Ini jika kita halusi ceramah ustaz dan ulama Pas,mereka hanya bertujuan mencetuskan permasalahan dalam masyarakat dan bukan untuk menyelesaikannya.
Ini kerana matlamat utama mereka adalah untuk merebut kuasa dan menjatuhkan kerajaan dengan mencipta sebanyak mungkin masalah dalam masyarakat itu.
Kini walaupun Pas telah menguasai dua negeri iaitu Kelantan dan Terengganu,tetapi para pemerintah di dua negeri itu tidak pun menunjukkan mereka berjaya menyelesaikan permasalahan yang dihadapi oleh dua negeri itu.
Ini tidak lain dan tidak bukan kerana para pemerintah di dua negeri itu tidak mahu keluar daripada acuan pembangkang dan terus-menerus menyalahkan orang lain bertanggungjawab ke atas permasalahan yang dihadapi mereka termasuk kelemahan dalam mentadbirkan negeri.
Dari segi agama pula ceramah Pas pula tidak bertujuan meninggikan dan meluaskan pandangan agama di kalangan orang Islam, tetapi bertujuan sebaliknya.
Apa yang mereka kehendaki ialah supaya orang lain mepercayai mereka sahaja.
Apabila mereka mendakwa pangkah Pas masuk syurga dan pangkah UMNO masuk neraka, orang Islam mesti percaya.
Begitu juga apabila mereka mengkafirkan orang UMNO, orang Islam mesti percaya juga.
Bagaimanapun, kini ramai orang Islam termasuk pengikut Pas sendiri mula menyedari bahawa fatwa, pandangan dan ucapan agama yang terkeluar dari mulut ustaz dan ulama Pas itu hanya karut marut dan ia tiada kena mengena dengan ajaran agama Islam yang luhur.
Tetapi orang Pas yang berubah pendirian itu sebenarnya merupakan bekas ahli UMNO yang terperangkap dengan politik fitnah Pas ekoran meletusnya krisis Anwar Ibrahim tahun 1997-1998 dulu.
Pada hakikatnya mereka ini tidak yakin kepada Pas, tetapi kerana benci kepada UMNO kerana silap faham tentang isu Anwar menyebabkan mereka naik kereta Pas secara tidak terancang.
Dengan itu mereka ini mudah kembali ke pangkal jalan. Terdapat juga orang Pas tulen dari golongan intelek yang turut berubah pendirian sekurang-kurangnya mula menunjukkan sikap terbuka berdasarkan kepada perbincangan dengan mereka.
Mereka juga ada yang tidak setuju dengan ustaz-ustaz dan ulama-ulama Pas yang menjadi tukang karut.
Cuma kerana komitmen terhadap perjuangan dan kepentingan menyebabkan mereka tidak menyatakan pandangan secara terus terang.
Adapun orang Pas di kampung-kampung yang merupakan pusat kuasa politik Pas belum lagi dapat digoncangkan pemikiran mereka.
Mereka ini kurang membaca akhbar, kurang terdedah kepada perbincangan politik yang rasional kecuali politik maki hamun Pas, jarang mendengar ceramah UMNO kerana ceramah memang jarang diadakan di kampung-kampung kecuali untuk para ahli sahaja dan tidak begitu teras berikutan krisis ekonomi yang melanda negara pada tahun 1997-1998.
Sehingga hari rencana ini ditulis (Jumaat), mereka ini masih menjadi benteng pertahanan Pas dan belum ada tanda-tanda mereka boleh menerima UMNO walaupun punca utama mereka menjadi begitu adalah isu Anwar.
Tiada jalan untuk sampai ke golongan ini kecuali melalui kuliah, ceramah dan perbincangan secara peribadi. Pendekatan yang perlu digunakan oleh penceramah UMNO mestilah berbeza dengan pendekatan yang digunakan oleh penceramah Pas.
Mereka menghasut, memfitnah, mencaci dan menghukum tetapi kita mesti mengelak sama sekali daripada perkara-perkara seperti itu.
Apa yang disarankan dalam al-Quran supaya orang Islam bercakap,berbincang dan berdialog dengan cara bijaksana dan pengajaran yang baik mesti diutamakan seperti disebut dalam ayat 125 daripada surah an-Nahl:
Serulah ke jalan Tuhanmu dengan bijaksana dan pengajaran yang baik, dan berdialoglah dengan mereka dengan cara yang lebih baik.
