Social Icons

Pages

Monday, April 13, 2015

EKSKLUSIF DAN FAKTA !!! TIADA SIAPA BOLEH PERTIKAI UNDANG-UNDANG ISLAM !!!


Sejak kebelakangan ini rakyat Malaysia lebih peka mengenai hak yang diperuntukkan kepada mereka melalui undang-undang tertinggi di Malaysia iaitu Perlembagaan Persekutuan.Perkembangan ini baik kerana rakyat yang celik undang-undang tidak mudah diperkotak-katik pihak ingin mengambil kesempatan.Bagaimanapun,Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menegaskan bahawa hak orang Melayu dan kedudukan Islam terpateri kemas dalam Perlembagaan Persekutuan memberikan sinaran baharu kepada orang Melayu yang gusar dengan aliran terkini yang mempersoalkan hak orang Melayu.Walaupun lega dengan penegasan itu,orang Melayu masih khuatir pelaksanaannya seolah-olah sentiasa meminggirkan orang Melayu.Profesor Undang-Undang Universiti Teknologi MARA (UiTM) Profesor Emeritus Datuk Dr Shad Saleem Faruqi telah mengkategorikan hak yang diperuntukkan Perlembagaan Persekutuan kepada beberapa kategori. 

Pertama,hak yang dianugerahkan kepada semua orang tanpa mengira mereka adalah warganegara Malaysia atau tidak.Umpamanya,Perkara 5 Perlembagaan Persekutuan memberi kebebasan asasi kepada semua orang yang berada dalam Persekutuan, begitu juga Perkara 6 yang memperuntukkan pemansuhan perhambaan dan buruh paksa, Perkara 11 (kebebasan beragama) dan Perkara 13 (hak terhadap harta).

Hak bersuara, berhimpun

Kedua,hak yang hanya diberikan kepada warganegara sahaja iaitu hak bersuara dan berhimpun seperti dalam Perkara 10 dan hak mendapatkan pelajaran (Perkara 12).Hak ini hanya dinikmati oleh warganegara Malaysia sahaja.Ketiga,hak yang dilindungi walaupun dalam darurat.Perkara 150(6A) menegaskan,terdapat enam hak yang tidak boleh digugat walaupun negara dalam keadaan darurat iaitu hak berkaitan undang-undang Islam,adat Melayu,kebebasan beragama,hak kewarganegaraan,undang-undang adat di Sabah dan Sarawak serta hak berkaitan bahasa.Keempat,hak yang tidak boleh dihakis pada masa biasa seperti Perkara 7 hak untuk mendapat ganti rugi sekiranya tanah diambil dan Perkara 13 hak kepada orang yang ditangkap hendaklah diberitahu alasan penangkapan serta menghubungi peguam.Dalam erti kata lain,hak yang termasuk dalam kategori ini boleh dihapuskan,digantung atau diketepikan ketika berlaku darurat dalam negara sahaja.Dalam situasi lain Perlembagaan menjamin hak ini dilindungi.

Kelima,hak yang dihadkan atas alasan tertentu seperti hak kebebasan bersuara dan berhimpun dibataskan selagi ia tidak menggugat ketenteraman awam,keselamatan negara atau menggalakkan perlakuan jenayah.Walaupun hak itu jelas dalam Perlembagaan,ia bukanlah bersifat tidak terbatas.Ia boleh dihadkan atas sebab tertentu yang digariskan Perlembagaan.Menariknya,kedudukan undang-undang Islam,adat Melayu,kebebasan beragama,hak kewarganegaraan,undang-undang adat di Sabah dan Sarawak serta hak berkaitan bahasa tidak akan terjejas walaupun negara dalam keadaan darurat atau tidak aman.Secara tersiratnya,Perlembagaan Persekutuan mengiktiraf kedudukan tinggi undang-undang itu berbanding undang-undang lain.Undang-undang ini menikmati kedudukan lebih tinggi dan tidak boleh diganggu gugat melalui cara yang tidak diperuntukkan Perlembagaan. 

Ini termasuklah undang-undang pentadbiran hukum syarak,undang-undang jenayah syariah,undang-undang keluarga Islam,undang-undang tatacara dan undang-undang keterangan mahkamah syariah.Oleh itu,tiada sesiapa boleh mempertikaikan atau memandang rendah undang-undang berkenaan.Tidaklah keterlaluan jika dikatakan undang-undang Islam lebih tinggi dan mendahului undang-undang lain dari sudut keutamaannya.Natijah daripada kedudukan yang tinggi ini, sudah sewajarnyalah jika terdapat pertelingkahan atau percanggahan antara undang-undang Islam dan undang-undang lain,maka tafsiran yang memihak undang-undang Islam (yang dari segi kedudukannya lebih tinggi dari undang-undang lain) hendaklah dipakai.

Keabsahan undang-undang Islam

Keabsahan undang-undang Islam yang sejak kebelakangan ini sering dipertikai, diketepikan, diperlekeh atau tidak dihiraukan sepatutnya tidak menjadi fenomena yang mengukir landskap perundangan negara.Kerangka Perlembagaan Persekutuan meletakkan undang-undang Islam di tempat yang tinggi. Tafsiran secara tuntas bagi memberhentikan pihak mempertikaikan undang-undang Islam hendaklah dibuat bagi menamatkan cabaran terhadap undang-undang Islam. Janganlah kita melengos terhadap undang-undang Islam tanpa mengkaji susur galur sejarah, kedudukan dan kehendak majoriti umat Islam di Malaysia.Kita perlu mengetepikan emosi dan mengkaji undang-undang Islam dengan hati yang ikhlas bagi mencari kebenaran.Sudah pasti jalan yang lurus akan ditemui.Secara hipotesisnya,Jika negara diisytiharkan darurat,semua undang-undang digantung pelaksanaannya, tetapi undang-undang Islam termasuk Undang-Undang Keluarga Islam masih berkuat kuasa. 

Ini bermakna mahkamah syariah masih boleh beroperasi.Sebelum Perlembagaan Persekutuan digubal, kedudukan Islam sudah memang gah, malah keistimewaan undang-undang Islam tidak pernah berganjak walaupun negara telah dijajah selama beratus tahun. Jika penjajah tidak mempersoal ketinggian undang-undang Islam,mengapa undang-undang Islam diperlekehkan setelah negara merdeka dan diperintah anak watan.Seharusnya pendekatan yang diambil ialah meningkatkan lagi kedudukan undang-undang Islam bagi mencakupi segenap lapangan kehidupan umat Islam. Meletakkan Islam di tempat sewajarnya sejajar ketinggian agama Islam sebagai agama Persekutuan seperti tersurat dalam Perkara 3 Perlembagaan.Adalah penting bagi rakyat bukan sahaja mengetahui hak,tetapi juga memahami falsafah dan semangat Perlembagaan.Ia adalah garis panduan bagi memudahkan rakyat memakmurkan negara dan mencapai keadilan serta kesepakatan.Kita terlalu banyak memperkatakan mengenai hak,tetapi kita amat jarang bercakap tanggungjawab kita sebagai rakyat Malaysia.Kita terlalu mementingkan diri menuntut hak tanpa mahu membuat pengorbanan untuk melaksanakan tanggungjawab.


APA KATA ANDA ???

RENUNG-RENUNGKAN

No comments:

 
 
Blogger Templates