Social Icons

Pages

Tuesday, January 13, 2015

FAKTA !!! #PERKASA BUKAN NGO EKSTRIMIS ATAU RASIS SEPERTI #ERICPAULSEN !!!


Bangsa Melayu dan umat Islam sedang diadu-domba menerusi strategi rencam,terselaras dan sistematik,yang digerakkan oleh pelbagai pihak beragenda jahat terhadap Malaysia.Gerakan ini dilaksanakan menerusi tohmah kononnya beberapa organisasi Peribumi,Melayu dan Islam di Malaysia adalah ekstremis dan rasis.Di peringkat awal,usaha ini hanya dilakukan oleh sekumpulan parti alternatif tertentu,sebuah media perdana milik satu komponen bukan Melayu dalam BN dan pelbagai portal berita pro-pembangkang.Mulai akhir 2014,gerakan ini turut didukung oleh sekumpulan 25 “eminent persons” Melayu dan Islam yang pernah memegang jawatan tinggi dalam kerajaan Malaysia,termasuk sebagai duta.Mereka menyerang PERKASA kerana kononnya mereka berpendirian liberal.Namun sebenarnya mereka jahil bahawa PERKASA mempertahankan kesucian Islam.keluhuran Perlembagaan Persekutuan, kedaulatan Raja-Raja Melayu dan kesejahteraan sosio-ekonomi Peribumi selaku bangsa teras di Malaysia.Lebih jelas lagi,mereka jahil mengenai matlamat perjuangan PERKASA yang mempertahankan hak-hak Peribumi dalam Perlembagaan Persekutuan dan menghormati hak-hak komuniti lain dalam perlembagaan yang sama.Dengan ini,sebagai presiden PERKASA sejak 2008,saya kemukakan soalan-soalan berikut.Siapakah yang mendalangi gerakan di atas? Tidakkah disedari bahawa gerakan ini menjejaskan perpaduan,kesejahteraan,keselamatan dan survival Malaysia yang majmuk? Kenapakah kumpulan “eminent persons” hanya menghentam organisasi Melayu? Adakah kerana di antara mereka menjadi ahli lembaga pengarah syarikat di Bursa Saham milik kapitalis bukan Peribumi? 

Dalang? 

Adakah dalang kepada gerakan di atas adalah organisasi anti-Islam, pertubuhan anti-Melayu,pendukung liberalisme universal,kapitalis domestik yang cuba mewujudkan imperialisme ekonomi terhadap Peribumi Malaysia, atau kuasa-kuasa asing yang mahu menegakkan neoimperialisme politik di Asia Tenggara di abad ke-21? Soalan-soalan ini saya timbulkan kerana istilah-istilah seperti di atas pernah digunakan oleh orientalis barat untuk memecah-belahkan kumpulan nasionalis Nusantara yang memperjuangkan kemerdekaan tanah airnya daripada penjajah Eropah di Asia Tenggara.Mulai tahun 1990-an,istilah-istilah demokrasi liberal,hak-hak asasi manusia sejagat dan kesamarataan total pula digunakan oleh pihak barat untuk mengharu-birukan beberapa negara membangun,termasuk di Asia Tenggara.

Tetapi,waimah siapa dalangnya,strategi rencam di atas memang sedang disasarkan kepada Malaysia – keluhuran Perlembagaan Persekutuan dicabar,kesucian Islam dipersendakan,kedaulatan Raja-Raja Melayu diperlekehkan, hak ekonomi peribumi dipertikaikan dan amalan politik perkongsian kuasa pimpinan BN cuba diharu-birukan. Buktinya adalah wujudnya media yang tergamak mengiklankan hidangan babi panggang yang dikaitkan dengan amalan berbuka puasa di bulan Ramadan? Wujudnya "eminent persons" yang menyifatkan kuasa negeri untuk mengurus dan menegakkan undang-undang Islam sebagai mencanggahi Perlembagaan Persekutuan? 

