Saya tertarik dengan kenyataan Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang mendesak diberi ruang selama satu jam bersiaran secara langsung untuk memberikan penjelasan mengenai isu Amanat Haji Hadi yang mencetuskan kontroversi berikutan pendedahan pengikut taksub dan ahli seumur hidup Pas,CN Al-Afghani melalui bukunya Kafirkah Aku!.Desakan Abdul Hadi turut disokong oleh Datuk Seri Nik Abdul Aziz Nik Mat yang menyandarkan hujahnya kepada hukum Islam yang mewajibkan semua pihak diberi hak bersuara dan membela diri.Saya tidak menafikan syariat Islam mewajibkan mana-mana pihak diberi hak membela diri dan bersuara dalam mana-mana isu yang membabitkan dirinya.Malah hak asasi kemanusiaan juga menuntut seseorang diberi hak membela diri dan hak bersuara.Apa yang saya pertikaikan ialah amalan politik dua alam,cakap tak serupa bikin dan demokrasi hipokrit amalan pembangkang.Contohnya,mengapa semasa Pas membat keputusan memecat Datuk Dr. Hasan Ali,beliau langsung tidak diberi hak membela diri dan hak bersuara.Malah,Hasan Ali langsung tidak diberi notis tunjuk sebab atau alasan tindakan memecat akan diambil terhadap beliau.Sehingga hari ini Hasan Ali tidak tahu apa sebab beliau dipecat! Mana suara Nik Aziz atau Abdul Hadi semasa itu.Bukan sahaja mereka tidak memberi hak bersuara itu kepada Hasan Ali,malah mereka turut bersekongkol dalam tindakan memecat Hasan Ali tanpa diberi sebab, tak diberi hak bela diri, tak diberi hak bersuara, malah tak diberi notis!
Tetapi bila terkena batang hidung sendiri, dengan segera segala ayat al-Quran dan hadis serta hukum Islam dicedok dan digali untuk melapik tuntutan serta desakan mereka!
Ini pada saya adalah amalan politik jijik dan kotor kerana mempergunakan syariat Islam hanya untuk kepentingan politik peribadi!
Kedua,Abdul Hadi perlu ingat,beliau ada ruang di Harakah dan media-media portal pembangkang yang lain untuk memberi penjelasan.Apatah lagi dengan dunia Internet,beliau boleh merakam sendiri penjelasannya dan disiarkan tanpa tapis di Youtube dan media lain.Malah beliau boleh buat rakaman dalam bentuk CD/DVD dan disebarkan kepada orang ramai.Dalam keadaan ruang cukup luas yang ada untuk beliau memberikan penjelasan,Abdul Hadi memilih untuk mendesak satu jam siaran langsung di RTM! Tidakkah ini menimbulkan keraguan tentang niat sebenar beliau?
Selanjutnya,Abdul Hadi perlu ingat yang membongkar dan mencetuskan isu kesan Amanat Haji Hadi 1981 itu ialah seorang pengikut taksub dan bekas ahli seumur hidup Pas.CN Al-Afghani bukan calang-calang orang.Beliau pernah duduk dipimpinan Pemuda Pas Negeri. Malah Naqib usrah beliau ialah arwah Ustaz Fadzil Mohd Noor, bekas Presiden Pas! Beliau juga pejuang mujahidin di Afghanistan dan Kashmir.Malah beliau pembela balu syuhada Memali dan tinggal bersama mereka! Dan beliau pernah ditahan ISA kerana menjadi Ketua Kumpulan Mujahidin Malaysia (KMM)!
Beliau yang membongkar kesan Amanat Haji Hadi 1981 melalui bukunya Kafirkah Aku!.Beliau turut menceritakan bagaimana beliau sendiri menjadi begitu taksub dengan Amanat Haji Hadi itu sehingga mengkafirkan ahli keluarganya sendiri yang menjadi ahli atau penyokong UMNO!
Berikutan pendedahan beliau, ramai lagi pengikut taksub Pas yang terpengaruh dengan Amanat Haji Hadi tampil ke depan mendedahkan bagaimana mereka melalui kehidupan yang sangat menyesatkan akibat amanat itu.Kita dengar mereka menceritakan tentang nikah kali kedua, sembelihan keluarga sendiri daripada kalangan UMNO dianggap bangkai, ada imam yang enggan solatkan jenazah umat Islam daripada UMNO,solat dua imam, boikot masjid dan macam-macam onak mehnah akibat Amanat Haji Hadi.
Jadi pada saya,Abdul Hadi tidak perlu beri penjelasan kepada umat Islam berbangsa Melayu dan rakyat Malaysia. Kami semua sudah faham bahawa amanat itu sesat dan bercanggah dengan akidah/ syariat Islam. Malah para ulama, mufti dan ahli agama telah memberikan fatwa dan pendapat yang jelas membuktikan Amanat Haji Hadi itu sesat dan bercanggah dengan syariat Islam.
