Timbalan Pengerusi SPR,Datuk Wan Ahmad Wan Omar ketika mengumumkan perkara itu berkata, seramai 11,553 pemilih berdaftar layak membuang undi pada pilihan raya tersebut dengan sejumlah 11,426 pemilih adalah pengundi biasa manakala 127 pemilih pos.
''SPR telah menerima pemakluman rasmi daripada Speaker DUN Kelantan pada 28 September lalu berhubung kekosongan kerusi bahagian pilihan raya DUN Galas berikutan kematian wakil rakyatnya, Chek Hashim Sulaima pada 27 September lalu.
''Berikutan itu,SPR mengadakan mesyuarat khas mengenainya pada hari ini dan menetapkan satu pilihan raya kecil perlu diadakan dalam tempoh 60 hari dari tarikh kekosongan yang diputuskan oleh SPR bagi mengisi kekosongan kerusi berkenaan," katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat berkenaan di Ibu Pejabat suruhanjaya itu di sini hari ini.
Allahyarham Chek Hashim yang meninggal dunia akibat barah usus pada 27 September lalu merampas kerusi DUN Galas daripada genggaman Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-12 apabila menang dengan majoriti 646 undi.
Allahyarham memperoleh 4,399 undi manakala lawannya Mohamad Saufi Deraman dari BN mendapat 3,753 undi.
DUN Galas yang terletak dalam Parlimen Gua Musang ketika ini mempunyai 61.6 peratus pengundi Melayu iaitu 7,125 orang; 2,317 orang (Cina) atau 20.08 peratus dan Orang Asli seramai 1,889 orang atau 16.37 peratus.
Selain itu terdapat sejumlah 185 pengundi berketurunan India iaitu 1.6 peratus, Bumiputera Sarawak (0.9 peratus) dan lain-lain (0.23 peratus).
Wan Ahmad berkata, bagi menjalankan pilihan raya kecil N.45 itu, SPR akan mengguna pakai Daftar Pemilih Induk (DPI) 2009 dan digabungkan dengan daftar pemilih tambahan suku tahun pertama dan suku tahun kedua 2010 yang dikemaskinikan pada 27 September lalu.
Beliau memberitahu, SPR akan menggunakan bilik gerakan Pejabat Tanah dan Jajahan Gua Musang sebagai pusat penamaan calon manakala Dewan Pusat Sivik Gua Musang sebagai pusat penjumlahan rasmi undi.
''Seramai 323 orang petugas pilihan raya akan dilantik untuk mengendalikan proses pilihan raya kecil tersebut," katanya.
Beliau berkata, bagi memastikan kelancaran proses pengundian, SPR menyediakan 25 saluran mengundi melibatkan penggunaan 11 buah sekolah dan satu balai rawatan Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEAO) serta sebuah dewan sebagai pusat mengundi.
''Kami memperuntukkan kira-kira RM1.3 juta bagi menjalankan pilihan raya kecil tersebut berikutan faktor logistik termasuk penggunaan sebuah helikopter membabitkan empat buah pusat mengundi," katanya.
Katanya, bagi pilihan raya kecil yang menyaksikan tempoh berkempen selama lapan hari itu, SPR menyasarkan jumlah turun mengundi mencecah 81 peratus sebagaimana dicatatkan dalam Pilihan Raya Umum Ke-12.
''Kita sudah mengambil kira keputusan menetapkan tarikh pilihan raya kecil DUN Galas pada hari Khamis iaitu hari bekerja memandangkan sebahagian besar pengundi adalah mereka yang tinggal di kawasan sekitar dan bekerja sendiri terutama di kawasan pertanian.
''Soal hari bekerja tidak timbul kerana pengundi yang tinggal di luar kawasan tidak ramai, jadi kita yakin peratusan keluar mengundi akan meningkat sekiranya cuaca baik pada hari pengundian," katanya.
Pada sidang akhbar tersebut, Wan Ahmad turut mengumumkan pelantikan Ketua Jajahan Gua Musang, Wan Mustapha Wan Ab. Hamid sebagai pegawai pengurus pilihan raya kecil tersebut manakala Timbalan Ketua Jajahan Gua Musang, Mohammad Yusoff Hassan; Penolong Ketua Jajahan Gua Musang (Pelupusan dan Tanah), Mohd. Helmi Mat Zin dan Penolong Ketua Jajahan Gua Musang (Pembangunan Masyarakat), Hasnul Hariz Ab. Llah sebagai penolong pegawai pengurus pilihan raya.
''Bagi memantau semua aktiviti kempen pilihan raya sepanjang tempoh rasmi berkempen, SPR bersetuju menubuhkan tiga pasukan penguatkuasa kempen pilihan raya (PP-KPR) yang diketuai oleh seorang pegawai penguatkuasa bagi setiap pasukan," katanya.
Beliau berkata, SPR mengadakan kerjasama dengan pihak polis bagi memastikan dari segi aspek keselamatan dan kelancaran proses penamaan calon dan berkempen serta proses pengundian berjalan lancar.
''Semua pihak diminta mematuhi arahan polis yang bertanggungjawab dalam menjaga ketenteraman awam dan keselamatan urusan pilihan raya.
''Parti-parti politik, calon-calon, para petugas dan penyokong parti atau mana-mana individu yang akan terlibat semasa berkempen hendaklah mematuhi undang-undang dan peraturan pilihan raya serta tatasusila berkempen yang ditetapkan," katanya.
Dalam pada itu, Wan Ahmad menjelaskan, SPR tidak melantik mana-mana pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sebagai pemerhati bebas bagi pilihan raya kecil tersebut.
Ini kerana katanya, suruhanjaya tersebut masih meneliti laporan Badan Bebas Pemantauan Pilihan Raya Malaysia (Mafrel) yang sebelum ini gagal menepati syarat pelantikan apabila gagal mengemukakan laporan mereka.
''Jadi untuk berlaku adil kepada Mafrel yang sudah menghantar laporan mereka, kita tidak membuat sebarang pelantikan pemerhati bebas bagi pilihan raya kecil ini kerana kita sedang meneliti laporan mereka," katanya.
Dalam hal ini beliau menjelaskan, pilihan raya di negara ini tidak mempunyai keperluan mendesak untuk melantik pemantau bebas kerana sistem sedia ada membenarkan setiap parti bertanding melantik ejen-ejen pengundian di setiap saluran mengundi.
''Mereka adalah saksi yang terbaik bagi menjaga kepentingan setiap calon atau parti yang bertanding," katanya.
POST BY WAYNE...
No comments:
Post a Comment