Social Icons

Pages

Sunday, February 19, 2012

ANTARA ANWAR IBRAHIM,ISRAEL DAN AJARAN PILIHAN !!!




Dalam bicara minggu lepas, saya telah menyebutkan ceramah Ustaz Hassan Basri yang serak-serak basah dan garang. Beliau bersama-sama Datuk Dr Hasan Ali menyampaikan ceramah tentang akidah umat Islam.Dalam bicara saya itu, saya tidak menekankan hasrat Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menjaga keselamatan Israel. Ketika itu saya bimbang kalau-kalau berita tentang perkara itu bohong atau putar-belit (spinning). Kini, setelah membaca beberapa tulisan tentangnya, bolehlah saya berbicara tentangnya.

Hassan Basri dalam pidatonya telah menyebutkan persoalan Negara Israel dengan menyarankan agar kita semua membaca al-Quran, Surah A-Baqarah ayat 120 dan Surah Al-Maaidah ayat 82. Sebenarnya, tanpa membaca surah-surah berkenaan pun, keseluruhan kita sedia tahu tentang pandangan yang ada pada umat Muhammad, umumnya.Tidak perlu saya nyatakan makna dan maksud kedua-dua surah itu dalam konteks bicara ini. Lebih perlu, saya fikir, ialah menanggapi makna dan maksud kata-kata Anwar; “I support all efforts to protect the security of the state of Israel.” Kata-kata itu tidak terhenti di situ saja. Dalam The Straits Times 2 Februari, Anwar menjelaskan bahawa untuk tiba pada hasrat itu: “I said the position of Israel is contingent.” Kemudian Anwar mencemuh wartawan dengan mengatakan rendahnya level of proficiency mereka itu. Ini ialah kata-kata Anwar: “The problem with the level of proficiency of their English language is that they (mainstream media) think contingent is the one sent to SEA Games.”



Kita faham akan sindiran Anwar. Beliau tidak menyenangi wartawan-wartawan Malaysia yang lemah berbahasa Inggeris, mungkin kerana para wartawan itu mempelajari Sains dan Matematik dalam bahasa Melayu. Masalah besar, wartawan tidak memahami perkataan contingent. Jika pada masa dahulu Anwar bersama-sama Dr Mahathir melaksanakan PPSMI, tidaklah terjadi masalah ini. Namun, adakah benar para wartawan itu silap ? Sekarang pihak yang tidak menyenangi kata-kata Anwar telah berganda-ganda. Masalah Anwar bukan kerana salah faham wartawan terhadap kata contingent itu, tetapi kerana Surah Al-Baqarah dan Surah Al-Maaidah tidak ditaati. Inilah yang dimaksudkan oleh Ustaz Hassan.

Berikutan peristiwa rumit itu ialah hasrat Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengundur diri daripada bertanding. Walaupun Hadi mungkin menguji pasaran politik, adakah kedua-duanya berkaitan? Untuk memahami perspektif, sejarah Hadi perlu ditinjau. Dalam tinjauan itu, sejarah Anwar akan termasuk.Hadi terkemuka kerana amanatnya yang disebut “Amanat Hadi Awang” 1981. Beliau mengemukakan amanat itu dengan penekanan bahawa Umno ditentang Pas kerana Umno mengekalkan perlembagaan kafir. Oleh sebab perjuangan Pas ialah perjuangan menentang puak-puak yang mengekalkan perlembagaan kafir, maka mati mereka dalam perjuangan itu adalah mati syahid.

“Amanat Hadi Awang” dikemukakan awal sedikit daripada kemasukan Anwar ke dalam Umno. Kita dapati, ketika Hadi amat membenci Umno, Anwar jatuh cinta kepada Umno, dan memasukinya. Ini adalah jalan politik yang menarik, kerana jalan demikian terlihat sampai kini. Hadi tidak menyatakan sesuatu tentang Israel, tetapi kita tahu, jika Anwar bersuara ketika itu, janji Anwar untuk menyokong penjagaan keselamatan Israel akan ditentangnya. Hassan Basri telah menyatakan ketidaksuaian itu, dan kita tahu dalam politik, mungkin akan timbul alasan daripada pihak Pas untuk menyokong Anwar.


Khusus untuk perkara ini, seseorang akan tertampan ke tembok stres jika pandangan yang relevan tidak didapatkan. Mujurlah muncul tulisan Hishamuddin Rais yang berkisah tentang akhbar Asian Wall Street Journal (AWSJ). Akhbar itulah yang mewawancarai Anwar, memulakan masalah pembongkaran sikap Anwar terhadap Israel, ditambahi kesukaan Anwar untuk diwawancarai.

Menurut Hishamuddin (Suara Keadilan 31 Januari), temubual Anwar di AWSJ adalah tekanan untuk memastikan kaum pemodal antarabangsa didahulukan. Hishamuddin memetik kata-kata Anwar: “lebih banyak lagi penswastaan akan dilakukan.” Kata-kata itu dituturkan kerana Anwar tahu siapa di belakang AWSJ. Sesiapa yang faham tentang kepentingan pemodal antarabangsa, pasti memahami pendekatan kupasan Hishamuddin.

Kupasan Hishamuddin membawa maksud bahawa Anwar menyesuaikan dirinya dengan AWSJ. Ini sama seperti beliau menyesuaikan diri dengan Umno kemudian Pas dan DAP. Sebenarnya, Anwar mempunyai kepakaran bermain dengan sentimen aneka pihak.

Buat masa ini, Anwar tidak akan memberikan perhatian terhadap anjuran Hassan Basri agar Surah Al-Baqarah dan Al-Maaidah dirujuk. Anwar kini lebih dekat pada humanisme universal, bukan dekat dengan apa-apa ajaran lain, baik anjuran tersurat Hassan Basri, mahupun anjuran tersirat Hishamuddin.

No comments:

 
 
Blogger Templates