Social Icons

Pages

Friday, August 31, 2012

#JANJIDEMOKRASI VS #JANJIDITEPATI !!! MANA SATU PILIHAN ANDA ???



EKORAN kegagalan menunaikan janji sejak berpeluang menjadi kerajaan di beberapa buah negeri,pakatan pembangkang seolah-olah dilanda paranoid apabila tema perayaan ulang tahun kemerdekaan negara menggunakan slogan 'Janji Ditepati'.Menariknya pada tahun ini,pakatan pembangkang seolah-olah dikepalai oleh keputusan seorang pemuisi apabila bersetuju menggunakan tema 'Sebangsa,Sejiwa dan Senegara' dalam sambutan hari bersejarah itu di negeri-negeri dikuasai pembangkang.Percubaan pakatan pembangkang untuk mengetepi atau membantah penggunaan tema tersebut berkait rapat dengan kegagalan mereka dalam menunaikan janji-janji yang pernah mereka keluarkan,terutama ketika berkempen dalam pilihan raya umum lalu.Setelah lebih empat tahun memerintah dan hanya tinggal beberapa bulan lagi sebelum pilihan raya baharu diadakan, pakatan pembangkang begitu cemas sama ada berjaya mengekalkan kuasa ataupun mencapai matlamat menawan Putrajaya.

Gelisah itu merungkaikan bahawa pakatan pembangkang terpaksa menggunakan apa sahaja kesempatan bagi membolehkan matlamatnya tercapai, termasuk menimbulkan pelbagai persepsi negatif terhadap rencana transformasi yang dicetuskan oleh kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sejak mengambil alih pentadbiran negara pada awal April 2009,yakni lebih setahun selepas Pilihan Raya Umum Ke-12.Susunan dasar yang lebih mengutamakan rakyat dan memahami setiap permasalahan mereka menyebabkan pakatan pembangkang terasa pengaruhnya mula merosot dengan drastiknya kerana kecenderungan anak muda sudah mula mempercayai kerajaan yang memerintah.Beberapa pengiktirafan yang diterima oleh kepimpinan Najib,termasuk mendapat kredit sebagai negara Islam contoh dari para ulama antarabangsa, menjadikan kelompok yang mendakwa pertubuhannya mewakili wadah politik Islam terdesak untuk menafikannya sebagai sesuatu niat bertujuan politik.Terbaharu,apabila ada ulama politik dalam parti pembangkang menuduh bahawa nilai-nilai Islam yang diterapkan dalam pentadbiran kerajaan sejak dimulakan pada 1983,kesungguhan meletakkan dasar yang kukuh dalam memainkan peranan sebagai hab perbankan Islam,pembangunan industri halal, menggalakkan pemilikan sijil halal dalam produk makanan, minuman dan pakaian yang melibatkan orang Islam, kepesatan kemasukan pelancong dari Asia Barat,pusat kecemerlangan pendidikan serantau telah mula menampakkan kejayaan.Penggunaan tema yang dicadangkan oleh pakatan pembangkang itu sebenarnya bukanlah keputusan bersama,kerana konsep 'sebangsa' sejak sekian lama menjadi kritikan tajam atas sifatnya yang berbau asabbiyyah kaumiyah.Konsep 'sejiwa' mengandung maksud yang boleh dianggap negatif kerana dua jiwa yang bermasalah cuba disatukan menjadi sebuah kesatuan yang tidak mungkin dapat dipertahankan selama-lamanya.

