Social Icons

Pages

Sunday, December 23, 2012

ISU UMNO KAFIR !!! DATUK DR AZIZ JAMALUDIN MEMBELASAH HADI AWANG KAW-KAW !!!


MENGHUKUM orang Islam sebagai kafir kerana berbeza pendirian politik bukanlah satu perkara baharu malah sudah berakar umbi sejak munculnya sebuah parti politik yang menggunakan agama sebagai platform ideologinya.Hal ini dapat dibaca menerusi pelbagai tulisan sama ada yang ditulis oleh sarjana tempatan mahupun luar negara yang mengkaji politik orang Melayu di Kelantan untuk tempoh 1960-an hingga masa kini. Prof. William Roff misalnya menghimpunkan beberapa rencana yang ditulis oleh pengkaji dan budaya tempatan Kelantan dalam naskhah Kelantan : Religion,Society and Politic in Malay States (1974) Prof. Clive Kessler yang melakukan kajian beberapa tahun mengenai politik Kelantan dalam Islam and Politics in a Malay State, Kelantan 1838-1969 (1978) Prof. N John Funston dalam Malay Politics in Malaysia : A Study of the Malays United Organisation and Party Islam (1980) Prof Hussin Mutalib,Islam and Ethnicity in Malay Politics (1990) Prof. Firdaus Abdullah dalam Radical Malay Politics : It Origins and Early Development (1985) 

dan beberapa orang lagi telah menemukan bahawa pertembungan politik yang berteraskan nasionalisme dan ideologi Islam telah menyebabkan berlakunya persoalan kafir mengkafir sesama umat Islam.Bagaimanapun,menghukum sesama Islam yang tidak sehaluan pendirian politik menjadi semakin serius apabila seorang yang dianggap radikal dalam Pas mengeluarkan fatwa pada tahun 1981 dan kemudiannya diulang serta dicetak secara meluas untuk dijadikan “doktrin politik dan “kehendak agama bagi menghadapi pilihan raya umum pada tahun 1982 ekoran kemasukan Anwar Ibrahim dalam UMNO dan kepimpinan Tun Dr. Mahathir Mohamad yang dianggap sebagai “ultra Malay.Kemuncaknya dapat disaksikan berlakunya perpecahan masyarakat yang lebih kritikal di beberapa buah kampung di Terengganu dan Kelantan sehingga insiden pulau memulau jiran tetangga dan sekampung, haram memakan sembelihan,sembahyang dua imam,haram menziarahi kematian orang berlainan sokongan politik,perceraian akibat berbeza parti dan tidak kurang juga pergaduhan sehingga terputusnya silaturrahim walaupun sedarah, seagama, seketurunan ataupun dilahirkan oleh ayah dan ibu yang sama. 

Konflik politik itu masih belum berakhir hingga sekarang meski pun tahap keseriusannya tidaklah sehebat situasi pada tahun 1980-an dan 1990-an.Isu ini kembali menyengat apabila Presiden Pas,Abdul Hadi Awang beberapa hari lalu memohon maaf semasa berucap di Sidang Dewan Undangan Negeri atas kesilapan politik dan tindakannya selama ini walaupun beliau tidak pernah mengakui bahawa fatwa yang dibuatnya sejak lebih tiga dekad menjadi faktor terbesar berlakunya perpecahan dalam masyarakat Melayu-Islam di Malaysia.Apa pun,kerana parti berkenaan dilihat semakin terdesak, angin perubahan golongan muda untuk tidak mempercayai kepimpinan mereka yang dilihat semakin tidak relevan, maka adalah lebih manis membuat permohonan maaf meskipun ia lebih bersifat politik berbanding permohonan maaf berdasarkan kesedaran sebenar untuk mengulangi kesilapan.Barangkali adalah lebih baik jika kita membaca semula sebuah buku kecil yang pernah diterbitkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) berhubung dengan tuduhan kafir mengkafir sesama Islam.