Terdapat segelintir parti politik alternatif, menyokong kalimah 'Allah' digunakan dalam Bible versi Bahasa Melayu.Adanya percubaan untuk memansuhkan Akta Hasutan 1948 setelah mereka berjaya mempengaruhi BN untuk menghapuskan Akta Keselamatan Dalam Negeri atau ISA?Tetapi,walaupun fenomena di atas membahayakan Malaysia,pihak yang menggerakkannya pula menyifatkannya sebagai kelaziman akibat evolusi sosio-budaya, politik dan ekonomi.Mereka beranggapan begitu supaya pemerintah Malaysia menitikberatkan kesamarataan, keadilan dan kesaksamaan mengikut piawaian universal, bukan berasaskan kemajmukan Malaysia yang dicipta oleh penjajah Inggeris. '

"Kami tak reda"

Oleh sebab itu mereka melaksanakan perang saraf dan strategi psikologi terbalik (reversed psychology) seperti mentohmahkan PERKASA sebagai ekstremis dan rasis.Tuntutan,tindakan dan kenyataan mereka yang mencanggahi status quo Perlembagaan Persekutuan pula digembar-gemburkan sebagai menepati prinsip-prinsip hak-hak asasi manusia sejagat dan keadilan universal. Fenomena di atas berbahaya kepada Malaysia.Ia berpotensi mencetuskan pertelingkahan kaum,konflik agama,keresahan budaya,pemberontakan ekonomi dan kekacauan politik dan memudahkan campur tangan dalam politik dan lain-lain urusan domestik Malaysia.Dengan ini,PERKASA tidak reda dilabelkan ekstremis atau rasis.Kelompok "eminent persons" serta puak liberal dan "moderate" adalah kelompok ekstremis dan rasis yang sebenar. Mereka bertopengkan pendirian sedemikian untuk menyembunyikan agenda ekstremis dan rasisnya daripada terdedah dan dikutuk oleh majoriti rakyat Malaysia.Mereka tidak peduli surat mereka dalam the Star tahun lalu,menguntungkan pihak-pihak yang mempunyai agenda serong,termasuk untuk menghuru-harakan Malaysia. Mereka tidak peduli surat yang sama dieksploitasikan oleh parti-parti politik alternatif untuk memusnahkan siasah perkongsian kuasa amalan Perikatan dan BN sejak kemerdekaan negara.Mereka tidak peka surat mereka boleh dieksploitasikan oleh media-media tertentu untuk mengkucar-kacirkan lagi politik nasional BN menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14.Mereka tidak insaf bahawa gerakan mereka boleh menyebabkan BN hilang kuasa akibat kemerosotan sokongan bukan Peribumi. 

BN hilang kuasa 

Kumpulan ini juga tidak insaf jika BN hilang kuasa,mudahlah kuasa-kuasa luar mencapai matlamat “grand strategy” mereka terhadap China,menerusi kekuasaan serta campur tangan dalam urusan domestik negara-negara strategik di Asia Tenggara, termasuk Malaysia.Dengan ini,PERKASA akan terus memerangi kemunculan fenomena-fenomena di atas,biarpun ianya turut didukung oleh kumpulan "eminent persons".PERKASA tidak gentar.Hari ini PERKASA mempunyai ratusan ribu anggota berdaftar yang memiliki kad keahlian yang sah.Ini bukti perjuangan PERKASA positif dan mempertahankan kepentingan rakyat dan negara.Oleh sebab itu PERKASA dianggotai golongan cerdik pandai, termasuk berkelulusan PhD dan pernah menjadi “eminent persons” dalam kerajaan Malaysia, baik dalam jurusan pengurusan undang-undang, kepolisian dan ketenteraan.PERKASA juga dianggotai kumpulan profesional pelbagai bidang dan didukung oleh generasi muda,termasuk yang berpendidikan di universiti terkenal di seberang laut.Lebih menarik lagi,PERKASA juga dianggotai oleh ahli Umno dan ada juga ahli PAS. 

Kini PERKASA merupakan antara pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang berorganisasi dengan struktur terselaras, dan tidak rasis seperti klu-klax-klen di Amerika Syarikat (AS).PERKASA sentiasa berhemah dan tidak pernah terlibat dengan demonstrasi jalanan seperti BERSIH yang menendang terajang anggota polis,mencederakan pasukan polis dan memusnahkan aset polis.PERKASA memperjuangkan perpaduan rakyat dan keselamatan negara.PERKASA menjadi tulang belakang penganjuran Kongres Ekonomi Bumiputera dan Konvensyen Perpaduan Nasional yang turut didukung oleh lain-lain NGO Peribumi dan Islam Malaysia.Dengan ini,PERKASA bukan NGO ekstremis atau rasis.Pihak yang memusuhi PERKASA adalah ekstremis dan rasis sebenar di Malaysia. 

Datuk Ibrahim Ali 
Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) 
Mantan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri 
Mantan Ahli Parlimen Pasir Mas

APA KATA ANDA ???

RENUNG-RENUNGKAN
Post a Comment
 
 
Blogger Templates