Social Icons

Pages

Wednesday, August 22, 2012

#JANJIDITEPATI !!! JANGAN BERJANJI KALAU TAK BOLEH TUNAI JANJI TU !!!






LIHAT DULU VIDEO DI ATAS !!!

DALAM kehidupan masyarakat hari ini,ada orang yang petah bercakap,manis di bibirN menabur seribu janji. Mereka tidak segan-silu menabur pelbagai janji tanpa memikirkan sama ada janji yang ditaburkan itu mampu dipenuhi atau tidak.Malah,lebih mendukacitakan apabila ada orang yang sanggup bertopeng kejujuran dan menggadai amanah dengan menabur janji demi janji hanya untuk menjaga kepentingan dan kedudukan.Tidak kira apa jua pun tujuan janji yang dibuat itu, ia adalah suatu amanah yang wajib ditepati dan dipenuhi. Allah SWT berfirman yang bermaksud, "Wahai orang-orang yang beriman, penuhi serta sempurnakanlah segala perjanjian (yang kamu buat)." (Surah al-Ma'idah ayat 1).Setiap manusia akan dipertanggungjawabkan di hadapan Allah SWT mengenai janji yang dibuat.Allah SWT berfirman yang bermaksud, "Penuhilah janji itu, sebab janji itu akan ditanyakan." (Surah al-Isra' ayat 34).

Meremeh-remehkan janji atau sengaja tidak mahu memenuhi perkara yang dijanjikan adalah sangat dibenci dan dimurkai oleh Allah SWT.Allah SWT berfirman yang bermaksud, "Wahai orang-orang yang beriman mengapa kamu memperkatakan apa yang kamu tidak lakukan. Amat besar kebenciannya di sisi Allah,kamu memperkatakan sesuatu yang kamu tidak melakukannya." (Surah al-Saff ayat 2-3).Bukan setakat itu,malah orang yang memungkiri janji adalah termasuk dalam golongan orang munafik.Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, "Ada tiga tanda orang munafik, iaitu apabila dia bercakap dia berbohong, apabila berjanji dia ingkar dan apabila diberi amanah dia khianat." (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Sebenarnya perbuatan memungkiri janji memberi implikasi yang buruk kepada pihak-pihak yang terlibat dengan janji yang dibuat itu.Misalnya,hubungan persahabatan yang sekian lama terjalin boleh menjadi renggang,pekerja tidak menghargai dan menghormati majikannya,suami isteri sering berselisih faham dan rakyat tidak yakin dan percaya kepada pemimpin-pemimpin mereka.Menyedari implikasi negatif ini,seseorang Mukmin itu tidak mungkin akan memungkiri janjinya dan mustahil pula akan mengkhianati amanah yang diberikan.Suatu ketika Luqman al-Hakim pernah ditanya : "Apakah sebab sehingga kamu dapat mencapai kedudukanmu itu?" Beliau menjawab: "Dengan berkata benar dan menunaikan amanah serta meninggalkan perkara yang bukan kepentinganku."Bagi memastikan janji itu dapat dipenuhi,Islam telah meletakkan adab-adab apabila berjanji. Antara yang paling penting adalah melafazkan ucapan 'insya-Allah' bagi setiap janji yang dibuat.Suruhan ini telah dijelaskan oleh Allah SWT di dalam firman-Nya yang bermaksud, "Dan janganlah engkau berkata mengenai sesuatu yang hendak dikerjakan bahawa aku akan lakukan yang demikian itu kemudian nanti melainkan hendaklah disertakan dengan berkata 'insya-Allah'." (Surah al-Kahfi ayat 23).

Persoalannya, apakah janji yang disertai dengan perkataan 'insya-Allah' itu bersifat pilihan sama ada mahu ditepati dan dipenuhi atau tidak? Inilah yang menjadi pegangan segelintir anggota masyarakat kita hari ini.Apabila berjanji mereka akan mengucapkan 'insya-Allah' dengan maksud untuk mengelak daripada berdosa jika tidak dapat memenuhi perkara yang dijanjikan. Sedangkan selepas menabur janji mereka tidak sedikit pun berusaha untuk memenuhi dan melaksanakan perkara yang dijanjikan itu.Perlu difahami bahawa janji adalah amanah yang wajib ditepati dan dipenuhi.Ini bererti ucapan 'insya-Allah' itu bukanlah sekadar untuk mengelak daripada berdosa jika tidak dapat memenuhi dan melaksanakan perkara yang dijanjikan. Bahkan perkataan 'insya-Allah' itu hendaklah disertai dengan azam dan usaha yang bersungguh-sungguh untuk memenuhi segala janji agar kita tidak termasuk dalam golongan orang munafik yang dibenci oleh Allah SWT.Jelas di sini bahawa menyebut perkataan 'insya-Allah' dengan disertai azam dan usaha untuk melaksanakan sesuatu janji itu adalah lebih menepati kehendak agama Islam. Memang sudah pasti bahawa kita tidak mampu melakukan sesuatu perkara yang dijanjikan itu melainkan dengan izin dan bantuan Allah SWT.Demikianlah betapa agama Islam sangat mengambil berat dalam soal janji. Oleh itu berhati-hatilah sebelum menabur berjanji.Biarlah kita berjanji dalam perkara-perkara yang mampu ditepati dan ditunaikan saja.

Oleh DR. MOHD SHUKRI HANAPI
PENULIS ialah Pensyarah di Pusat Kajian Pengurusan Pembangunan Islam (ISDEV),Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan,Universiti Sains Malaysia.

RENUNG-RENUNGKAN

No comments:

 
 
Blogger Templates