Social Icons

Pages

Friday, April 01, 2011

KAMPUNG WIFI DI SARAWAK TELAH MENCAPAI SASARAN !!!






Hamdi Najdi yang mengajar di Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Bahagia Jaya,Jalan Teku,Sibu percaya beliau sudah mampu meningkatkan keberkesanan pengajaran dan pembelajaran dalam kelas sejak tahun lepas.Ini disebabkan sekolah itu yang mempunyai kira-kira 500 pelajar dan 40 guru sudah menikmati perkhidmatan jalur lebar tanpa wayar atau ‘wireless-fidelity’ (WiFi) yang dilancarkan di kampung itu Mei tahun lalu.

BERNAMA Melaporkan Penolong Hal Ehwal Murid SK Kampung Bahagia Jaya itu berkata sejak pelancaran Kampung Tanpa Wayar (dulu dikenali sebagai Kampung WiFi) di kawasan itu,guru dan pelajar di sekolah tersebut kini boleh mengakses Internet dengan mudah.Perkhidmatan WiFi itu disediakan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) melalui inisiatif awam-swasta yang membawa bersama kepakaran syarikat Pernec Paypoint Sdn Bhd.Dengan perkhidmatan WiFi yang disediakan, Hamdi berkata guru-guru boleh mengakses aplikasi Educational Management Information System (EMIS) secara dalam talian (online) yang membolehkan pengisian data secara elektronik.

“Kini, semua maklumat hanya di hujung jari. Para guru di sekolah ini boleh mencari maklumat, mengikuti perkembangan semasa bidang pendidikan dan mendapatkan bahan bantu mengajar bagi meningkatkan prestasi pelajar-pelajar di sekolah ini.Selain itu, projek ini dapat menyediakan kemudahan Internet dan ICT kepada penduduk setempat untuk dinikmati bersama,” katanya.

Kampung Bahagia Jaya yang mempunyai kira-kira 5,000 penduduk merupakan Kampung Tanpa Wayar pertama di Sarawak yang dilancarkan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim pada Mei lalu.Projek berkenaan membolehkan penduduk kampung mendapat capaian Internet dengan kos yang rendah dan laju.Sekolah berkenaan mendapat perkhidmatan terbaik daripada sistem jalur lebar kerana alat antena WiFi diletakkan di atas bumbung sekolah.Mereka dapat mengakses jalur lebar dengan kelajuan sehingga 4Mbps dalam lingkungan jarak sekitar radius 50 meter.

Sementara itu,Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru sekolah itu,Jamilah Dolah berkata projek Kampung Tanpa Wayar telah mendapat sambutan yang menggalakkan daripada generasi muda di sini.Sehubungan itu,beliau berkata PIBG SK Kampung Bahagia Jaya bercadang untuk membina sebuah pondok WiFi dalam lingkungan jarak liputan untuk membolehkan penduduk kampung mengakses perkhidmatan dalam keadaan lebih selesa.

“Disebabkan lingkungan jarak WiFi terhad, ramai penduduk kampung akan berkumpul di depan pagar sekolah pada lewat petang dan malam untuk menikmati perkhidamtan WiFi itu”.

Jamilah memohon agar SKMM memperluaskan dan meningkatkan keupayaan liputan WiFi supaya lebih ramai dapat menikmati kemudahan tersebut.Selain Kampung Bahagian Jaya, empat projek serupa dilaksanakan di Sarawak – Rumah Panjang Guntol dan Rumah Changgan di Julau,Kampung Bunga Raya dan di Nanga Mendamit di Limbang.Kampung Tanpa Wayar merupakan usaha kerajaan membentuk masyarakat berilmu dan melahirkan generasi digital di Sarawak dan untuk merapatkan jurang digital antara penduduk bandar dan luar bandar di negeri ini.

Selain itu,projek ini membolehkan penduduk,khususnya di luar bandar menikmati kemudahan ICT untuk menceburi kegiatan ekonomi, menjana pendapatan dan meningkatkan kualiti hidup mereka.Pelaksanaan Kampung Tanpa Wayar merupakan salah satu inisiatif di bawah Jalur Lebar Nasional (NBI) untuk memberi lonjakan kepada kadar penembusan jalur lebar di negeri Sarawak yang besar dan luas menjelang hujung tahun ini.

Minggu lalu, di Kuala Klawang, Negeri Sembilan,Datuk Seri Dr Rais Yatim berkata kerajaan akan menyegerakan penyaluran projek Kampung Tanpa Wayar ke seluruh negara berikutan projek tersebut mendapat sambutan menggalakkan sejak dilancarkan tahun lalu.SKMM diberi mandat supaya menyegerakan projek Kampung Tanpa Wayar ke seluruh negara dalam konteks kerjasama dengan syarikat-syarikat telekomunikasi.Timbalan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Joseph Salang Gandum berkata kadar penembusan jalur lebar Malaysia mencapai 57 peratus pada awal bulan ini dan dijangka mencapai 60 peratus pada akhir tahun ini.

No comments:

 
 
Blogger Templates