Hari ini bapa Saiful Bukhari,En Azlan Mohd Lazim sekali lagi mengadakan sidang akhbar.Sidang akhbar tersebut dihadiri oleh wakil-wakil pimpinan PKR dan PAS.Muka wakil pimpinan DAP tidak kelihatan.Laporan yang dibuat oleh laman media menyatakan bahawa sidang media dibuat secara tergesa-gesa dan pemberita yang hadir tidak digalak mengemukakan soalan kepada En Azlan.Namun soalan yang bertubi-tubi terus dikemukakan kepada beliau.Pengamal media yang hadir begitu kecewa kerana soalan-soalan itu tidak dilayan sebaliknya En Azlan hanya membacakan kenyataan pendek penyertaannya sebagai ahli PKR.Seperti yang saya nyatakan dalam posting pertama waktu mengulas kenyataan “U-turn” En Azlan bahawa telahan yang saya buat nampaknya semakin menjadi kenyataan. En Azlan menyertai PKR dan menyatakan sokongan terbuka kepada Anwar Ibrahim dan Pakatan Rakyat.
Penyertaan En Azlan ke dalam PKR sudah tentu akan dipergunakan oleh parti tersebut berhabis-habisan.Beliau akan diheret ke tepi dan ke tengah menjelang dan semasa kempen pilihanraya untuk memberitahu rakyat bahawa Anwar Ibrahim bersih daripada segala tuduhan salah laku seks terutamanya liwat yang melibatkan anak beliau,Saiful Bukhari.Bagi ahli dan penyokong PAS kenyataan Mursyidul Am,Dato’ Nik Aziz Nik Mat yang mengalu-alukan kenyataan En Azlan mengenai salah laku seks Anwar Ibrahim itu tidak banyak memberi kesan kepada penyokong dan ahli parti itu. Walau apa pun, bagi PAS penolakan untuk menamakan Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri Pakatan Rakyat yang dikatakan telah diputuskan oleh Majlis Syura Ulama tidak mungkin dapat diolah semula termasuk Mursyidul Am sendiri yang mengetuai Majlis Syura Ulama itu.
Perlu diketahui bahawa sebarang keputusan Majlis Syura Ulama tidak dibuat atas konsiderasi politik atau kehendak mana-mana individu, tetapi sudah tentu merujuk kepada berbagai sumber hukum termasuk (sekiranya ada) untuk menolak Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri Pakatan Rakyat.Saya meramalkan En Azlan yang begitu diperlukan untuk membina imej bersih Anwar Ibrahim akan mengundang kekecohan. Saya tidak nampak En Azlan mempunyai daya ketahanan politik untuk menghadapi berbagai ragam dan laku manusia apa lagi beliau berada di kancah isu yang menjadi liabiliti kepada Anwar Ibrahim dan PKR serta Pakatan Rakyat amnya.Bagi Saiful Bukhari pula kemunculannya ditunggu-tunggu kerana dialah orangnya yang mengaku menjadi mangsa kebuasan seks Anwar Ibrahim.Beliaulah yang mengaku menjadi mangsa liwat Anwar Ibrahim yang setakat ini manusia yang dilabel sebagai peliwat itu tidak pernah mengenal erti penyesalan dengan apa yang telah dilakukan oleh beliau.
Masyarakat sudah tentu tidak dapat membuang daripada minda masing-masing mengenai gambar Saiful Bukhari dan di sebelahnya En Azlan yang menyaksikan acara sumpah laknat yang dilakukan oleh Saiful terhadap pengakuan bahawa beliau diliwat oleh Anwar Ibrahim.
Apakah sumpah laknat ini yang berlaku di depan mata En Azlan memungkinkan dia membuat “U-turn” Adakah baginya tidak ada alam akhirat untuk menerima pembalasan akhir walaupun ada kemungkinan mahkamah dunia tidak mensabitkan kesalahan orang yang kini disokong dan cuba dibersihkannya iaitu Anwar Ibrahim? Atau adakah hubungan darah ayah dan anak tidak membawa erti apa-apa hatta dari sudut kemanusiaan hingga seorang ayah tergamak merelakan anak kandung sendiri dihimpit keaiban sepanjang hidupnya sementara menunggu hukuman Allah di alam azali nanti?Akhirnya tindakan En Azlan jelas membawa angkara kepada dirinya dan angkara kepada Pakatan Rakyat itu sendiri. Menggunakan En Azlan sebagai umpan membersihkan Anwar Ibrahim bagi setengah pihak merupakan tindakan terdesak dan sia-sia.Rakyat khasnya para pengundi bukan ingin melihat kelicikan En Azlan tetapi rakyat Malaysia selama ini menunggu-nunggu sumpah laknat Anwar Ibrahim sendiri.Bukankah lebih mudah bersumpah laknat daripada menggunakan pelakon yang mungkin berbayar yang mempunyai latar belakang yang boleh menimbulkan banyak persoalan seperti En Azlan? Adakah episod En Azlan ini akan menjadi salah satu penyebab kepada kecundangnya Pakatan Rakyat dalam PRU ke 13 nanti?
YB DATO DR HASAN MOHAMED ALI
Presiden JATI Malaysia
Taman Tun Dr Ismail, KL
11 MAC 2013
No comments:
Post a Comment