Social Icons

Pages

Wednesday, November 25, 2015

BREAKING NEWS !!! DATUK #RAHMANDAHLAN @MPKOTABELUD SAMAN #MALAYSIAKINI !!!


Kenyataan Media Datuk Abdul Rahman Dahlan Menteri Kesejahteraan Bandar,Perumahan & Kerajaan Tempatan 
November 24, 2015

1. Dewasa ini,telah timbul fenomena di kalangan segelintir media online yang lebih cenderung meletak tajuk berita sensasi dan laporan yang diambil luar daripada konteks sebenar.

2. Fenomena ini menyebabkan banyak pihak terpaksa meluangkan masa yang banyak untuk menjawab dan memperbetulkan laporan portal media online yang mengelirukan pembaca.

3. Saya sedia maklum dalam era yang dipacu kepantasan internet, masyarakat menuntut agar berita disiarkan dengan kadar segera.Situasi ini telah mendorong sesetengah (bukan semua)portal media online menjadi lebih tergesa-gesa dalam menyiarkan laporan mereka.

4. Sebagai contoh, semasa sidang media saya di Hari Perancang Bandar Sedunia di JW Marriot, 3 November lepas,saya telah menyentuh tentang bagaimana untuk menjadikan sesebuah bandar itu agar lebih bingkas (resilient) dalam menghadapi tekanan sosial dan ekonomi termasuk bencana yang mungkin menimpa bandar tersebut.

5. Saya juga bercakap tentang tekanan yang dihadapi oleh bandar-bandar seluruh dunia alaf ini,seperti pencemaran alam,pengangkutan awam,kos sara hidup,perumahan mampu milik dan tahap keselamatan makanan (food security) semasa bencana.

6. Berdasarkan huraian saya diatas,saya ditanya oleh wartawan-wartawan yang hadir tentang dua perkara,yang pertama tentang kenaikkan kadar tol lebuhraya dan yang keduanya tentang migrasi penduduk dari kawasan bandar ke kampung akibat kos sara hidup yang tinggi di bandar.

7. Sebagai penjelasan,lazimnya saya tidak menjawab soalan-soalan yang tiada kena-mengena dengan kementerian saya,tetapi memandangkan isu kenaikkan tol dan isu migrasi penduduk dari kawasan bandar ke kampung akibat kos sara hidup yang tinggi di bandar adalah isu nasional maka saya mengambil pendekatan untuk menjawab isu tersebut.

8. Dalam jawapan saya bagi isu kenaikkan tol,saya telah menekankan bahawa di mana ada jalan bertol sudah pastilah ada jalan alternatif tanpa tol.Sekiranya kita mengambil jalan alternatif,kita mungkin akan berhadapan dengan kelewatan berpunca daripada kesesakan lalu lintas dan lampu isyarat.Oleh yang sedemikian,kita terpaksa melaburkan lebih banyak masa untuk sampai ke destinasi pilihan.

9. Dalam jawapan yang sama,saya juga menegaskan bahawa ini adalah satu bentuk “trade off” atau timbal balas kerana lebuhraya dan jalan bertol adalah sebahagian daripada cara kita untuk memendekkan perjalanan.

10. Tetapi malangnya,jawapan saya semasa sidang media tersebut telah disalah erti menyebabkan orang ramai berpendapat bahawa saya menggesa mereka yang enggan membayar tol supaya bangun awal.

11. Ekoran daripada itu,saya telah terdedah kepada kemarahan dan caci maki orang ramai,terutamanya warga netizen.

12. Dalam jawapan saya,saya tidak pernah mencadangkan apatah lagi menggesa orang ramai supaya bangun awal untuk mengelak dari membayar tol.Saya hanya memanjangkan pendapat bahawa di mana ada laluan bertol pastilah ada jalan alternatif tanpa tol.

13. Selanjutnya saya menggambarkan sekiranya sesiapa memilih laluan tanpa tol,mungkin mereka akan berhadapan dengan kesesakan lalu lintas dan lampu isyarat.Oleh yang sedemikian,sekiranya kita memilih jalan alternatif tersebut kita mungkin perlu melaburkan lebih banyak masa,termasuk kemungkinan perlu bangun awal atau bangun pada masa biasa tetapi memulakan perjalanan lebih awal.

