Social Icons

Pages

Monday, January 23, 2012

HOT NEWS !!! PEMECATAN HASAN ALI KERANA AGENDA TERSEMBUNYI PAKATAN HARAM ???


PERTEMUAN dengan bekas Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr. Hasan Ali di kediamannya Khamis lalu,selepas 12 hari dipecat keahlian Pas dan tujuh hari digugurkan jawatan Pengerusi Hal Ehwal Agama, Adat-adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam Selangor berlangsung dalam keadaan tenang dan santai.Sebagaimana mood pertemuan hari itu,begitu jugalah perasaan Hasan apabila diajukan pertanyaan sama ada kedua-dua peristiwa itu memberi kesan kepadanya.Sambil mengucapkan syukur kepada Allah SWT, beliau berkata,dua episod yang datang mendadak itu tidak menjejaskan kehidupan hariannya, fizikalnya serta daya pemikirannya.

‘‘Dari segi emosi saya dan ahli keluarga dapat menerima keputusan pemecatan ini dengan tabah. Dari segi spiritualnya pula episod ini menjadikan diri saya bertambah kerdil di hadapan Allah. Saya bersyukur segala-galanya berjalan lancar. Tidur saya tidak terganggu dan makan minum seperti biasa,’’ katanya.

Apa yang lebih penting baginya,walaupun tidak lagi menggalas sebarang jawatan beliau tetap akan memikul tanggungjawab sebagai khalifah Allah di muka bumi.

Ketika ditemu bual wartawan Mingguan Malaysia, MARHAINI KAMARUDDIN, SAIFULIZAM MOHAMAD serta jurufoto, ZAINI HUSIN,bekas pakar motivasi itu secara berterus terang bercakap tentang makhluk perosak di dalam Pas yang telah menggelincirkan parti itu daripada landasan perjuangannya.Hasan dengan penuh semangat menyatakan kesungguhan beliau untuk terus mempertahankan kepentingan Islam,Melayu dan institusi raja serta Perlembagaan.

Beliau juga sempat menitip pesan kepada teman-temannya yang masih aktif di dalam Pas agar bermuhasabah dan tidak membiarkan parti itu “belayar dalam kapal yang dikemudikan oleh juragan import dibantu anak kapal terdiri daripada parasit yang hanya mementingkan diri dan kelompok sendiri”.

Mingguan: Apakah pengguguran Datuk sebagai calon Pas bagi Pilihan Raya Umum 13 satu perancangan awal menyingkirkan Datuk daripada pentadbiran kerajaan negeri?

Hasan Ali: Saya semacam bersetuju dengan kenyataan itu. Mungkin ada perancangan untuk menyingkirkan saya daripada pentadbiran Kerajaan Selangor. Bagi saya itu tidak penting, yang penting ialah sebuah jemaah Islam seharusnya bertindak mengikut lunas-lunas ajaran Islam. Mereka yang terlibat patut lebih memahami tuntutan akhlak dalam mengurus jemaah Islam seperti Pas.

Pengumuman tentang pengguguran sebagai calon Pas yang terpapar di muka depan akhbar dan menjadi tajuk utama kebanyakan media baru pada hari sama saya menerima anugerah daripada Sultan Selangor, tidak selayaknya berlaku.

Tindakan itu semacam bertujuan menjatuhkan kredibiliti saya dan mempersoalkan anugerah yang diberikan. Saya tidak banyak memikirkan sama ada saya disingkirkan atau memang ada pihak yang merancang menyingkirkan saya. Tindakan menyingkirkan saya tidaklah begitu sukar untuk dilakukan. Tetapi untuk menidakkan prinsip perjuangan saya bagi mengagungkan Islam, memartabatkan bangsa Melayu serta mendaulatkan institusi raja dan Perlembagaan mungkin memerlukan masa, tenaga dan tumpuan yang lebih. Ini kerana dalam tempoh tiga tahun 10 bulan menjadi ahli Exco, gagasan itu telah mula meresapi minda dan lubuk hati umat Melayu di negeri ini.

Adakah pemecatan ini kerana Datuk mempertahankan orang Melayu,umat Islam dan institusi raja yang dilihat tidak sesuai dengan perjuangan pakatan pembangkang?

Hasan Ali: Sememangnya ia ada kaitan langsung dengan Islam, Melayu dan Raja (IMR) yang saya dan teman-teman perjuangkan. Ketiga-tiga agenda ini secara jelas tidak diperjuangkan oleh mana-mana parti dalam Pakatan Rakyat. Sebagai contoh menegakkan Negara Islam dan melaksanakan hudud sama sekali tidak dipersetujui oleh DAP dan PKR. Pas pula atas nama setiakawan dalam pakatan terpaksa menyembunyikan hasrat untuk melaksanakan perintah Allah SWT itu.

Apa yang saya dan teman-teman mahu agar Pas bertegas dalam prinsip perjuangan berkait dengan Islam, bangsa Melayu dan institusi raja dalam rangka hubungan dengan rakan pakatan. Saya tidak mahu perjuangan Islam Pas larut dan terbenam dalam keghairahan meraikan kehendak dan permintaan dua rakan kongsi itu.

Apa yang boleh Datuk tafsirkan apabila seorang Exco Selangor daripada DAP mengharapkan Selangor akan lebih baik tanpa Hasan Ali?