Jadi umat Islam bangsa Melayu serta rakyat Malaysia tidak perlu dengar dan faham penjelasan Abdul Hadi kerana kami sudah tahu. Malah kami tidak pernah mengikut pun Amanat Haji Hadi itu.Yang perlu tahu dan yang perlukan penjelasan ialah para pengikut taksub Pas dan Abdul Hadi yang sehingga ke hari ini tidak menyedari tentang kesesatan Amanat Haji Hadi tersebut.Sehingga hari ini ada yang masih mengkafirkan saudara seagama dan sama akidah hanya kerana amanat itu. Malah semasa berbual dengan beberapa sahabat daripada Baling, mereka menyatakan kerisauan tentang status 'mati syahid' Allahyarham Ustaz Ibrahim Libya dan 13 orang lain yang mati terbunuh dalam Peristiwa Memali.
Kalau Amanat Haji Hadi itu tidak betul, bagaimana keadaan jenazah mereka yang tidak dimandi dan dikafankan! Terus dikuburkan dalam keadaan berlumuran darah kerana dikatakan mati syahid. Malah empat anggota polis yang satu akidah turut dibunuh kononnya halal kerana 'Polis UMNO'! Apa nasib mereka ini semua?
Kepada mereka ini yang Abdul Hadi wajib berikan penjelasan. Mereka mahu tahu benarkah UMNO kafir kerana kononnya mengekalkan dan melaksanakan Perlembagaan,undang-undang dan peraturan kafir serta jahiliyah!
Kalau begitu kedudukannya, mereka mahu tahu mengapa pada 18 Januari 2003,Abdul Hadi membuat 'Amanat Hadi' yang menyatakan peruntukan mengenai Islam cukup seperti dalam Perlembagaan!
Mereka juga mahu tahu kenapa perjuangan negara Islam dibuang, diganti dengan negara kebajikan!
Mereka mahu tahu benarkah negara Islam tiada dalam al-Quran? Kalau benar, mengapa Abdul Hadi melancarkan Dokumen Negara Islam pada tahun 2004?
Mereka mahu tahu apa kedudukan Dokumen Negara Islam yang digubal oleh Timbalan Mursyidul Am Pas, Datuk Dr. Haron Din? Apakah Dokumen Negara Islam itu kini bercanggah dengan al-Quran memandangkan Negara Islam rupanya tiada dalam kitab suci itu?
Mereka juga mahu tahu adakah Mesir yang masih mengekalkan undang-undang penjajah walaupun diperintah oleh Presiden Mursi daripada Ikhwanul Muslimin juga adalah negara kafir?
Kalau Mesir masih kafir, bagaimana kelulusan dan ijazah Abdul Hadi dan ramai ustaz dalam Pas yang mendapatnya daripada Mesir? Adakah kelulusan dan ijazah mereka tidak mengikut syariat kerana dikeluarkan oleh negara kafir? Mereka juga mahu tahu adakah Turki juga kafir kerana bukan sahaja mengekalkan undang-undang penjajah, tetapi meneruskan status sekularisme mereka walaupun kini diperintah oleh Reccep Tayyib Erdogan daripada Parti AKP!
Mereka juga mahu tahu adakah Indonesia, negara umat Islam terbesar di dunia kafir kerana masih mengekalkan undang-undang penjajah Belanda dan meletakkan Pancasila sebagai prinsip rukun negara Indonesia! Malah amalan homoseks bukan kesalahan jenayah di Indonesia! Apakah Indonesia kafir?
Kalau mengambil Amanat Haji Hadi sebagai kayu pengukur, maka Mesir, Turki dan Indonesia adalah negara kafir, dan kerajaannya kafir kerana masih mengekalkan Perlembagaan, undang-undang dan peraturan penjajah!
Kalau Mesir, Turki dan Indonesia tidak kafir, mereka mahu tahu mengapa Malaysia dan kerajaannya kafir?
Sebenarnya banyak persoalan yang pengikut taksub dan ahli serta penyokong Pas mahu tahu. Bukan kepada umat Melayu-Islam di Malaysia sebab kami sudah tahu dan kami memang menolak Amanat Haji Hadi.
Jadi tidak perlu Abdul Hadi memberi penjelasan melalui RTM, TV3 atau Utusan Malaysia.
Cukup kalau Abdul Hadi memberi penjelasan melalui Harakah dan media pembangkang, juga melalui Youtube dan media alternatif yang lain.
Awang Hadi juga boleh kerahkan semua ahli, penyokong dan pengikut taksub Pas mengadakan perhimpunan besar di Stadium Kota Bharu, Kelantan untuk tujuan itu.Kalau perlukan bantuan,Abdul Hadi boleh minta bantuan Ambiga Sreenavasan untuk menganjurkan perhimpunan tersebut.Boleh begitu Datuk Seri Abdul Hadi Awang?
Oleh Datuk Zulkifli Noordin
Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu
3 comments:
Mane Ulamak2 PAS yang belajar di Mesir nih..... sila2 bagi pendapat. Jangan jadi syaitan bisu.
Setuju, point yg tepat. Hj Hadi tak perlu menghuraikan amanat beliau kepada rakyat malaysia tetapi hanya kepada pengikut pas sahaja kerana amanat beliau tidak digunapakai oleh rakyat malaysia yg bkn pas.
mana ko nak lari hadi, jawab jangan tak jawab, sesat dihujung jalan, kembalilah kepangkal jalan, selagi nyawa belum sampai kekerongkong, selagi itulah pintu taubat masih terbuka.
Post a Comment