Isu berkaitan dengan penggunting/pendandan rambut wanita tidak dibenarkan memotong/mendandan rambut lelaki termasuk yang bukan Islam telah diulas beberapa hari yang lalu. Perkembangan terkini terhadap isu itu menjadikan ianya perlu diberikan satu ulasan yang lain supaya masyarakat dapat melihat isu ini dari perspektif yang lebih seimbang.Seperti yang telah diulaskan,tindakan penguatkuasaan yang diambil oleh MPKB sudah berlanjutan buat sekian lamanya sejak 1991.Sebahagian daripada pengusaha kedai salon telah diberi kompaun beberapa kali namun mereka meneruskan perniagaan seperti biasa.Hanya yang terakhir apabila Pengerusi DAP Karpal Singh campurtangan menyebabkan isu ini tertonjol dan menjadi hangat. Amaran dan gesaan Karpal Singh mengenai isu ini menyebabkan Jawatankuasa PAS Pusat secara tergesa-gesa mengambil tindakan meminta MPKB mengkaji semula tindakan penguatkuasaan yang diambil oleh mereka.
Dalam keadaan biasa “mengkaji semula” selalunya membawa implikasi membatalkan atau menarik balik sesuatu tindakan yang telah diambil.Apa yang hendak ditimbulkan disini bukan soal penguatkuasaan peraturan seperti yang terdapat dalam enakmen yang telah berkuatkuasa sejak sekian lamanya. Tetapi lebih kepada soal tentangan dan halangan terhadap peraturan itu yang datangnya daripada DAP rakan politik PAS dalam Pakatan Rakyat.Sebenarnya peraturan yang dikuatkuasakan oleh MPKB itu bukan merupakan peraturan yang termasuk dalam peraturan/enakmen yang berkait langsung dengan Islam.Hanya ada tergambar roh Islam dalam peraturan yang telah dilaksanakan. Peraturan sedemikian buat sekelian lamanya terutama dalam konteks Kelantan dikatakan tidak menimbulkan masalah dan tidak pernah menjadi satu isu yang digembar gemburkan.
Tindakan Karpal Singh menggambarkan bahawa DAP tidak sekali-kali bersedia menerima apa sahaja peraturan yang berbaur, berwarna atau mempunyai roh Islam. Jelas kelihatan betapa antinya DAP terhadap Islam sehingga hal-hal yang diterima baik oleh rakyat dari segi akhlaknya disanggah dan dinafikan kebaikannya semata-mata kerana terdapat unsur-unsur atau nilai-nilai keIslaman didalamnya.
Setengah pihak menganggap dalam hal yang dikatakan remeh seperti ini pun tidak dapat diterima baik oleh DAP apa lagi dalam hal-hal besar seperti melaksanakan Hudud dan Negara Islam yang PAS berjanji akan merealisasikannya apabila Pakatan Rakyat berjaya menawan Putrajaya.
Masyarakat Islam samada yang menjadi ahli atau penyokong PAS atau tidak sudah tentu merasa terhina dengan tindakan biadap DAP yang sering menggunakan Karpal Singh, Pengerusi parti itu menjadi jurucakap anti Islam mereka.Masyarakat Islam juga merasa amat kecewa dengan pimpinan tertinggi PAS yang kelihatan menggelabah bila disergah oleh Karpal Singh. Tanpa berfikir panjang dan menilai implikasi bentuk tindakan yang akan diambil pimpinan tertinggi PAS dilihat terus mundur kebelakang. Mereka akur dengan kemahuan dan niat jahat terhadap Islam yang menjadi amalan parti rasis, cauvanis dan anti Islam itu.Dari pandangan kasar bersandarkan kepada beberapa rentetan isu, masyarakat Islam harus berfikir panjang samada patut memberi sokongan kepada PAS dan Pakatan Rakyat atau sebaliknya mencari satu alternatif dan kaedah baru yang memungkinkan mereka dan generasi pengganti melihat Islam dimartabat dan diagungkan.
Datuk Dr Hasan Ali
Presiden Jalur Tiga (Jati)
RENUNG-RENUNGKAN
No comments:
Post a Comment