Hasan Ali: Saya rasa golongan yang paling gembira menyambut berita pemecatan saya sebagai ahli Pas dan pengguguran sebagai ahli Exco ialah DAP. Apa juga yang saya lakukan dalam lingkungan portfolio Hal Ehwal Islam dibantah oleh DAP atas nama hak asasi dan kebebasan individu. Sekarang DAP boleh berpesta bunga api dan membakar mercun hingga dinihari sebagai tanda kegembiraan meraikan pemergian Hasan Ali. Tidak ada siapa lagi yang akan mengganggu hal arak, judi, rumah urut, khalwat, zina, murtad dan sebagainya. Inilah saat yang ditunggu-tunggu oleh DAP, PKR dan sebahagian daripada pimpinan Pas sendiri.

Saya harap Menteri Besar yang kini bertanggungjawab terhadap Hal Ehwal Islam akan lebih berupaya melonjakkan Islam di negeri ini. Rakyat sedang memerhatikan sama ada Menteri Besar akan melakukan atau sebaliknya.



Apakah niat sebenar di sebalik pengguguran Datuk?

Hasan Ali: Usaha menjatuhkan saya bukan dibuat orang Pas sahaja. Pada pendapat saya, ketiga-tiga parti merancang, menstrategi dan melaksanakan skrip yang disediakan oleh pimpinan tertinggi pakatan. Tindakan memecat dan berikutnya menggugurkan saya daripada menjadi ahli Exco adalah hasil yang ditunggu-tunggu.

Merancang, menaik dan menjatuhkan seseorang adalah mainan dan lumrah politik tetapi untuk Pas terlibat menjatuhkan seorang pemimpin yang cuba mempertahankan prinsip perjuangan partinya adalah suatu tindakan yang sangat keji dan hina. Insya-Allah, mereka dan saya akan sama-sama berada di mahkamah Allah akhirnya.

Apakah ketiadaan Datuk membolehkan parti pembangkang meneruskan agenda memburu kuasa tanpa mempedulikan nasib orang Melayu, umat Islam dan institusi raja?

Hasan Ali: Matlamat mereka yang dipandu oleh Anwar Ibrahim, pemimpin agung mereka ialah Putrajaya. IMR agenda yang terlalu kecil bagi mereka. Atas matlamat ‘memperdanamenterikan’ Anwar, gerabak yang bergerak ke Putrajaya menghalalkan segala-galanya. Yang pelik orang Pas sendiri boleh termakan dengan gula-gula Anwar hingga sanggup menggugurkan landasan perjuangan. Negara Islam yang sama sekali tidak boleh diterima oleh DAP dan PKR terpaksa ditukar terminologinya menjadi Negara Berkebajikan. Bagi sesetengah pihak, apa alasan pun yang dikemukakan Negara Islam tetap Negara Islam. Negara Berkebajikan tidak boleh dijadikan galang ganti kepada Negara Islam.

Dalam konteks ini, saya dan teman-teman cuba meyakinkan barisan pimpinan supaya menoleh ke kiri dan kanan dalam misi ke Putrajaya. Pastinya terdapat penyokong-penyokong tegar yang mahukan bangsa Melayu dan institusi raja tidak dikesampingkan. Mereka tidak sekali-kali yakin bahawa tuntutan mereka dapat dirungkaikan setelah berjaya menawan Putrajaya. Sedangkan di peringkat negeri yang dikuasai tidak nampak tanda-tanda untuk melaksanakannya apatah lagi bila Putrajaya yang jauh lebih besar cakupannya menjadi milik mereka.





RENUNG-RENUNGKAN

3 comments:

Anonymous said...

Memang lah pemecatan hasan ali kerana dia PARASIT...Skang ni MB Khalid ambik alih Exco Agama..padan muka hasan ali dan umno...sebab menyukarkan mrk buat taik dlm pentadbiran MAIS..yg bising2 ni org umno saja sebab mrk sudah tidak dapat buat taik dlm pentadbiran MAIS...

kalau letak PAS dlm Exco agama, sudah pasti Hasan Ali Parasit akan terus buat taik sebab dia akan mengacau dr dalam...

Skang biar hasan ali melolong dan memekik ke hulu hilir...rupanya dia dan umno tdk boleh lg buat taik dlm MAIS...

itu yg sebenarnya...

bukan apa pun...parasit ni tak kan senang hati jika dendam dia tak terbalas...

Anonymous said...

jgn mem'politik'kan isu agama. 2 perkara yg berbeza & 2 perjuangan yg berbeza. Saya tertarik dengan pendekatan bekas mufti Perlis,MAZA yg mengatakan Islam wajib berada di atas kepartian politik, bukan sebaris atau dibawahnya.

Jadi, siapa juga exco agama di selangor, jika dia tidak menjalankan kewajipannya yang dipertanggungjawabkan keatas dirinya, balasan setimpal keatasnya kelak.

Seumpana menjadi iman,bukan semua dr kita penuh keyakinan untuk menerima tanggungjawabnya.

Jadi, bezakan isu politik dengan isu agama. Pendirian kita harus jelas dan telus.

Bagi saya, Hassan Ali melakukan sesuatu yg tidak pernah dilakukan oleh mana2 exco agama Islam dinegeri2 lain sebelumnya....dan saya ucapkan alhamdulillah,pendiriannya tetap & jelas....coma,tiap sesuatu yg baik mmg penuh cabaran,dugaan & rintangannya....

Wassalam

Anonymous said...

Aku bekas orang PAS memang dah meluat dengan karenah lebih pentingkan Anwar dari kesucian Islam itu sendiri. Aku tobat tak mahu jadi pengikut Abu Jahal dan Abu Lahab. Aku minta ahli PAS yang lain tolong sedar akan perjuangan yang dah tersasar jauh dari matlamat sebenar. Aku sayangkan Islam dan aku sayangkan Selangor. Aku berharap juga orang Kelantan dapat membuat perubahan yang serupa.

 
 
Blogger Templates