Sepatutnya tidak perlu berlaku kekalutan besar sepanjang tempoh berkempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Besut. Faktor-faktor mengenai kekuatan Barisan Nasional (BN) yang sedia ada,kesedaran pengundi tempatan terhadap kemajuan Kuala Besut (yang sudah dinikmati dan dalam perancangan) serta penghayatan umum khususnya pengundi Melayu (lebih 90%) terhadap senario politik semasa adalah antara sebab kenapa 'perang PRK' tidak perlu berlaku.Ada juga faktor-faktor luaran yang membabitkan imej pembangkang sejak akhir-akhir ini turut tidak mewajarkan Pas beriya-iya 'menentang hebat' calon BN kerana ia hanya dilihat membuang masa serta merugikan belanja pilihan raya (memetik kenyataan Timbalan Pengarah PRK Kuala Besut Datuk Seri Idris Jusoh).Lainlah kalau Pas hanya kemaruk besar untuk memerintah Terengganu.Majoriti besar yang diperoleh calon BN Allahyarham Dr. A Rahman Mokhtar pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) lalu (2,434 undi) berkemungkinan besar berupaya mengekalkan kerusi BN berkenaan.Jika sekadar untuk mengurangkan jumlah majoriti,ia tidak membawa makna kerana Terengganu akan terus diperintah BN.Ia tidak banyak memberi impak negatif kepada BN.Sebaliknya jangan pula terperanjat jika BN berjaya meraih majoriti lebih besar atas beberapa faktor jelas.
Misalnya dari lapan Pusat Daerah Mengundi (PDM),hanya PDM Kampung Nangka dan Bukit Puteri yang dimenangi Pas pada PRU-13 lalu.Itu pun angkanya tidak sebesar mana.Di Kampung Nangka misalnya,Pas hanya menang dengan kelebihan 79 undi manakala di PDM Bukit Puteri Pas menang dengan kelebihan 90 undi.Punca kelebihan undi Pas di Bukit Puteri dikatakan ramai yang mengundi calon mereka ketika itu,Napisah Ismail,atas nama sokongan untuk 'orang sekampung' dan 'sekeluarga' di sekitar kampung berkenaan.Sehinggakan ada orang UMNO turut mengundi beliau.Namun keadaan demikian dikatakan tidak akan berlaku pada PRK kali ini.Ketaranya kerana Napisah tidak lagi terpilih menjadi calon.Tambahan pula semasa Napisah bertanding baru-baru ini,calon Pas sekarang,Endut@Azlan Yusoff atau dikenali juga sebagai Che Long kontraktor dikatakan tidak 'berjuang bersama' untuk memenangkan Napisah.Che Long kontraktor sebaliknya sibuk membantu Datuk Husam Musa di Putrajaya.Husam dikatakan sahabat karib Che Long sejak sekian lama. Maklumlah jarak antara Kuala Besut dengan Kota Bharu bukanlah jauh sangat.Jadi dengan pelantikan Husam sebagai Pengarah PRK Kuala Besut memang 'tepat' iaitu sebagai 'balas besan rakan seperjuangan'.
Orang Bukit Puteri tentunya mudah membaca 'situasi' berkenaan.Sukar untuk memperlekeh calon BN.Ternyata latar belakangnya istimewa.Anak muda yang bernama Tengku Zaihan Che Ku Abdul Rahman ini peramah dan berimej 'energetik'.Baru berusia 37 tahun dan berbintang cerah untuk melangkah jauh lebih dalam bidang politik jika menang dalam PRK kali ini.Ertinya dia bakal menjadi satu aset politik Besut masa hadapan.Betulkah Tengku Zaihan kurang dikenali pengundi Kuala Besut.Tentunya jangkaan yang dicetuskan Pas ini meleset.Sebaliknya semakin ramai yang menerima beliau sebagai orang muda yang senang mendekati dan memahami keperluan masyarakat.Sentiasa turun ke sana ke sini dan nyata mereka semakin yakin Tengku Zaihan mampu memberi perkhidmatan terbaik kepada mereka.Tengku Zaihan mengorbankan jawatannya yang sudah kukuh di Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Besut.Jawatannya sebagai jurutera dengan cara kerja yang berprestasi tinggi cukup memberi potensi besar untuk beliau terus berjaya dalam kerjayanya di sektor awam.Namun bukan setakat itu yang dicari oleh jurutera muda ini.Beliau mahu menabur khidmat bakti dalam erti kata lebih luas kepada masyarakat Kuala Besut.Orang Kuala Besut tahu Tengku Zaihan telah berperanan besar dalam membina tebing konkrit bagi mengelak hakisan pantai yang mengancam nelayan dan harta benda semasa beliau di JPS dahulu.Tengku Zaihan berazam melaksanakan tugas dengan cemerlang kepada rakyat jika diberi mandat.
