenaan,Pas dengan rela hati mengorbankan perjuangan negara Islam dan hukum hududnya.Apa yang lebih banyak kita dengar sebelum ini ialah keterujaan Pas untuk bersama-sama PKR dan DAP menumbangkan Barisan Nasional (BN) bagi membolehkan mereka menguasai Putrajaya.Sebab itulah dalam Pilihan Raya Umum Ke-12,Pas menghasilkan manifesto bertemakan ‘Kerajaan Beramanah,Adil dan Bersih Menuju Negara Berkebajikan’.Ia sekali gus bermakna secara rasmi Pas sudah meninggalkan perjuangan negara Islam dan hukum hudud demi meraih sokongan politik.

Justeru bukanlah sesuatu yang mengejutkan apabila Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dilihat acuh tidak acuh dalam isu penentangan oleh DAP melalui Pengerusinya, Karpal Singh berhubung hukum hudud.Sebaliknya,Abdul Hadi pada sidang akhbar selepas mesyuarat Lujnah Politik Pas lebih selesa mahu terus menjaga kepentingan politik Pas apabila menganggap penentangan Karpal adalah perkara biasa dan menuding jari mempersalahkan UMNO berikutan kemelut yang berlaku.Biar pun Abdul Hadi dalam kenyataannya menegaskan bahawa hukum hudud akan dilaksanakan mengikut lunas-lunas demokrasi namun ia boleh dianggap satu jawapan ibarat lepas batuk di tangga sahaja.Ternyata Pas tidak mahu isu hukum hudud menggugat hubungannya dengan dua parti kesayangan mereka iaitu PKR dan DAP.Tidak kisahlah kalau Pas terus diperkotak-katikkan atau dilihat dibuli dalam pakatan pembangkang yang pasti Pas sanggup menempuh itu semua semata-mata tidak mahu dipinggirkan oleh kedua-dua parti itu dalam memburu kuasa.

Kenyataan

Berdasarkan kepada kenyataan Abdul Hadi dan Pas yang ternyata tiada langsung menunjukkan keseriusan parti itu memperjuangkan hukum hudud maka tidak perlulah pemimpin dan penyokong tegar Pas di peringkat akar umbi bermuram durja kerana terbukti kini Pas bukan lagi memperjuangkan Islam.Harapan untuk mereka melihat pemimpin atasan bermati-matian mempertahankan perjuangan Islam dan hukum hudud serta berani menyanggah penentangan DAP hanyalah satu mimpi indah yang tidak kesampaian.Ternyata sekali lagi,hukum hudud hanyalah mainan politik Pas menjelang pilihan raya,kalau benar mereka serius memperjuangkan perkara berkenaan sudah pasti mereka akan senada dengan bekas Timbalan Presiden Pas,Nasharudin Mat Isa.Namun malangnya ketegasan Nasharudin mempertahankan dasar dan prinsip perjuangan Pas serta membela maruah parti itu dianggap suara ‘pemimpin yang sudah ditolak oleh akar umbi’.Demikianlah hebatnya Pas mempertahankan kerjasama dengan PKR dan DAP sehinggakan mana-mana juga pemimpinnya yang dilihat tidak mahu menjaga hubungan berkenaan akan dipinggirkan.

Mungkin atas alasan itulah pimpinan Pas menyerahkan kepada Majlis Syura Ulama menentukan tindakan ke atas Nasharudin, ini sekali gus memberi gambaran bahawa Ahli Parlimen Bachok itu sememangnya bersalah pada kaca mata Pas kerana membuat kenyataan meminta parti itu mengkaji kedudukannya dalam pakatan pembangkang.Nasharudin adalah pemimpin kedua dalam Pas yang mungkin akan disingkirkan selepas Datuk Dr.Hasan Ali dipecat daripada Pas kerana dilihat tidak senada dengan parti itu dalam memberi sokongan kepada Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.Soal sama ada mereka mempertahankan maruah atau martabat Pas, Islam mahupun dasar parti bukanlah perhitungan utama sebaliknya semua pemimpin Pas perlu akur untuk terus ‘berpeluk’ dengan pemimpin PKR dan DAP, biar pun Pas diperkotak-katikkan serta menjadi ‘pak turut.Semua itu tidak penting bagi kepimpinan Pas kerana apa lebih utama memburu kuasa politik, Pas mungkin sudah bosan hanya memerintah satu dua negeri,Pas ingin menjadi pemerintah pusat selepas 66 tahun berjuang dalam arena politik negara.Justeru yang mana boleh dikorbankan hatta prinsip perjuangan sendiri pun maka ia harus dikorbankan asalkan Pas boleh berada ‘sekapal’ dengan PKR dan DAP menuju ke Putrajaya.

