Bismillahirrahmanirrahim
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Alhamdulillah,marilah sama-sama kita memanjatkan kesyukuran kerana dengan izin-Nya kita selaku umat Islam diberi kesempatan bertemu dengan Ramadhan 1436 H ini.Sesungguhnya,pada bulan Ramadhan diturunkan al-Qur’an sebagai petunjuk kepada seluruh umat manusia.Di dalamnya terdapat malam yang lebih baik dari seribu bulan dan dilimpahi dengan pelbagai keistimewaan yang sentiasa dinantikan oleh umat Islam.Justeru,diharapkan agar kita semua dapat mempersiapkan diri dari sudut fizikal,mental dan rohani dalam menjalani ibadah di bulan mulia ini.
Firman Allah SWT dalam surah Al-Baqarah,ayat 183 yang bermaksud : “Wahai orang-orang yang beriman,diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu,supaya kamu bertaqwa.” Sememangnya bulan Ramadhan merupakan bulan peningkatan iman dan takwa seseorang.Sempena keberkatan Ramadhan ini,marilah kita perteguhkan hubungan dengan Allah SWT,di samping mengeratkan lagi hubungan silaturrahim dengan keluarga,jiran tetangga dan masyarakat pelbagai kaum.Selain itu,marilah kita bersama-sama memperkukuhkan komitmen terhadap perpaduan dan ukhuwwah yang selama ini menjadi asas kemajuan negara kita.
Ini kerana,kestabilan dan kemakmuran negara saling berkait dengan kekukuhan perpaduan yang kita bina selama ini.
Dalam kenikmatan menyambut Ramadhan,janganlah kita melupakan saudara kita yang ditimpa musibah dan kesusahan dengan menadah tangan mendoakan kesejahteraan mereka serta menghulurkan bantuan seikhlas mungkin.Mudah-mudahan dengan pertolongan yang diberikan akan memberi sinar kegembiraan kepada mereka yang terlibat terutama ketika menjelang ketibaan Syawal.
Akhir kata,saya mendoakan agar kita dapat beramal dengan sebaik-baiknya pada Ramadhan kali ini dan negara kita terus dilindungi Allah dari sebarang bentuk ancaman serta mara bahaya.
RENUNG-RENUNGKAN
No comments:
Post a Comment