Tidak pernah pula beliau menyatakan kemungkinan meletakkan 'wakil' kepada wakil rakyat untuk berkhidmat atau melayan keperluan rakyat.Tidak tergambar juga Tengku Zaihan bercadang menjadikan gelaran 'YB' sebagai tiket untuk meraut kekayaan melalui tender-tender kerajaan.Tengku Zaihan sebaliknya menyatakan keazaman untuk menyambung usaha Allahyarham Dr. A Rahman Mokhtar yang masih belum selesai.Ia termasuk mendalamkan muara Sungai Besut,menyelesai masalah penempatan penduduk,terus melaksanakan Rancangan Kawasan Khas (RKK) Kuala Besut dan merancang untuk meningkatkan ekonomi penduduk Kuala Besut,memajukan daerah Besut selain menyediakan banyak peluang pekerjaan kepada anak-anak muda sekitar Besut.Selain faktor calon,orang Besut sudah faham benar dengan keadaan Kelantan di bawah Pas lebih 23 tahun.Besut dan Pasir Puteh berjiran.Mereka sedar di Kelantan 'banyak cakap dari buat'.Orang Besut mahu tengok Kuala Besut yang dahulunya sleeping town akan terus membangun.Seeloknya bersama jajaran persisiran pantai termasuk Tok Bali di Pasir Puteh.Sayangnya Kelantan masih di bawah Pas.Jika ada pun perancangan memajukan Tok Bali sudah tentu digerakkan oleh agensi Kerajaan Pusat.Orang Besut juga sudah mengalami suasana berada di bawah Pas.Antara peristiwa yang mereka sukar lupa ialah penutupan pusat-pusat asuhan kanak-kanak (tadika) yang beroperasi di balai-balai raya.Nyatanya tindakan menutup tadika itu (malah di seluruh Terengganu) menjejas teruk imej kerajaan Terengganu di bawah Pas ketika itu.Tidak banyak isu yang dibawa pembangkang boleh mempengaruhi pilihan pengundi. Ia berlegar sekitar isu peribadi dan hal-hal yang seolah-olah sengaja untuk dijadikan isu.
Misalnya dakwaan calon BN kurang dikenali selain membangkitkan permasalahan tempatan yang dianggap remeh.Pembangkang cuba tiup isu perlunya orang Kuala Besut memberi laluan untuk pilihan raya seluruh Terengganu diadakan semula.Tentunya orang Kuala Besut tidak mudah terpedaya.Mereka sedar tentang ruginya membuang masa dan kewangan.Isu 'melagakan' antara Idris Jusoh dengan Menteri Besar Terengganu,Datuk Seri Ahmad Said cuba ditiup oleh pembangkang.Juga kelihatannya isu ini 'tidak makan'.Orang Besut secara umumnya bersyukur dengan jasa-jasa pembangunan Datuk Seri Idris Jusoh dan masih disebut-sebut jasa Tan Sri Yusoff Noor.Pada masa yang sama mereka mengakui Daerah Besut terus dalam perancangan Datuk Seri Ahmad Said untuk terus dimajukan.Apatah lagi Idris sekarang sudah dilantik menjadi Menteri Kerajaan Pusat.Ekoran itu juga orang Kuala Besut akan merasa malu jika tidak memberi kemenangan kepada BN kerana ia akan menggambarkan tidak menghormati Idris selain 'mengasingkan' mereka dari dua kawasan DUN lain dalam Parlimen Besut yang dimenangi BN pada PRU-13 lalu.
Lebih jauh dari itu mereka tentunya menghormati kepimpinan negara di mana Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yasin sendiri bertindak sebagai Pengarah Pilihan Raya Kecil Kuala Besut.
Jadi,Pas harus menelan malu jika isu-isu yang sengaja 'dicipta' dan 'dikitar semula' dalam PRK Kuala Besut ini tidak menjadi.Kita tunggu keputusannya 24 Julai ini.Barangkali imej Pas turut tercalar dengan penolakan petisyen terhadap kemenangan BN di DUN Selising dan Parlimen Machang (kedua-dua di Kelantan) baru-baru ini.Malah penolakan kedua-dua kawasan itu dikenakan kos.Pengundi Kuala Besut diyakini akan mengambil kira senario politik semasa negara dalam membuat pilihan kali ini.Mereka tentu sedar tentang istilah perjuangan dan survival bangsa dan negara.Sekali lagi PRK Kuala Besut sepatutnya berlangsung dalam tenang damai kerana keghairahan 'berperang politik' hanya menambahkan imej buruk sesama sebangsa dan seagama.Apa lagi dalam saat mengharungi bulan suci Ramadan yang penuh rahmat dan keberkatan ini.
Oleh Esputra Mukhtar
PENULIS ialah penganalisis politik.

No comments:
Post a Comment