Sikap


Sikap terbaru Pas ini yang tidak bersungguh-sungguh mempertahankan perjuangan Islam dan hukum hudud perlu menyedarkan penyokong mereka di peringkat akar umbi bahawa suara mereka tidak penting bagi pimpinan atasan.Tambahan pula,Pas kini sudah kehilangan keyakinan diri sebagai sebuah parti yang hebat dan pemimpin mereka lebih takut dengan desakan pemimpin-pemimpin PKR dan DAP berbanding penyokong sendiri.Atas sebab itulah Pas dilihat lebih rela menghukum pemimpin sendiri yang berjuang atas prinsip mempertahankan maruah parti daripada melukakan hati pemimpin PKR dan DAP.Pas memahami biar pun perjuangan Islam dan menegakkan hukum hudud seharusnya menjadi keutamaan namun kegelojohan untuk menumbangkan BN dan UMNO telah menutupi hasrat berkenaan.Apatah lagi Pas tahu kalau mereka ingin terus kekal dalam pakatan pembangkang,mereka perlu melupakan hukum hudud kerana parti itu tidak akan disokong oleh mana-mana pemimpin-pemimpin PKR atau DAP.Ia jelas apabila Anwar sendiri konsisten menolak hukum hudud Pas atas alasan ia tidak ada dalam kesepakatan pembangkang melalui penghasilan Buku Jingga.

Semua orang tahu,dalam pakatan PKR dan DAP mempunyai hubungan yang jauh lebih akrab berbanding hubungan mereka dengan Pas.Malahan mereka tidak pernah berasa gentar dengan ancaman politik Pas sebab mereka tahu Pas hanya ‘pak turut’ dan tidak memiliki kekuatan bagi membangkang kehendak mereka.Berdasarkan kepada keadaan itulah PKR dan DAP tidak perlu bersusah payah mewujudkan forum bagi menyelesaikan perbalahan antara Karpal dan Nasharudin.Tidak payah DAP hendak meminta Penasihatnya,Lim Kit Siang atau Setiausaha Agungnya,Lim Guan Eng bersuara,cukuplah Karpal seorang berhadapan dengan pemimpin-pemimpin Pas.Pemimpin-pemimpin PKR dan DAP memahami sikap konsisten Karpal dalam isu hukum hudud sudah cukup ampuh bagi berhadapan dengan mana-mana pemimpin Pas.Kenyataan Abdul Hadi semalam bahawa Pas tidak perlu mentarbiyahkan Karpal mengenai hukum hudud sudah menampakkan dengan jelas ketidakberanian Pas mempertahankan perjuangan Islamnya.Mereka tidak ada kekuatan untuk berhadapan dengan pakar undang-undang seperti Karpal sebab pelaksanaan hukum hudud yang dicanangkan oleh Pas bukannya mahu dilakukan secara bersungguh-sungguh tetapi sekadar mencari modal politik menjelang pilihan raya sahaja.Kalau mereka yakin bahawa pelaksanaan hukum hudud yang diperjuangkan adalah betul maka sudah pasti mereka akan mengajak pemimpin-pemimpin DAP terutamanya Karpal berdebat.Tetapi biasalah pemimpin-pemimpin Pas hanya berani berkokok kuat di hadapan pemimpin-pemimpin UMNO sahaja, namun akan kecut perut apabila perlu berhadapan dengan pemimpin PKR atau DAP bagi mempertahankan prinsip mereka.Demikianlah nasib Pas sebuah parti yang ditubuhkan 66 tahun lalu atas hasrat memperjuangkan Islam tetapi akhirnya lemas akibat memburu puncak kekuasaan,kesudahannya hukum hudud ditinggalkan,Putrajaya diutamakan.

Oleh Zulkiflee Bakar

RENUNG-RENUNGKAN

No comments:

 
 
Blogger Templates