Persoalannya, bagaimana kategori 'sejiwa' boleh diterima oleh sebuah parti yang cuba menjadikan Islam sebagai doktrin politik kerana dalam masa sama menjana kemarahan sekutunya yang bukan beragama Islam. Persoalan hukum hudud misalnya,dua pihak yang bersebarangan pada awalnya masih belum boleh menerima hakikat tersebut,sebaliknya masih kekal dengan keputusan akan menentangnya sampai bila-bila.Perspektif itu sudah mencerminkan konsep sejiwa tidak boleh dicapai atas alasan,dari sudut pandangan dan pendirian juga sudah berbeza.Konsep sejiwa mungkin boleh menjadi kenyataan apabila kedua pihak itu 'membina rumah tangga' seadanya,saling menerima kelemahan dan kekuatan masing-masing, kerana itulah kenyataan perkongsian kuasa.Itu adalah syarat dalam konsep 'sejiwa' jika menurut perspektif yang pernah difatwakan oleh pemimpin kanan sebuah parti yang menjadikan Islam sebagai doktrin politiknya.Disebabkan fatwa itu masih meninggalkan kesan yang meluas dan sebati dengan pendokong tegar parti tersebut belum ditarik balik sepenuhnya,ini bermakna perkenan 'sejiwa' hanyalah sebuah istilah yang bersifat puitis dan kedalaman maknanya tidak menjejaki hati dan perasaan. Ia hanyalah lakaran kata-kata indah dari segi bahasa tetapi kekosongan tindakan dan makna.Pakatan pembangkang diserang paranoid setelah semakin ramai penyokongnya mula menukarkan haluan politik manakala rakyat yang pernah mengundi mereka semakin resah menantikan 'buah' yang tidak pernah gugur sejak mula berputik.Tempoh selama empat tahun,bahkan ada keadaan melebihi dua dekad masih belum ditunaikan sehingga kemeriahan Aidilfitri bertukar menjadi 'bara dendam' apabila pili yang dipasangkan tidak juga mengeluarkan air bersih dan setiap bulan bil terpaksa dibayar.Hak dan kemenangan mereka dalam pilihan raya tidak pernah dinafikan, malah kedudukan mereka dalam sistem pemerintahan terus mendapat perhatian. Tidak timbul masalah penyingkiran dan diskriminasi, sebaliknya prinsip kebebasan dan keadilan yang mereka perjuangkan semakin membuktikan doktrin itu hanya 'janji kosong' yang hanya 'manis di bibir tetapi lidah tetap mencuka'.

Dalam kegundahan emosi, paranoid pembangkang terus mengalir deras sehingga menampakkan sikap sebenar kepimpinan yang tidak berusaha memenuhi apa yang dijanjikan. Menurut telahan, lebih 85 peratus janji yang pernah dibuat tidak dilaksanakan manakala kerajaan yang memerintah sentiasa mempamerkan hasilnya sehingga hampir tercapai sepenuhnya.Paranoid yang melanda pakatan pembangkang sebenarnya amat sukar ditangani, kerana puncanya ingin membalas dendam. Membalas dendam tidak mudah dihapuskan kerana si pendendam tetap melihat kebaikan orang lain sebagai sesuatu senjata tajam yang terus menikam hasrat dan cita-citanya.Justeru, meraikan hari kemerdekaan pada tahun ini adalah sesuatu yang amat signifikan dengan temanya,'Janji Ditepati' kerana buktinya makin banyak,rakyat yang susah dibantu, sistem perumahan mampu milik diberikan perhatian, sektor pendidikan terus dipertingkatkan kerana kerajaan sedar,menerusi pembangunan sumber manusia dan kecerdikan mindalah negara mampu melonjakkan keupayaannya mencapai status negara maju pada tahun 2020 nanti.

Bila difikirkan secara mendalam, apakah slogan 'Sebangsa, Sejiwa dan Senegara' boleh dilaksanakan sepenuhnya? Bahkan dalam konteks mana sekalipun 'Janji Ditepati' lebih realistik,kerana ia lebih bersifat praktikal dan budaya hidup yang wajib dilaksanakan oleh setiap orang, terutama umat Islam.Pada hakikatnya Allah SWT amat murka kepada mereka yang hanya tahu berjanji,tetapi enggan menunaikannya.Ini ditegaskan dalam firman-Nya bermaksud : "Tepatilah dengan perjanjian sesungguhnya perjanjian itu akan dipersoalkan" (maksud al-Quran Surah al-Israa ayat 34).Demikian juga ditegaskan dalam sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "tiada iman bagi mereka yang tidak dapat dipegang dengan janjinya" (Riwayat Ahmad).Dalam satu hadis sahih Bukhari lain, Baginda juga ada bersabda yang bermaksud sikap mungkir janji ini juga adalah bukti jelas yang memastikan seorang itu bukan mukmin yang baik bahkan ia adalah seorang munafik yang perlu diawasi dan dijauhi. Ini bertujuan agar seorang itu terselamat daripada segala tipu daya yang licik itu.Oleh demikian janganlah kita membiarkan diri kita dijadikan sebagai tong sampah tempat buangan sampah fitnah dan janji bohong mereka yang berhati munafik ini. Ingat seperti mana sabda nabi SAW yang bermaksud: "Tanda orang munafik itu tiga iaitu bila bercakap ia bohong,bila berjanji ia mungkir dan bila diberi kepercayaan ia khianati".

Datuk Dr. Aziz Jamaludin Mhd Tahir
Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim)

RENUNG-RENUNGKAN

No comments:

 
 
Blogger Templates