Social Icons

Pages

Sunday, October 10, 2010

CALON BN GALAS : TENGKU RAZALEIGH UMUM PENDIRIAN ESOK!!!



Tengku Razaleigh Hamzah akan mengumumkan pendiriannya esok sama ada menerima atau menolak cadangan menjadi calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas.

Ketika ditemui pemberita sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dari London, beliau berkata, perkara itu hanya akan diputuskan oleh beliau selepas berbincang dengan Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Mengenai dakwaan Pas bahawa beliau akan merendahkan martabatnya sekiranya menerima cadangan untuk menjadi calon, Tengku Razaleigh berkata, itu hanya pandangan parti tersebut.

Jelasnya, beliau menghormati pandangan parti pembangkang itu tetapi pada masa yang sama pandangan UMNO (mencadangkan beliau sebagai calon) juga perlu dihormati oleh Pas.

“Perkara itu (soal calon) tidak berbangkit sebab kita tidak bermesyuarat lagi dan tunggu selepas mesyuarat pada Isnin ini,” katanya.

Hadir menyambut beliau di KLIA ialah Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Timbalan Presiden UMNO berkata, Tengku Razaleigh adalah calon paling layak bertanding pada pilihan raya kecil itu kerana kewibawaan beliau khususnya di Gua Musang dan nasional.

Kerusi DUN Galas kosong berikutan kematian penyandangnya, Chek Hashim Sulaima, 46, daripada Pas akibat barah paru-paru pada 27 September lalu.

Dalam pada itu, Tengku Razaleigh berkata, beliau menerima pelantikannya sebagai Pengarah Pilihan Raya BN bagi Pilihan Raya Kecil DUN tersebut.

Menurutnya, beliau menerima pelantikan itu atas rasa tanggungjawab sebagai ahli UMNO, Ketua UMNO Bahagian Gua Musang selama hampir 50 tahun dan ahli Parlimen kawasan tersebut.

Mengenai isu royalti minyak yang cuba diputarbelitkan Pas semasa kempen pilihan raya itu nanti, beliau berkata, ia tidak wajar dibangkitkan kerana kerajaan Pas sudah membawa kes itu ke mahkamah.

“Ia isu nasional dan apabila isu itu sudah dibawa ke mahkamah, ia jadi subjudis.

“Saya tidak akan beralah kerana sebagai ahli UMNO saya akan bertegas demi perjuangan bagi pihak rakyat Kelantan khususnya Hulu Kelantan di Gua Musang,” katanya.

Ditanya mengenai keyakinan Pas untuk mempertahankan kerusi DUN itu, beliau berkata: “Kita tengok pada 4 November nanti (hari pengundian).”



POST BY WAYNE...

No comments:

 
 
Blogger Templates