Terdapat berita di media sosial yang membuat tuduhan bahawa pembangunan Projek Hidroelektrik Hulu Terengganu (juga di kenali sebagai Projek Kenyir Dua) adalah punca banjir di Negeri Kelantan.Antara tuduhannya termasuklah:
1. Limpahan air dari Projek ini menyebabkan kejadian banjir di Negeri Kelantan
2. Empangan di Projek ini pecah dan menyebabkan banjir di Negeri Kelantan
3. Kerja-kerja pembalakan di kawasan Projek telah menyebabkan kawasan tersebut gondol dan ini menjadi punca aliran air yang besar ke kawasan Malik Urai, Kuala Krai & seterusnya ke Kota Bahru.
4. Projek ini dilaksanakan secara rahsia
Pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) menafikan tuduhan ini dan ingin memberi penjelasan berdasarkan fakta-fakta berikut:
Projek Hidroelektrik Hulu Terengganu terletak di Daerah Hulu Terengganu, di kawasan hutan simpan Tembat, di bahagian hilir Tasik Kenyir.Ia melibatkan pembinaan dua empangan merintasi Sg. Terengganu (Empangan Puah) dan Sg. Tembat (Empangan Tembat) yang mengalir ke Tasik Kenyir.Kawasan tadahan untuk Projek ini terletak di Negeri Terengganu dan dipisahkan dari Negeri Kelantan oleh banjaran gunung. Oleh yang demikian segala aliran air permukaan (surface run-off) mengalir ke arah kedua-dua sungai tersebut yang akhirnya akan menjadi Tasik Puah dan Tasik Tembat apabila Projek ini siap kelak.
Air dari Tasik Tembat akan disalurkan melalui terowong lencongan air ke Tasik Puah.Air ini akan digunakan untuk penjanaan di Stesen Permukaan Tembat (15MW) sebelum memasuki Tasik Puah.Air dari Tasik Puah pula akan disalurkan ke Stesen Bawah Tanah Puah (250MW).Selepas penjanaan air ini akan disalurkan melalui terowong aliran keluar ke Tasik Kenyir.Pembinaan Empangan Puah telah selesai dan penakungan tasik telah dimulakan pada 1 Oktober 2014 manakala Empangan Tembat didalam proses pembinaan dan penakungan Tasik Tembat akan dimulakan pada Jun 2015. Projek ini akan tamat sepenuhnya pada April 2016 dengan keupayaan untuk menjana tenaga elektrik 265MW.
Lokasi pembinaan empangan-empangan tersebut dipilih untuk mengelakkan pembinaan empangan pelana (saddle dam) dan oleh itu segala pelepasan air adalah melalui Empangan Puah dan Empangan Tembat dimana air pelepasan akan mengalir di aliran asal Sg. Terengganu dan Sg. Tembat dan seterusnya mengalir masuk ke Tasik Kenyir. Adalah mustahil untuk air pelepasan dari kedua-dua empangan ini untuk merintasi banjaran gunung untuk memasuki Negeri Kelantan. Tiada pelepasan dari Tasik Puah dan perkara ini mustahil untuk dilaksanakan memandang paras air di Tasik Puah setakat 1 Januari 2015 masih dibawah paras pelepasan melalui pintu limpahan empangan.
Projek ini dilaksanakan selepas mendapat kelulusan dari Suruhanjaya Tenaga dan Kerajaan Negeri Terengganu. Ia tidak dilaksanakan secara rahsia.Malah upacara perasmian penakungan Tasik Puah telah dilaksanakan oleh YB Dato Seri DiRaja Mahdzir bin Khalid,Timbalan Menteri Tenaga, Teknoloji Hijau dan Air pada 1 Oktober 2014 dan upacara perasmian ini telah disiarkan di media massa. Manakala pihak TNB kerap mengadakan aktiviti dibawah program Tanggungjawab Sosial Korporat (Corporate Social Responsibility) untuk kebaikan penduduk tempatan.Projek-projek hidroelektrik yang dilaksanakan oleh pihak TNB bukan hanya untuk tujuan penjanaan kuasa elektrik tetapi juga penebatan banjir. Proses penakungan Tasik Puah telah membantu mengurangkan kesan kemasukan air ke Tasik Kenyir dimana setakat 31 Disember 2014, air sebanyak 740,000 juta cubic meter ditahan oleh Empangan Puah.
Penerangan diatas dengan jelas menunjukan bahwa Projek ini tiada kaitan dengan peristiwa banjir di Negeri Kelantan, malah ia telah berkesan didalam usaha penebatan banjir dengan mengurangkan kemasukan air ke Tasik Kenyir.
- TNB
APA KATA ANDA ???
RENUNG-RENUNGKAN
No comments:
Post a Comment