DASAR kerajaan yang lebih terbuka terhadap media telah disalahgunakan oleh portal berita Malaysian Insider untuk bertindak biadab dan menjadi petualang menggugat aspirasi kebangsaan.Ini isu lama dan sudah banyak kali dipersoalkan oleh orang perseorangan mahupun pertubuhan bukan kerajaan (NGO) terutama pada pasca Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU-12) tahun 2008.Tetapi hingga kini janji pihak berkuasa seperti Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk menyiasat belum ditunjukkan.Kalau menyiasat apakah hasil siasatan itu? Kenapa mengambil masa yang terlalu lama seolah-olah menunggu kucing bertanduk baru hendak tampil dengan hasil siasatan?
Sejauhmanakah kebenaran dakwaan beberapa NGO bahawa operasi portal ini dibiayai oleh dana asing? Atau dibiayai oleh petualang yang berselindung di sebalik nama orang lain bagi meneruskan hayat portal.SKMM dan KDN perlu berlaku adil kepada Malaysian Insider untuk membersihkan" nama yang dikaitkan dengan dana asing dan menjadi petualang dengan menjelaskan hasil siasatan kepada umum.SKMM terlalu pantas bertindak ke atas orang perseorangan, misalnya pelajar Aswara yang menghantar komen di Facebook mengenai kejadian membakar gereja.Tetapi ini tidak berlaku kepada Malaysian Insider.
Kenapa?
Ketika ini portal berita tidak dapat beroperasi hanya dengan pendapatan iklan dalam talian atau langganan.Pengiklanan dalam talian belum menjadi fenomena sekalipun mencatatkan jumlah pelawat tertinggi.Pasukan editorial Malaysian Insider yang sama seperti akhbar arus perdana dengan adanya pengarang,penyunting,wartawan dan sebagainya memerlukan belanja yang tidak dapat ditampung oleh pendapatan iklan.Maka pertanyaannya siapa dan dari manakah mereka mendapat dana?
Sebagai portal yang mendakwa bebas berbanding akhbar arus perdana yang kononnya dikawal kerajaan, sudah tentu portal ini tidak menerima dana pembangkang.Tetapi siapa kalau bukan pembangkang? SKMM perlu membentangkan hasil siasatan yang menunjukkan operasi Malaysian Insider daripada pendapatan iklan dan bukannya ditaja oleh petualang dalam mahupun luar negara.Sebenarnya tidak menjadi kesalahan kalau dibiayai oleh pembangkang.Sebabnya Malaysian Insider terlalu berjasa kepada pembangkang terutama menonjolkan keburukan kerajaan dan menentang dasar-dasar yang membantu kaum bumiputera.
Bebas
Portal ini mesti diambil tindakan bukan kerana menyokong pembangkang.Mereka bebas untuk menyokong fahaman politik tertentu dan kerajaan telah membuktikan sikap yang adil apabila meluluskan permit penerbitannya.Ini menunjukkan walaupun pembangkang menuduh kerajaan tidak memberikan kebebasan media tetapi portal pro pembangkang tidak pernah dihalang,apa lagi digantung permitnya.Semua orang tahu Malaysian Insider yang tidak pernah menghentam dasar-dasar cauvinis Cina dalam pembangkang tetapi ini tidak dipertikaikan.Bagaimanapun yang dipersoalkan adalah sikap petualang yang tidak mendukung aspirasi kebangsaan berpaksikan Perlembagaan.Malaysian Insider mesti membezakan antara sokongan kepada fahaman politik tertentu dengan aspirasi kebangsaan.Yang ditunjukkan oleh Malaysian Insider selama ini adalah bertentangan dengan aspirasi kebangsaan terutama dalam isu orang Melayu dan agama Islam.Kenapa Malaysian Insider menyiarkan laporan dari Singapura yang menyokong tindakan sepasang remaja Cina,Alvin dan Vivian yang mengajak umat Islam negara ini berbuka puasa dengan sup tulang babi?
Adakah kebebasan akhbar yang dianuti oleh portal ini menjadi lesen untuk menyebarluaskan saranan supaya umat Islam mencuba sup tulang babi? Adakah pertimbangan menyiarkan laporan itu kerana memperjuangkan dua remaja berkenaan yang menghina Islam?
Bukan semua Cina menyokong sikap biadab pasangan Cina itu kerana mereka faham aspirasi kebangsaan yang meletakkan Islam sebagai agama Persekutuan dan agama lain bebas diamalkan.Cuma Malaysian Insider yang sengaja mencetuskan prasangka antara Islam dan bukan Islam.Ketika tercetusnya isu kalimah Allah yang mahu digunakan dalam Bible bahasa Melayu,pihak Jabatan Agama Islam mengeluarkan khutbah Jumaat yang menyeru supaya umat Islam memelihara kesucian kalimah itu.Tetapi Malaysian Insider bertindak biadab dengan menyiarkan bantahan daripada paderi Kristian terhadap khutbah Jumaat berkenaan.Bukankah ini bertujuan melaga-lagakan antara Islam dan bukan Islam di negara ini? Adakah kalau tidak melakukan sedemikian bermakna tidak ada kebebasan? Sedangkan yang dianggap kebebasan itu boleh menimbulkan ketegangan agama seterusnya memporakperandakan negara?
Komunis
Terbaru sekali dalam rencana yang disiarkan pada 20 September ini di bawah tajuk Chin Peng as hero,say former Thai general,Malaysian Insider mewirakan Setiausaha Agung Parti Komunis Malaya (PKM), Chin Peng yang membunuh beribu orang awam dan anggota pasukan keselamatan.Apakah terlalu penting kenyataan bekas jeneral tentera Thailand ini dalam konteks Malaysia yang menolak ideologi komunis? Kenapa suara Malaysian Insider dalam isu Chin Peng ini senada dengan pembangkang yang sejak lama dulu memperjuangkan supaya Chin Peng dibenarkan balik ke negara ini?
Malah Malaysian Insider juga telah melakukan pembohongan dengan memutarbelitkan ucapan Perdana Menteri,Datuk Seri Najib Tun Razak semasa merasmikan bangunan baharu Ibu Pejabat Korporat Kumpulan Utusan 13 September lalu.Dalam ucapan itu Najib menyeru supaya syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan agensi kerajaan berlaku adil kepada Kumpulan Utusan dari segi pembelian iklan.Tetapi Malaysian Insider melaporkan Najib meminta GLC membantu membayar saman-saman fitnah terhadap Kumpulan Utusan.Ini satu pembohongan tetapi suatu perkara biasa kepada portal yang mendakwa laporannya telus dan benar.
Oleh Ku Seman Ku Hussain
APA KATA ANDA ???
RENUNG-RENUNGKAN
1 comment:
kalau iklan dalam bentuk video hyundai, toyota, lamberetta, karbureter dsbnya mungkin lebih lumayan tetapi kalau setakat iklan gambar statik dan kebanyakannya produk ikan bilis..., berapa sangatlah dapatannya untuk pihak media siber? sapa ada info?
Post a Comment