14. Manakala dalam isu kenyataan “balik kampung” yang timbul dalam sidang media yang sama,saya telah ditanya tentang soal kenaikkan kos sara hidup yang akan mendorong penduduk kota untuk pulang ke kampung.

15. Terhadap soalan tersebut,saya telah menjawab bahawa saya percaya bahawa konsep “reverse migration” dari bandar ke luar bandar boleh mengurangkan tekanan kepada sistem perbandaran.Saya telah melontarkan komentar bahawa proses migrasi dari luar bandar ke bandar yang terlampau cepat di negara kita telah menekan sistem perbandaran seperti perumahan, pengangkutan,perkhidmatan kesihatan, pendidikan dalam sebuah bandar tersebut.Perkara-perkara ini sebenarnya adalah asas perbincangan persidangan Hari Perancang Bandar yang diraikan pada hari itu.

16. Seantero dunia,rata-rata kerajaan menyokong konsep reverse migration atau sekurang-kurangnya berusaha untuk melambatkan proses migrasi bandar untuk mengurangkan tekanan seperti pencemaran alam,kesesakan lalu lintas,pengangkutan awam,kos sara hidup dan pengganguran dalam bandar.

17. Saya juga menegaskan bahawa kehidupan di kampung bukan lagi seperti dulu,hampir semua kampung-kampung di negara ini sudah lama menikmati kemudahan asas yang lengkap.

18. Malangnya,Malaysiakini memilih untuk memuatnaik sebuah video Voxpop yang memaparkan pendapat orang ramai berhubung kenyataan saya yang telah diedit tentang “reverse migration” tanpa memberi konteks sebenar jawapan saya.Kenyataaan tidak lengkap ini memberi gambaran seolah-olah saya tidak sensitif dan memperlekehkan warga kota sehinggakan ianya menjadi satu bahan jenaka dalam media sosial untuk menghina saya.

19. Hakikatnya,dalam sidang media itu,bukan sahaja saya menyeru agar mereka yang ingin berhijrah kembali ke kampung untuk bercucuk tanam,saya juga telah menyeru penduduk yang tinggal di bandar untuk mengamalkan konsep kebun komuniti (community gardening).Idea community gardening bukan baru malahan sudah dipelopori di seluruh dunia. Ia juga adalah salah satu teras utama yang akan menaikkan daya tahan (sustainability) kehidupan di kota.

20. Malaysiakini juga dengan sengaja tidak melaporkan gesaan saya agar pemaju perumahan di bandar dapat menyediakan satu kawasan di beranda dalam unit-unit pangsapuri supaya warga kota dapat mengamalkan konsep menanam sayur-sayuran seperti cili.

21. Ekoran dari video Voxpop itu,saya sekali lagi telah menjadi mangsa tohmahan orang ramai yang tidak mendapat maklumat lengkap dari Malaysiakini.

22. Walaupun media online sangat dekat di hati saya,tapi apa yang dilakukan oleh Malaysiakini sudah melampaui batas kewarasan etika kewartawanan dan merosakkan reputasi saya.

23. Saya bersetuju bahawa,media,termasuk portal berita online,adalah satu institusi check and balance.Mereka bertanggungjawab untuk melaporkan berita secara telus.Mereka boleh mengkritik,namun kritikan mereka haruslah bersifat konstruktif demi kebaikan bersama.

24. Sidang media hari ini bertujuan untuk memperbetulkan sebarang salah faham berkenaan dengan kenyataan media saya dan membersih nama baik saya.

25. Maka dengan itu,saya telah mengarahkan peguam saya untuk memulakan tindakan undang-undang terhadap Malaysiakini.Biarlah tindakan saya ini menjadi satu peringatan bahawa media online perlu bersifat lebih profesional,tidak mengkompromi fakta dan tidak bertujuan menghina.Sesungguhnya saya percaya media online mempunyai tanggungjawab yang besar sebagai salah satu daripada ejen pemangkin yang penting dalam mendokong evolusi negara bangsa.

26. Akhir sekali,walaupun tindakan undang-undang ini adalah terhadap Malaysiakini,saya juga mengekalkan hak saya untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap portal-portal berita online lain yang telah mencemarkan reputasi saya.

APA KATA ANDA ???

RENUNG-RENUNGKAN
Post a Comment
 
 
Blogger Templates