Semasa berceramah umpamanya, tidak perlu mengungkapkan kata-kata kasar dan memaki seperti yang dilakukan oleh Datuk Fadzil Noor dan Bunyamin Yaakob atau menghasut dengan menghukum bermacam-macam hukum agama yang ditegah oleh Islam seperti Menteri Besar Terengganu Abdul Hadi Awang atau mengajar orang Islam mencarut dan memaki seperti Menteri Besar Kelantan Nik Abdul Aziz Nik Mat.
Melaung, mengangkat suara dan menghina orang yang sudah menjadi kebiasaan dalam ceramah Pas juga mesti kita jauhi.
Apa yang perlu diberi perhatian oleh penceramah UMNO ialah kemukakan fakta, maklumat dan ilmu yang benar dan jelas.
Hakikatnya ceramah Pas bukanlah hebat sehingga tidak boleh dikalahkan oleh ceramah pihak lain termasuk ceramah UMNO. Ini kerana dari segi fakta, maklumat dan ilmu dalam ceramah Pas boleh dikatakan hampir tiada.
Jika ada sedikit sebanyak pun tenggelam dalam lautan maki caci dan sumpah seranah. Orang yang datang mendengar ceramah Pas walaupun lebih ramai daripada ceramah UMNO, tetapi bermusim.
Mereka datang ke ceramah Pas untuk mendengar berita dan pandangan mengenai sesuatu isu yang ramai orang terkeliru mengenainya iaitu isu Anwar.
Ramai yang hadir ceramah Pas pun adalah orang UMNO sendiri yang tidak kurang juga terkeliru dengan isu menggemparkan seluruh negara itu.
Bagaimanapun, kini ceramah Pas sudah tidak mempunyai tarikan dan tidak mendapat sambutan sehebat dulu selepas orang muak dengan isu Anwar.
Buktinya ceramah Pas yang dihadiri beribu-ribu orang semasa kemuncak krisi tahun 1997-1998, kini dihadiri ratusan orang sahaja.
Ceramah-ceramah itu pun mestilah membariskan beberapa nama penceramah yang bertaraf superstar. Sedangkan jika program ceramah Pas yang melibatkan penceramah biasa, ia biasanya lengang seperti ceramah UMNO juga.
Malah ada penganjur ceramah Pas mengeluh kerana program ceramah yang melibatkan penceramah bertaraf superstar tidak mendapat sambutan dan sekaligus tidak dapat memungut derma sebanyak yang dijangkakan
Berdasarkan kepada pengalaman penulis sejak akhir-akhir ini sering terlibat dalam program penceramahan, cara terbaik untuk menyelesaikan masalah kekeliruan orang ramai mengenai isu-isu agama tertentu tidak cukup dengan membentangkan fakta, maklumat dan ilmu dengan syarahan lisan, tetapi perlu juga menunjukkan bukti berupa kutipan pandangan ustaz dan ulama Pas yang disiarkan dalam Harakah dan lain-lain media cetak yang pro-Pas atau membaca transkrip dan memperdengarkan rakaman ceramah mereka.
Sebagai contoh penulis membuktikan dengan memutarkan rakaman suara Fadzil Noor sedang memaki hamun, rakaman suara Datuk Haron Din menasihat orang Islam supaya hanya berterima kasih kepada Allah dan tidak perlu berterima kasih kepada manusia,rakaman Taib Azamuddin menafikan ada ustaz dan ulama Pas berkata pangkah Pas masuk syurga dan pangkah UMNO masuk neraka.
Seterusnya penulis membaca pula transkrip ceramah Bunyamin Yaakob yang berkata, pangkah Pas masuk syurga dan pangkah UMNO masuk neraka serta memutarkan rakaman suara Datuk Haron Din mendakwa mengundi pemimpin yang zalim boleh masuk neraka sebagai perli terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamed.
Pada masa akan dating penulis merancang untuk mrmbuktikan semua karut-marut ustaz dan ulama Pas itu secara multimedia di mana para hadirin boleh menonton video pemimpin mereka sedang mencarut, memaki, menghina dan lain-lain angkara secara lebih meyakinkan.
Jawapan yang akan diberi berdasarkan al-Quran, hadis dan pandangan ulama dari pelbagai sumber kitab agama utama. Inilah salah satu cara yang paling berkesan untuk membuka mata orang Pas dan sekaligus memberi keyakinan kepada orang UMNO dan orang atas pagar terhadap kekuatan perjuangan UMNO dan kelemahan perjuangan Pas.
terima kasih kepada Astora Jabat astora@utusan.com.my
POST BY WAYNE...
1 comment:
masaalah terbesar UMNO sekarang ialah terlalu ramai badut-badut politik....
mereka tidak bijak berintraksi dan menyusun strategi! cuba bandingkan dengan penampilan PAS!
Post a Comment