Social Icons

Pages

Monday, July 08, 2013

EKSKLUSIF !!! MEMAKSA DEMOKRASI LIBERAL ADALAH JALAN MENUJU KEHANCURAN ??? WAJIB BACA !!!


Setelah dunia menyaksikan begitu banyak pergolakan dan pertumpahan darah,kudeta di Mesir memberikan kita petunjuk baharu.Jelas,bagi negara membangun dan mempunyai kepelbagaian termasuk juga Malaysia belum bersedia untuk melaksanakan demokrasi liberal acuan Barat itu.Setakat ini,asakan bahkan paksaan terhadap nilai-nilai liberal di kebanyakan negara lebih banyak mendatangkan mudarat dan memburukkan lagi keadaan.Hak bersuara,hak berdemonstrasi dan hak asasi manusia yang dianggap nilai-nilai universal yang mesti dijunjung hanya manis di mulut Masing-masing hanya mahu memanipulasi nilai-nilai itu untuk kepentingan tertentu dan tidak berani melaksanakannya dengan sepenuh hati.Mereka hanya pandai mendesak orang lain melaksanakannya tetapi diri sendiri bersikap diktator. Ada parti politik yang katanya demokratik tetapi rungutan ahli-ahlinya tidak dipedulikan.Ahli-ahli yang tidak sehaluan dinafikan hak untuk menghadiri mesyuarat dan seterusnya memilih kepimpinan.Ahli-ahli yang tidak sependapat ini bahkan cuba disingkirkan melalui strategi licik yang langsung tidak mencerminkan nilai-nilai demokrasi.Ada pemimpin parti politik pula mencipta jawatan baharu bagi membolehkan dirinya berfungsi sebagai ketua.Ketua yang dilantik melalui proses demokrasi hanya menjalankan tugas-tugas administratif.Kedudukan ketua yang dipilih tak ubah seperti boneka.Parti ini katanya menentang kronisme tapi ahli keluarga dan sekutunya sahaja yang dilihat mendapat agihan kuasa.Dan,yang masih menjadi penyakit lazim parti politik yang sukar diubati ialah pertandingan akan menyebabkan perpecahan.

Pertandingan memilih kepimpinan secara terbuka belum menjadi elemen penting untuk menyuburkan parti tetapi sebaliknya menjadi medan pergaduhan berpanjangan sesama ahli.Tidak sedikit yang merajuk,membawa diri dan memberontak.Pertandingan dalam parti yang sepatutnya menjadi medan memilih pemimpin terbaik dalam kalangan yang terbaik menjadi satu ketakutan.Akhirnya banyak parti yang memilih untuk menunda atau mengelak pemilihan bagi memastikan tidak berlaku pergaduhan sesama sendiri.Yang lebih jelas,ahli politik kita begitu miskin sikap budiman.Yang kalah akan menjadi seteru seumur hidup,dinafikan segala haknya.Yang menang berasakan mereka sahaja yang benar dan menggunakan segala kuasa untuk memusnahkan lawannya yang kalah sedangkan mereka sebenarnya adalah dalam acuan sama, satu keluarga.Selagi ahli politik tidak mengubah sikap mereka, selagi itu demokrasi liberal yang diagung-agungkan menjunjung nilai-nilai sejagat itu tidak dapat dilaksanakan.Mereka yang mendabik dada kononnya mengamalkan nilai-nilai itu hanya temberang sahaja.

Perang 

Benarlah seperti kata bijak pandai perang terbesar ialah perang melawan diri sendiri.Perang melawan ketamakan kuasa dan perang melawan kepentingan diri.Jika ahli politik tidak membetulkan keadaan ini dalam partinya sendiri,usaha untuk melihat segala keterbukaan itu hanya sia-sia sahaja. Lebih mendukacitakan yang jarang-jarang berlaku dalam demokrasi liberal Barat ialah yang kalah tidak mahu mengakui kekalahannya terutama di peringkat nasional dalam pilihan raya umum.Ada sahaja alasan digunakan untuk menghalalkan perbuatan tidak budiman itu seperti yang berlaku di Mesir.Pergolakan di Mesir yang kini sedang memasuki episod paling kelam dalam sejarah demokrasi negara berpenduduk 80 juta itu sebenarnya hampir-hampir berlaku di Malaysia.Mujurlah kebijaksanaan kerajaan dan pihak-pihak yang berpengaruh menggagalkan segala cubaan menjatuhkan kerajaan melalui demokrasi jalanan.Setelah setahun lalu Presiden Hosni Mubarak ditumbangkan melalui pilihan raya yang diadakan hasil desakan demonstrasi jalanan,kali ini kerajaan Presiden Mohammed Mursi yang sah,dijatuhkan melalui kuasa ketenteraan.Sekali lagi dengan dalih membela rakyat,Mesir terpaksa melalui demonstrasi jalanan yang tidak diketahui bila sudahnya.Dalam masa singkat,Mesir akan bermandi darah lagi.Yang lebih membimbangkan sebenarnya,perang saudara di Mesir kini tinggal menunggu waktu sahaja.Episod hitam di Mesir ini berlaku kerana satu alasan utama iaitu tidak mahu menerima kekalahan.Pada pilihan raya Jun 2012,Mursi diisytiharkan menang tipis kepada pencabarnya,Ahmeh Shafiq dengan majoriti 51.7 peratus undi. Mursi memperolehi 13,230,131 undi manakala Shafiq pula meraih 12,347,380 undi. 

Mursi yang didukung oleh Ikhwanul Muslimin tidak disukai kumpulan moderat dan sekular. Alasan untuk menjatuhkan Mursi seperti diada-adakan - gagal membawa perubahan menyeluruh. Persoalannya mampukah sesiapa pun pengganti Mursi kelak membawa perubahan menyeluruh kerana tentunya akan mendapat tentangan keras daripada kelompok pro Islam? Rakyat Mesir sebenarnya belum bersedia untuk menerima keterbukaan yang sebegitu luas yang dibawa oleh demokrasi liberal itu.Mereka tidak menghormati pilihan majoriti, sanggup melakukan kudeta malah sehinggakan darah tertumpah.Mereka memilih sistem ke depan seperti di Barat tetapi masalahnya mentaliti masih terkebelakang. Mengambil kira semua perkembangan itu, Malaysia adalah termasuk dalam kalangan negara yang belum sesuai untuk melaksanakan demokrasi liberal.Ditambah dengan kepelbagaian latar belakang penduduknya, Malaysia sebaliknya masih sangat memerlukan demokrasi terpimpin.Memanglah sebagaimana Mesir dan negara Arab serta Afrika lainnya, gerakan-gerakan liberalisme akan terus mengasak bahkan memaksakan nilai-nilai itu dari segenap arah dan cara bagi melemahkan amalan demokrasi terpimpin yang ada.Sebab itu ke depan dengan cabaran-cabaran baharu,kita memerlukan pemimpin yang kuat dan mampu melaksanakan demokrasi yang lebih terpimpin.Jika tidak,kita juga akan menyaksikan pergolakan di Mesir bakal berlaku di Malaysia dalam waktu mendatang.

Oleh Zulkefli Hamzah

RENUNG-RENUNGKAN

No comments:

 
 
Blogger Templates