Social Icons

Pages

Wednesday, September 07, 2011

INSURANS MEMBAYAR RM50,000 BAGI POLISI ALLAHYARHAM NORAMFAIZUL !!!


Pengerusi Bernama Datuk Abdul Rahman Sulaiman berkata syarikat insurans akan membayar RM50,000 bagi polisi insurans yang diambil oleh Bernama untuk jurukamera BernamaTV,Noramfaizul Mohd Nor,yang terbunuh Jumaat lepas ketika bertugas di Somalia.Dalam satu kenyataan bagi menjelaskan perlindungan insurans untuk kakitangan Bernama, beliau berkata polisi itu turut meliputi kematian serta hilang upaya sama ada kekal atau sebahagian, dan waris akan menerima jumlah maksimum RM50,000.

"Bagi kes Allahyarham Noramfaizul Mohd Nor, syarikat insurans berkenaan bersetuju membayar RM50,000," katanya.

Abdul Rahman berkata Bernama menyediakan dua jenis perlindungan insurans 24 jam di seluruh dunia untuk kakitangannya,iaitu polisi insurans hayat sementara dan polisi kemalangan peribadi berkelompok.Katanya polisi kemalangan peribadi berkelompok turut meliputi kematian dan hilang upaya kekal atau sebahagian, serta mempunyai klausa pengecualian sama seperti polisi hayat sementara.Bagaimanapun,Abdul Rahman berkata kedua-dua polisi itu tidak meliputi kematian akibat peperangan, pencerobohan, permusuhan atau perang saudara yang melibatkan orang yang diinsuranskan secara langsung atau tidak langsung.

"Bagaimanapun, kami telah mengemukakan tuntutan kepada syarikat insurans. Kami gembira syarikat berkenaan setuju membayar pampasan dan jumlahnya akan diberitahu kemudian," katanya.

Beliau berkata selain polisi insurans berkenaan, kakitangan Bernama turut menerima faedah di bawah skim insurans pembedahan dan penghospitalan berkelompok.

"Secara ringkas, saya ingin menyatakan bahawa kami mempunyai satu perlindungan insurans dan perubatan antara yang terbaik di negara ini," katanya.

Abdul Rahman juga berkata Bernama dimaklumkan bantuan untuk keluarga Allahyarham Noramfaizul akan turut disediakan oleh Perkeso, Kementerian Pertahanan iaitu menerusi tabung khas yang ditubuhkan pada pertengahan 1980-an, dan 1Malaysia Development Berhad.Presiden Kelab Putera 1Malaysia Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim semalam mengumumkan bahawa keluarga Allahyarham Noramfaizul akan menerima RM200,000 menerusi perlindungan insurans berkelompok, manakala Pengerusi Social Care Foundation Tan Sri Robert Phang turut menyumbangkan RM50,000.Noramfaizul meninggal dunia akibat terkena peluru sesat ketika menyertai misi bantuan kemanusiaan anjuran Kelab Putera 1Malaysia ke negara yang dilanda kemarau itu. Jenazahnya dibawa pulang Ahad lepas.

- Bernama


AL-FATIHAH...

No comments:

 
 
Blogger Templates