Adalah lebih baik kita cuba memahami apa yang dijelaskan dalam buku kecil yang bertajuk Penjelasan Mengenai Isu Mengkafirkan Orang Islam,Jihad dan Mati Syahid yang diterbitkan pada tahun 2002,kerana ia ditulis berdasarkan pendapat dan tafsiran ulama muktabar dan bukannya ulama politik. Tuduhan bahawa pemimpin dan penyokong UMNO adalah kafir berdasarkan daripada penjelasan Allah SWT dalam surah al-Maidah,ayat 44 yang bermaksud : Sesungguhnya Kami telah menurunkan kitab Taurat, yang mengandungi petunjuk dan cahaya yang menerangi; dengan kitab itu nabi-nabi yang menyerah diri (kepada Allah),menetapkan hukum bagi orang-orang Yahudi dan (dengannya juga) ulama mereka dan pendita-penditanya (menjalankan hukum Allah); sebab mereka diamanahkan memelihara dan menjalankan hukum-hukum dari kitab Allah (Taurat) itu, dan mereka pula adalah menjadi penjaga dan pengawasnya (dari sebarang perubahan). Oleh itu hendaklah kamu takut kepada-Ku (dengan menjaga diri daripada melakukan maksiat dan patuh akan perintah-Ku); dan janganlah kamu menjual (membelakangkan) ayat-ayat-Ku dengan harga yang sedikit (kerana mendapat rasuah, pangkat dan lain-lain keuntungan dunia), dan sesiapa yang tidak menghukum dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah (kerana mengingkarinya) maka mereka itulah orang-orang yang kafir. Dalam ayat 47 surah yang sama, Allah SWT menjelaskan: “Dan hendaklah Ahli Kitab Injil menghukum dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah di dalamnya, dan sesiapa yang tidak menghukum dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah, maka mereka itulah orang-orang yang fasik. 

Ayat-ayat itulah yang menjadi sandaran atau hujah untuk melabelkan seseorang itu sebagai kafir walaupun tafsiran ulama yang muktabar membuktikan berlaku salah tafsiran (orang Pas) dan tidak menepati maksud sebenar. Maksud sebenar ayat-ayat tersebut (Surah al-Maidah ayat 44 dan 45) ialah : (1) Dalam kitab Tafsir Ruhul Ma‘ani Juzuk 6 halaman 130,ialah “Golongan Khawarij telah membuat hujah dengan ayat ini bahawa orang fasik (yang melakukan dosa) adalah kafir yakni tidak mukmin." Pendapat golongan Khawarij ini dijawab oleh ulama Islam dengan beberapa jawapan antaranya:

(a) Ayat tersebut tidak dimaksudkan dengan makna zahir kerana menghukum itu meskipun pengertiannya meliputi amalan hati dan perbuatan anggota lahir, tetapi yang dimaksudkan ialah amalan hati itu sendiri, iaitu “mempercayai’' atau “tidak mempercayai’' hukum Allah. Maka tidak syak lagi bahawa seseorang itu menjadi kafir jika ia tidak mempercayai akan apa yang diturunkan oleh Allah; tetapi ia tidak kafir sekiranya ia tidak mengamalkan atau melaksanakan hukum Allah. 

(b) Dalam tafsir Ruhul Ma‘ani juga dijelaskan lagi bahawa Ibnu Abbas telah menyatakan bahawa ‘sesungguhnya Allah menurunkan ayat-ayat di atas (ayat 44, 45, 47 Surah al-Maidah) hanya mengenai orang Yahudi, semata-mata’' (tidak dimaksudkan kepada orang mukmin (Islam). 

(c) Seterusnya Tafsir Ruhul Ma‘ani menerangkan bahawa Abi Salleh telah berkata: “Tiga ayat dalam Surah al-Maidah tersebut tidak kena-mengena dengan orang Islam, ayat tersebut adalah mengenai orang kafir’. Jika benarlah tiap sesuatu yang dilakukan yang bertentangan dengan hukum Islam akan menjadikan seorang Islam itu kafir, maka mungkin 99.9% daripada orang Islam sudah menjadi kafir selama ini (peratusan ini sebagai gambaran yang manusia tidak maksum).Mereka tetap sebagai orang Islam walaupun mereka berkali-kali membuat dosa. Seseorang yang murtad ialah mereka yang menolak agama Islam selepas ia memeluk Islam, dan juga orang Islam yang mengkafirkan orang Islam yang lain tanpa usul periksa sedangkan orang Islam itu masih berpegang kepada ajaran Islam dan beriman kepada Allah dan Rasul-Nya. 

