Esok,Jumaat,22 Ogos 2014 bersamaan 26 Syawal 1435 Hijrah pasti terpahat dalam lipatan sejarah negara sebagai harinya satu Malaysia berkabung.Selepas sebulan lima hari waris penumpang dan anak kapal penerbangan MH17 menanti penuh sabar dan debar akan 'kepulangan' orang tercinta sejak menerima berita menggemparkan tentang tragedi yang menimpa pesawat dinaiki mereka pada 17 Julai lalu, Jumaat ini bagi sebahagian daripadanya adalah titik pengakhiran sebuah penantian.Sekurang-kurangnya 20 daripada 43 jasad warganegara ini yang terkorban dalam nahas pesawat Malaysia Airlines (MAS) yang membawa 298 orang penumpang dan anak kapal itu akhirnya akan mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) - destinasi terakhir untuk penerbangan terakhir mereka di dunia ini.
Walaupun identiti jenazah dan mayat yang dikenal pasti belum diumumkan,sesiapa yang mengikuti perkembangan tragedi MH17 tahu dalam kalangan mereka ada kakak yang sudah lima tahun tidak berjumpa adiknya ; ada keluarga yang pulang untuk berhari raya setelah sekian lama di perantauan ; ada bapa dan ibu,ada suami dan isteri,begitu juga ada anak kepada orang tua yang tidak akan terdengar lagi suaranya dan tidak dapat dirasai lagi sentuhannya.Kerajaan Malaysia sudah pun mengisytiharkan Jumaat ini sebagai Hari Perkabungan Negara.Istiadat penerimaan dan penghormatan jenazah mangsa MH17 pun sudah diatur.Ringkas namun penuh makna.Dalam tempoh upacara khas itu yang akan berlangsung di Kompleks Bunga Raya KLIA dan dijangka dipancarkan secara langsung menerusi stesen televisyen,rakyat diminta bertafakur sejenak.Tidak lama,hanya seminit.Bagi yang beragama Islam,mungkin boleh menyedekahkan al-Fatihah manakala yang bukan beragama Islam,berdoalah mengikut kepercayaan masing-masing.
Inilah waktu terbaik untuk rakyat Malaysia bersatu dan menunjukkan sifat empati terhadap kaum keluarga mangsa MH17 yang diduga hebat dengan insiden yang meragut nyawa orang tersayang.Sebagai masyarakat yang terkenal dengan keprihatinan terhadap isu-isu kemanusiaan sejagat termasuk penderitaan rakyat Palestin yang dizalimi rejim Israel, tentulah agak janggal jika ada dalam kalangan kita yang gagal menyelami perasaan waris mangsa MH17.Bahkan agak zalim untuk menuduh kerajaan melebih-lebihkan upacara penerimaan jenazah mangsa.Janganlah dipersoalkan sangat keperluan untuk berkabung satu negara.Janganlah detik hitam yang menimpa negara dan rakyat sewarga ini pun hendak dipolitikkan jua.Dalam keadaan 43 waris,ahli keluarga dan kenalan mangsa MH17 yang merupakan rakyat Malaysia sedang berduka, tidak luak sedikit pun jika kita menunjukkan secebis simpati dengan berkongsi kedukaan mereka.Hari Perkabungan Negara hanya satu perisytiharan bagi menunjukkan rasa dukacita kita terhadap malapetaka yang menimpa negara dan menghormati mangsa tragedi penerbangan nasional itu.Tidak ada pun cuti umum atau sambutan yang luar biasa. Cuma sebagaimana lazimnya peraturan berkabung,bendera dikibar separuh tiang dan acara hiburan seboleh mungkin ditangguhkan.Tidak ada pun paksaan ke atas mana-mana premis supaya menutup operasi.
Tidak ada juga kod berpakaian yang diwajibkan pada hari itu.Cuma saranan supaya memakai warna gelap sebagai tanda berkabung.Sesi persekolahan berjalan seperti biasa cuma seperti disarankan oleh Menteri Pendidikan II,Datuk Seri Idris Jusoh dalam akaun Twitter miliknya agar 'sekolah-sekolah bertafakur seketika pada pukul 10.30 pagi sebagai tanda menghormati mangsa tragedi MH17'.Dan rasanya,rata-rata rakyat Malaysia akan bertafakur secara sukarela.Rata-ratanya dengan ikhlas bersimpati terhadap mangsa dan ahli keluarga mereka.
Jadi berhentilah mempolitikkan tragedi ini mahupun upacara khas esok.Ketepikan sementara apa jua perbezaan antara kita.Belajarlah memahami perasaan waris mangsa yang kehilangan insan tercinta,yang ada antaranya merupakan tonggak keluarga. Kehilangan yang bukan biasa namun secara tragis dan menyayat hati.
Takziah Malaysia. Semoga bersemadi dengan aman MH17. - Utusan
AL-FATIHAH...
1 comment:
kalau ada negara yang mana warganya adalah penumpang yang terlibat nahas, tetapi tang pengendalian mangsa dilakukan secara tertib dan hormat makanya negara pemilik pesawat sepatutnya lakukan lebih dari itu.
Post a Comment