Oleh itu, mana-mana pemerintahan Islam di dunia ini adalah bertanggungjawab memastikan perkara ini supaya tidak menjejaskan kekuatan umat Islam. Jawapan sudahlah jelas bahawa orang UMNO tidaklah kafir kerana orang UMNO,mereka tetap beriman dengan al-Quran serta sentiasa berusaha mempertingkatkan kedudukan Islam di negara ini. Mengenai isu dan hukum Takfir (mengkafirkan orang Islam) ini,Ahli Jawatankuasa Tetap Agama Bagi Majlis Raja-Raja yang bersidang pada 27 - 28 Mei, 1963 telah mengeluarkan pendapat seperti berikut: 

 l “...Adalah kufur mengkufurkan seseorang Islam itu satu daripada perkara yang dipandang tersangat berat di dalam agama Islam. Kiranya orang yang dihadapkan kepadanya perkataan itu tidak tepat sifat-sifat yang menjadikan dia murtad, maka kembalilah hukum murtad itu kepada orang yang berkata itu pula".

l “...Mengikut kitab karangan Syarwani dalam juzu’ 9 muka surat 88 ada mengingatkan orang-orang Islam supaya jangan terburu-buru mengatakan kufur kepada seseorang Islam, apatah lagi bagi orang awam sangat tidak digemari mengeluarkan perkataan kufur kepada saudara-saudaranya yang lain." 

l “...Ahli-Ahli Jawatankuasa Tetap Agama Bagi Majlis Raja-Raja menasihatkan setiap orang Islam bahawa kalimah kufur mengkufurkan sesama Islam itu hendaklah dipelihara daripada lidah masing-masing sama ada dalam kempen-kempen atau perbualan hari-hari atau lainnya." 

 l Ayat 44 Surah al-Maidah adalah ditujukan kepada orang kafir Yahudi kerana mereka mengubah hukum Allah dan menggantikannya dengan hukum ciptaan mereka sendiri. Ini jelas dari ayat tersebut yang mengisahkan turunnya kitab Taurat yang dikaitkan dengan orang Yahudi. l Tidak menjadi kafir seseorang Islam yang tidak melaksanakan hukum Islam dalam sesebuah negara selagi ia tidak mengingkari kebenaran hukum tersebut yang datang dari Allah; apatah lagi jika ia (atau mereka) tidak mempunyai kuasa penuh untuk berbuat demikian. 

l Pas mengkafirkan UMNO semata-mata atas dasar perbezaan politik kerana kedua-duanya merebut pengundi Islam, khasnya orang Melayu. Dalam hal ini, siapakah yang sebenarnya yang menolak serta memutarbelitkan al-Quran dan al-Sunah? Siapakah yang sebenarnya kafir? Ingatlah firman Allah yang bermaksud: “Jangan engkau menurut hawa nafsu kerana yang demikian itu akan menyesatkan kamu dari jalan Allah." (Surah Sad, Ayat 26). 

Maka wajarlah Presiden Pas itu mengambil pendirian memohon maaf secara terbuka kepada semua umat Islam di Malaysia dan dengan hati penuh ikhlas menarik balik fatwa yang telah banyak meninggalkan kesan negatif sehingga mengakibatkan pecah belah masyarakat dan suasana persaudaraan yang dibingkaikan oleh tafsiran politik matlamat menghalalkan cara. 

Datuk Dr. Aziz Jamaludin Mhd Tahir 
Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim)

RENUNG-RENUNGKAN 

1 comment:

Hj Mohammad Hj Dit said...

Majlis Fatwa Malaysia berserta Ulama2 yang mempercayai Fatwa Hadi Awang melanggar Akidah Islam mengapa tidak diheret sahaja Hadi Awang ke Mahkamah Syriah sahaja. Biar Mahkamah yang menetukan kesalahan Hadi Awang. Berani buat berani tanggung. Asyik buat komen saja tidak kemana. Hadi seorang yang mempunyai ego yg tinggi. Bagi dia you mati you punya pasal. tengok apa dah jadi kepada issu Memali. Mereka yang terkorban masih menunggu Hj Hadi Awang untuk memberi tiket kesyurga tetapi kenalah mandi dulu. Dulu mereka mati syahid kerana hendak menegakkan Negara Islam tetapi sekarang Hadi kata tak ada negara Islam dalam Al Quran. Buang masa saja cakap banyak2 pun.

 
 
Blogger Templates